Suatu masa dulu, ketika mana Anwar Ibrahim merupakan seorang anak muda yang cepat panas, dia berjaya mencuri banyak hati di kalangan golongan muda sezaman dengannya. Universiti Malaya sering kecoh gara-gara keterampilannya.
Anwar tidak dinafikan adalah seorang pemimpin yang cukup sempurna pakejnya. Dari sudut pidato politik yang penuh retorik mempesona pendengar, gayanya yang penuh kharisma dan personalitinya yang bagaikan seorang ‘syeikh’, dia cukup segalanya.
Dia dulu merupakan anak angkat kepada bekas Presiden PAS, Allahyarham Yusoff Rawa. Namun Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu amat berkenan pada Anwar telah berjaya membawanya masuk menyertai UMNO. Mahathir ‘gilap’ Anwar secukupnya.
Pendakian Anwar di dalam UMNO cukup pantas. ‘Mencantas’ ramai tokoh UMNO yang jauh lebih senior dan berjasa dengan bantuan ‘tangan ghaib’ Presiden, Anwar berjaya berada di sisi Mahathir sebagai Timbalan Presiden parti sekaligus Timbalan Perdana Menteri.
Tapi hingga setakat itu sajalah. Anwar tidak boleh melangkah lebih jauh. Akhirnya ‘kedua kaki’ suami Wan Azizah Wan Ismail itu ‘dikerat-kerat’ Mahathir sehingga terperosok di dalam penjara. Namun Anwar tetap Anwar, ‘lawan tetap lawan’ katanya…
Jika dirujuk pada sejarah politik Anwar, penulis melihat bahawa dia takkan mampu mendahului mentornya, Mahathir. Sama ada dalam parti, dalam kerajaan mahupun di luar kerajaan atau parti, kedudukan Anwar tetap di belakang Mahathir.
Walaupun kini nama Anwar dicanang pembangkang sebagai ‘bakal Perdana Menteri’ jika mereka berjaya jatuhkan Barisan Nasional, nampak gayanya nama anak Mahathir kini membayangi bapa Nurul Izzah itu. Apatah lagi kini Mahathir menjadi ‘pencatur utama’ pembangkang, bukan?
Ramai penganalisis politik dapat membaca gerakan Mahathir adalah bertujuan untuk memastikan anaknya Mukhriz menaiki podium Perdana Menteri. Hanya yang ‘bangang’ saja yang akan gagal membaca langkah-langkah derhaka bangsa Mahathir tersebut.
Jadi, di mana kedudukan Anwar sekarang?
DAP dilihat sangat mendewa-dewakan Mahathir sekarang. Dulu mereka maki hamun Mahathir, tapi kini jika boleh, mereka bagaikan setiap hari mahu dilihat bersama Mahathir. Mahathir bagaikan ‘De Facto’ pada mereka, sedangkan Anwar merengkuk dalam penjara.
Pada dua PRK yang lalu di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Mahathir juga sanggup turun padang menghabiskan sisa tenaga tuanya membantu parti Mat Sabu ‘mencuri’ undi dari ahli dan penyokong PAS. Penulis yakin, PAN tidak akan lupa pada jasa Mahathir tempohari.
Anwar mengharapkan Wan Azizah, Nurul Izzah dan Azmin untuk mengatasi pengaruh ‘De Facto’ pembangkang yang ‘baru tapi tua’ itu? Penulis tolak keupayaan mereka untuk berbuat demikian. Sedangkan Anwar ketika bebas pun gagal mengatasi Mahathir yang sudah pencen, inikan pula ‘boneka-boneka’nya?
Berbanding dulu, DAP kini tidak lagi mewar-warkan nama ‘Perdana Menteri bayangan’. Berbanding dulu, mereka melaungkan nama Anwar sebagai ‘bakal Perdana Menteri’. Yang disebut kini hanyalah kedudukan Wan Azizah sebagai Ketua Pembangkang sahaja, bukan ‘bakal Perdana Menteri’.
Pada hemat penulis, nama Anwar pada label ‘Perdana Menteri bayangan’ akan dipadam tidak lama lagi. Jika parti baru ditubuhkan Mahathir, kata sepakat dipersetujui dengan DAP, PAN dan sebahagian dari PKR, tidak mustahil nama Mukhriz akan diletak pada label tersebut.
Jika benar jangkaan penulis itu, maka tidak dapat tidak, Anwar terpaksa akur bahawa dirinya sampai mati pun mungkin akan terus berada di bawah tapak kaki Mahathir. Pahit atau tidak, dia perlu telan ‘hempedu’ itu dan terus kempunan lagi…
http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/08/perdana-menteri-bayangan-anwar-atau.html

No comments:
Post a Comment