Beberapa rakan saya pulang dari KL sempena Aidil Adha semalam. Petang tadi, kami sempat ngeteh di bandaraya Alor Setar. Topik panas sekali lagi menjadi subjek bualan. Hampir 3 jam kami berbincang. 2 ahli UMNO, 1 PKR, 2 PAS dan 1 PAN, kami 6 orang semuanya.
Kami berbincang tentang politik Kedah. Paling hangat pada saya ialah sama ada UMNO mampu kekalkan kuasa di Kedah atau tidak pada PRU ke-14 nanti?
Boleh kata semua kawan-kawan saya jangka UMNO akan tewas di Kedah sekali lagi, termasuk rakan saya yang juga ahli UMNO tu. Depa kata, itu realiti sokongan sekarang. Saya senyum. Dan saya pun mulakan hujah saya...
Saya senaraikan kekuatan UMNO dan BN di Kedah;
BN mempunyai 2 orang Menteri mewakili Kedah. BN juga ada 2 Timbalan Menteri mewakili Kedah. BN juga ada pemimpin besar dalam agensi besar di peringkat pusat seperti Tabung Haji. Merujuk pada titah Sultan Kedah dalam ucapan perasmian sidang Dun Kedah hari tu, Baginda mahu Kedah ada hubungan baik dengan Kerajaan Pusat untuk memudahkan pembangunan berlaku di Kedah.
Kenapa perlu ada hubungan baik? Sebab Kedah adalah antara negeri miskin yang masih perlukan bantuan peruntukan dari Kerajaan Pusat. Lagipun, kita ada banyak lagi sektor yang perlu dibangunkan di Kedah. Tanpa bantuan dari Pusat, maka pembangunan akan lembab sikit...
Dengan adanya pemimpin-pemimpin UMNO/BN yang saya katakan di atas, depa telah memainkan peranan yang penting untuk tujuan tersebut. Maka saya tidak dapat melihat sebarang alasan lagi untuk UMNO/BN gagal membangunkan Kedah dalam keadaan sekarang ini.
Saya senaraikan lagi kekuatan UMNO dan BN di Kedah;
UMNO/BN kini mentadbir negeri Kedah. Diketuai oleh anak jati Kedah, tinggal di Kedah dan kuat bekerja, ketua kerajaan BN Kedah tahu dan sangat arif apa yang diperlukan di Kedah berdasarkan pengalamannya yang luas. Dia juga mengetuai UMNO Kedah. Walaupun berlaku peralihan kuasa, kemakmuran di Kedah dapat dilihat dengan jelas di setiap sektor dan bidang. Kedah tetap aman dan makmur di bawah pentadbiran Kerajaan BN negeri Kedah.Pentadbiran dan politik berjalan seiring. Bukan saja berjalan, malah berlari memacu kemakmuran negeri.
Dalam bidang Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, IMTGT. Kita dapat saksikan banyak pelaburan masuk ke negeri Kedah. Pelaburan masuk dengan nilai yang tinggi, berbilion-bilion masuk ke negeri ini sekaligus memakmurkan kek ekonomi Kedah. Rakyat dapat peluang pekerjaan dan negeri dapat kutip cukai dari pelabur.
Dalam bidang Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan, Kebajikan Masyarakat pula, Saya melihat semua ibu tunggal, golongan OKU, fakir miskin dan orang susah di Kedah sudah mendapat pembelaan sewajarnya. Dah tentu orang Kedah suka pada UMNO bila ini berlaku. Sektor pertanian di Kedah juga semakin baik dengan hasil-hasil pertanian yang meningkat. Golongan petani di Kedah semakin mendapat nikmat dan senang hidup mereka. Teknologi pertanian di Kedah kini lebih hebat dari para petani di Sekinchan, Selangor.
Dalam bidang Pendidikan, Pengangkutan, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), dengan kuasa yang ada dalam bidang pendidikan negeri, bukan setakat budak sekolah, malah guru-guru, JPN dan PPD pun berada di dalam penguasaan UMNO. Apatah lagi dibantu dari Kerajaan Pusat, bidang pendidikan di Kedah semakin menyerlah. NGO-NGO di Kedah sudah dikuasai. sudah tentu sokongan pada BN mudah diperoleh.
