SEPANG – Tiada guna jika Kerajaan PKR Selangor mengaku mempunyai lebihan duit yang banyak tetapi tidak memanfaatkannya untuk kesejahteraan rakyat negeri ini terutama dalam menguruskan sampah.
Ketua UMNO Bahagian Klang, Datuk Nasarruddin Zin berkata, kegagalan Kerajaan PKR Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menguruskan sampah amat mengecewakan rakyat negeri ini.
“Tak guna kita mengaku Selangor banyak duit, tetapi pengurusan sampah di Selangor semakin lama semakin teruk. Menteri Besar selalu melaungkan Selangor kaya, ada berbillion duit, tetapi pada masa yang sama sampah tidak diuruskan dengan baik.
“Jadi tidak hairanlah mengapa Selangor menjuarai pesakit yang ramai terkena demam denggi. Tiada guna Selangor kaya tetapi nyawa dan kesihatan rakyat terancam dan merencat kesejahteraan rakyat negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, Nasarruddin turut mempersoalkan langkah Kerajaan PKR Selangor melantik sebuah syarikat Hebat Abadi Sdn Bhd untuk bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengendalikan pengurusan sampah di Selangor.
“Kalau dulu mereka buang Alam Flora, mereka kata ini syarikat monopoli dan membazirkan wang rakyat. Mereka nak uruskan sendiri melalui PBT. Tapi kali ini lain pula ceritanya.
“Siapa Hebat Abadi ini? Apabila PBT gagal menguruskan sampah dengan baik, mereka lantik Hebat Abadi pula. Ini bertentangan dengan konsep mereka yang menolak monopoli,” katanya.
Tambah Nasarruddin lagi, ini menunjukkan PBT gagal menguruskan sampah dengan baik di Selangor sehingga mereka melakukan tindakan yang tanpa mereka sedari mengiktiraf konsep Barisan Nasional ketika memerintah Selangor dahulu.
“Akhirnya mereka terpaksa juga mengakui konsep BN juga yang terbaik dalam menguruskan sampah. Pelantikan Hebat Abadi dipercayai cuba meniru konsep BN menguruskan sampah.
“Akhirnya konsep yang dikatakan monopoli juga mereka tiru. Teorinya mudah, Hebat Abadi yang akan mengagihkan kontrak pengurusan sampah di Selangor ini kepada kontraktor-kontraktor sampah sama seperti Alam Flora buat dulu,”
Justeru itu beliau berharap, rakyat Selangor jangan mudah terpedaya dengan dakyah kerajaan negeri yang disifatkan indah khabar dari rupa dalam menguruskan sampah di Selangor.
“Saya harap selama 8 tahun ini rakyat Selangor sedar, banyak sampah tidak diuruskan dengan baik terutamanya di kawasan separuh bandar. Jadual angkat sampah berterabur, kekerapan mengangkut sampah pun tidak konsisten dan sebagainya. Sangat mendukacitakan.
“Jadi cukuplah bagi mereka peluang pegang Selangor. Rakyat perlu bagi mandat kepada BN untuk mentadbir kesejahteraan rakyat di Selangor ini pada pilihan raya akan datang,” katanya lagi.
http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/08/tak-guna-duit-banyak-tapi-gagal-urus.html
No comments:
Post a Comment