Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Saturday, 27 August 2016

Muhyiddin dan Kuan Yau simbol politik emosi melampau


Ketika rakyat Malaysia meluahkan patriotisme dan berdoa agar wira-wira badminton Malaysia berjaya membawa pulang pingat emas Olimpik, ada ahli politik cauvinis menyambar peluang menjadikan harapan itu satu isu rasisme.
 
Bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau, menulis mbuat dalam Facebooknya: “Dengar baik-baik Umno, jika orang Cina benar-benar balik ke negara Cina, Malaysia cuma akan ‘makan pisang’ dan pulang tangan kosong dalam Olimpik (Rio)’.
 
Hew yang dikenali dengan panggilan ‘Superman DAP’ merujuk kepada kejayaan pasangan bergu campuran Malaysia, Chan Peng Soon dan Goh Yiu Ling, yang menempah tempat ke perlawanan akhir. 
 
Sesungguhnya, pandangan Hew itu memang rasis dan tidak berhemah. Memang selain kedua jaguh badminton berkenaan,  bergu lelaki Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, Datuk Lee Chong Wei, turut layak ke perlawanan akhir. 
 
Mereka adalah rakyat Malaysia keturunan Cina. Namun apabila rakyat Malaysia memberi sokongan dan memanjatkan doa agar mereka berjaya, sedikitpun soal keturunan mereka tidak dijadikan ukuran. 
 
Kenyataan Hew ini memang melampau dan tersasar. Selain pemain badminton, dua lagi atlet negara Azizulsani Awang (basikal) dan Pandalela Rinong (terjun papan anjal) juga membawa pulang pingat walau dan bukan keturunan Cina. 
 
Sikap Hew ini memang tidak layak digelar rakyat Malaysia. Yang jelas ‘superman’ ini dirasuk emosi perkauman. Manusia seperti ini melihat semua isu dan persekitarannya dari sudut kebencian dan emosi yang melampau. 
 
Ketika Hew rancak mempertikaikan masyarakat lain dengan serangan perkaumannya yang menebal, DAP hanya berdiam diri dan tidak pula melenturnya supaya memohon maaf. Akhirnya, Hew meninggalkan DAP. 
 
Jenama politik Hew ini sebenarnya sudah merebak di kalangan aktivis politik di negara ini. Apabila mahu menegakkan pendirian, apa jua alasan – ekonomi, sosial, agama dan kaum -- digunakan. 
 
Mutakhir ialah sikap bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini Presiden Penaja Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), yang tidak dapat mengawal emosinya apabila menyerang Umno yang memecatnya.
 
“Adalah sesuatu yang memalukan bagi orang Melayu beragama Islam bahawa tidak ada mufti negeri dan ulama kerajaan yang berani mengulas mengenai skandal (1MDB) ini walaupun Islam menuntut amar maaruf nahi mungkar,” kata Muhyiddin.
 
Benarkah demikian? Jika benar mengapa beliau tidak menggerakkan multaqa atau lajnah untuk berbincang dan mencari penyelesaian isu yang menghantui negara lebih setahun ini?
 
Muhyiddin harus ingat beliau mahu menjadi presiden sebuah parti politik. Keputusan mutlak ke mana hendak dipimpin parti Bersatu terletak di bahunya. Beliau tidak boleh membebankan pengerusi parti meleraikan gerak politiknya yang emosional. 
 
Rakyat mahu melihat dinamika kepemimpinan Muhyiddin yang sudah berpuluh tahun berpolitik.  Kali ini beliau ialah pemimpin nombor wahid dan tidak boleh buat keputusan bersandarkan orang lain, terutama Mahathir. 
 
Jika beliau mahu melonjakkan imejnya sebagai umarak yang bersih dan  berpedomankan pandangan ulama beliau tidak wajar hanya membuat kenyataan akhbar tanpa dengan jujur dan bersih hati menyantuni ulama. 
 
Adalah menyedihkan jika Muhyiddin membantai ulama kerana kelu dalam isu membabitkan pemimpin dan institusi politik negara walhal beliau tidak pula membuka ruang untuk ulama bersuara semasa beliau memimpin Umno.
 
Sebagai presiden penaja, Muhyiddin kini harus menyatakan pendirian parti beliau dalam isu-isu fundamental Islam. Antaranya melaksanakan hukum dan juga kurikulum agama sepenuhnya untuk pembangunan sistem pendidikan. 
 
Muhyiddin juga adalah bekas menteri pelajaran. Soalnya, betapa luas medan pendidikan Islam yang sudah dibukanya untuk memperkasakan kefahaman Islam dan menjadikannya institusi timbang tara halal haram serta pahala?
 
Mengkambing-hitamkan ulama dalam usaha menempatkan diri menjadi pemimpin nasional adalah tidak adil dan zalim. Ulama berhak memberi respons terhadap sindiran  Muhyiddin bahawa ulama sudah dikasikan.
 
Muhyiddin turut mendakwa, amat malang bagi rakyat menyaksikan institusi-institusi kerajaan bertanggungjawab memantau, menyelia dan menyiasat, dilumpuhkan.
 
Soalnya, beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia lebih enam tahun. Apa kah usaha beliau mendekatkan ulama dan umara? Jika dibandingkan latar agama beliau dengan Datuk Seri Najib Razak, tentu Muhyiddin jauh ke hadapan. 
 
Namun adakah adil dan benar tuduhannya ulama berdiam diri dalam isu seperti 1MDB yang menjadi modal utama perjuangan politiknya? Nampak sangat bahawa sebelum ini beliau tidak menyatuni ulama.
 
Jika tidak tentu beliau tahu pendirian Datuk Mufti Perlis, Datuk Asri Zainul Abidin, dan ramai lagi ulama yang mengambil pendirian tegas dalam isu rasuah. Nampak sangat Muhyiddin membangkitkan isu ini hanya kerana emosi dan dendamnya kepada Umno.
 
Setelah kehilangan kerusi empuk dalam kerajaan barulah Muhyiddin mahu meneliti kedudukan ulama dan agama Islam di negara ini. Isu 1MDB hanya modal politik. 
 
Namun tuduhannya bahawa institusi negara sudah ‘ditundukkan oleh kerajaan’ sebenarnya adalah hasil kepemimpinannya sendiri. 
 
Memang benar kata presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tindakan bertunjangkan emosi yang melampau memang menjadi jalur pemikiran politik pembangkang. 
 
Nampaknya tidak jauh bezanya pemikiran politik Muhyiddin dengan superman DAP, Hew Kuan Yau,  yang dirasuk kebencian pada kerajaan dan Umno. 

http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/08/muhyiddin-dan-kuan-yau-simbol-politik.html

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...