Bagi bidang Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga pula, UMNO telah merancang dan melaksana pelan strategik perumahan yang mampu menambah bilangan pengundi di Dun atau Parlimen secara strategik. Bab air (SADA) pula dalam progress untuk diselesaikan segala masalah yang berbangkit sejak sekian lama. Kerajaan BN Kedah dilihat sebagai seorang yang berjasa kepada rakyat. Selain itu, tiada lagi banjir kilat berlaku di kawasan-kawasan di negeri Kedah. Dah tentu BN akan dipilih rakyat pada PRU nanti.
Dalam bidang Agama, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya. Bab agama Islam, pelancongan dan kerja raya semua bawah Kerajaan BN Kedah. Ia akan memudahkan UMNO/BN raih sokongan dari umat Islam. Bab pelancongan pula lebih mudah dihighlight banyak lokasi pelancongan Kedah di mata dunia. Kedah kini semakin famous dan makin ramai pelancong mai ke Kedah. Secara tidak langsung, rakyat Kedah dapat tempias ekonomi pelancongan yang lumayan. Kat Langkawi sekarang khabarnya ramai orang dah makin senang dan keluar dari kepompong kemiskinan. Siapa punya jasa? Kerajaan BN Kedah jugak..
Bagi bidang Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan, saya melihat bidang ini sangat penting di Kedah. Bidang ini menyaksikan Kerajaan BN Kedah memiliki kuasa untuk membangunkan kawasan luar bandar di Kedah. Bila wujud pembangunan, maka ia akan memudahkan agenda membasmi kemiskinan. Sudah tidak ada lagi laporan di Sinar Harian atau mana-mana media tentang kemiskinan rakyat Kedah. Itu membuktikan Kerajaan BN Kedah sudah berjaya merubah landskap transformasi ekonomi Kedah yang mapan.
Dalam bidang Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia. Menerusi bidang ini, ia melambangkan penguasaan penuh terhadap semua akses ICT di negeri Kedah. Bukan setakat Wi-fi, malah prasarana ICT seperti rangkaian fiber optik untuk akses pantas internet disediakan di seluruh negeri termasuk di Langkawi dan kawasan pedalaman. Banyak teknologi yang canggih telah dibawa masuk ke negeri Kedah dan rangkaian telekomunikasi juga semakin mantap dengan kadar capaian di luar bandar yang meningkat baik. Dari Nami hingga ke Karangan, Kulim, semua telah terjaring.
Dalam bidang Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan, saya melihat ramai belia yang semakin rapat dan mesra UMNO. Pertambahan pengundi dari kalangan belia dan beliawanis terhadap parti juga meningkat. Kerajaan BN Kedah telah menyediakan banyak peluang pekerjaan di Kedah kepada golongan belia. Bukan setakat itu, bidang sukan terutamanya bola sepak juga semakin mantap. Helang Merah semakin tinggi terbang di persada Liga Super. Maka tidak hairanlah ramai golongan muda di Kedah tertarik untuk terus menyokong Kerajaan BN Kedah. Maka tidak hairanlah ramai penaja yang berebut-rebut nak taja pasukan Kedah.
Daari sudut Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, Kesihatan dan Perpaduan, saya melihat alam sekitar di Kedah semakin terpelihara. Contohnya hutan bakau di Semeling. Perpaduan di kalangan rakyat Kedah yang berbilang bangsa, agama dan keturunan juga semakin mantap. Orang Cina menghormati orang Melayu, dan begitu juga bangsa lain seperti India dan Siam yang semakin subur semangat 1Malaysia di jiwa mereka.
Justeru itu, saya tidak melihat lagi Kedah mempunyai alasan untuk kalah pada PRU ke-14 nanti. Semuanya sudah mantap dan hebat. Kerajaan BN kedah sudah dan sedang berada di landasan yang terbaik untuk menang pada PRU ke-14 nanti. Kedah semakin hebat membangun, rakyat Kedah semakin terbela dan maju ke hadapan. Segalanya hampir sempurna.
Maaflah jika pandangan saya ini bertentangan dengan pandangan rakan-rakan. Tapi itulah yang saya katakan sebagai sebuah "keyakinan" yang jitu. Ini hanya pandangan saya saja. Terserahlah untuk setuju atau tidak. Yang penting, kita teruskan usaha dan berjuang demi agama, bangsa dan negara...
http://blog2-barisan.blogspot.my/2016/09/duke-of-umno.html
No comments:
Post a Comment