Ini barangkali perhimpunan terbesar pemimpin-pemimpin parti politik di Asia selepas UMNO akan menjadi tuan rumah kepada Persidangan Antarabangsa Parti Politik Asia (ICAPP) ke-4 di ibu negara.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Shahidan Kassim memberitahu persidangan itu akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur bermula 1 hingga 4 September ini melibatkan 82 parti politik termasuk pembangkang dari 35 buah negara di Asia dan yang terbesar pernah diadakan di rantau ini.
"Setakat ini parti politik tempatan yang sudah mengesahkan penyertaannya ialah MCA, Gerakan dan parti pembangkang lain antaranya DAP dan PAS. UMNO sebagai tuan rumah akan menghantar pasukan perwakilan besar melibatkan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO.
"Persidangan kali pertama dianjurkan oleh Malaysia akan membincangkan topik menguruskan Asia oleh negara-negara keanggotaan itu selain masalah-masalah berbangkit yang wujud di Asia," katanya pada sidang media selepas merasmikan Penubuhan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Peringkat Komuniti Better Nation JPAM di PWTC.
Persidangan yang sama, katanya, secara tidak langsung mempromosi lokasi pelancongan di Malaysia ke mata dunia kerana dalam masa yang sama Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) juga diadakan.
Berbalik soal ICAPP, menurut Shahidan, penduduk atau pemimpin Asia lebih memahami dan tahu cara menguruskan serta menangani isu dan masalah berbangkit di negara masing-masing.
"Ada masalah di Asia yang kadang-kadang perhatiannya dipegang Eropah dan Amerika Syarikat (AS) kurang memahami situasi seperti yang berlaku di Thailand. Saya rasa orang atau pemimpin Asia lebih memahami penduduk di Asia," ujarnya.
Negara-negara yang terlibat dalam pertikaian diperairan Laut China Selatan, China, Filipina, Indonesia, Thailand juga akan menyertai persidangan itu sementara wakil dari Kesatuan Eropah, AS, dan Rusia juga turut akan hadir untuk berkongsi idea.
"Asia merupakan benua yang mempunyai 60 peratus penduduk dunia, kekayaan lebih 60 peratus serta kemiskinan tertinggi yang perlu difokus dan ditangani secara bersama," tegasnya lagi.
http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/08/pas-dap-hadir-persidangan-antarabangsa.html
No comments:
Post a Comment