ALOR SETAR - Bekas Pegawai Khas Politik kepada Dato' Seri Mukhriz Mahathir menegaskan bahawa kesilapan terbesar bekas Menteri Besar Kedah itu adalah kerana beliau membawa 'orang luar' dan memilih beberapa pegawai tertentu yang tidak tepat ketika menjadi Menteri Besar.
Katanya, beberapa individu yang dilantik menjadi pegawai kanannya adalah orang luar yang tidak tahu tentang sosio-budaya politik di Kedah, selain mengambil mereka yang tiada pengaruh politik dan kurang disenangi untuk bersamanya.
"Kesilapan terbesar Mukhriz adalah ambil orang luar jadi pegawai-pegawai kanannya. Sampai 3 tahun pun, mereka masih gagal memahami budaya politik di Kedah, tak faham cara pemimpin UMNO di Kedah berpolitik.
"Mukhriz ambil individu yang tidak mempunyai hubungan baik dengan UMNO Bahagian di seluruh Kedah.. UMNO Bahagian dia sendiri pun tolak dia.. tapi Mukhriz ambil, maka susahlah nak buat kerja dan tugasan politik," katanya ketika dihubungi Kedahnews.com.
Lebih parah lagi kata Haris, bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah itu sendiri tidak benar-benar kenal dengan para pemimpin parti sama ada di peringkat UMNO Bahagian, AJK utama UMNO Bahagian dan sayap-sayap parti seperti Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.
"Dia hanya kenal segelintir saja dari mereka yang dekat dengannya dan ada jawatan. Timbalan Ketua, Naib Ketua, AJK-AJK Bahagian, ketua-ketua Wanita, Pemuda dan Puteri bukanya dia kenal sangat pun.
"Ada yang hanya kenal rupa, tapi tak tahu nama. Ada yang dia tahu nama, tapi tak kenal rupa. Sebagai Pengerusi UMNO Negeri, sekurang-kurangnya kenal dengan sebahagian besar pemimpin UMNO di Kedah. Bukan semua perlu kenal, tapi perlu peduli dan ambil tahu.
"Maka sebab itulah dia tak dapat sokongan dari dalam UMNO. Sikapnya sendiri buat pemimpin parti rasa jauh darinya, macam mana nak jadi ketua yang baik jika begitu?," katanya menjelaskan sikap sebenar Mukhriz di sebalik tabir.
Mengulas mengenai pemecatan Mukhriz hingga menyebabkan tertubuhnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Haris menegaskan bahawa bukan Najib yang sebenarnya memecat bekas Menteri Besar itu, sebaliknya beliau sendiri yang "memecat diri sendiri".
"Dia sendiri yang langgar peraturan parti. Zaman bapanya dulu kalau langgar peraturan parti macam tu pun akan dipecat dari parti. Saya sudah sarankan agar berjumpa dengan Perdana Menteri, tapi dia enggan.
"Amanah sebagai Menteri Besar itu dilantik oleh Perdana Menteri.. jadi adalah lebih baik dan seelok-eloknya dia patut berjumpa Perdana Menteri.. dengar penjelasan terlebih dahulu, bukan jejaskan imej institusi Presiden dan parti," katanya.
Jelas Haris lagi, Mukhriz selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri dan Menteri Besar sewajarnya memberi contoh yang baik kepada ahli parti yang lain, bukan dengan memburuk-burukkan keadaan dengan menabur persepsi negatif.
"Sebagai Menteri Besar dan Pengerusi UMNO Negeri beliau sepatutnya pergi berjumpa Perdana Menteri untuk mendapatkan penjelasan... itu baru betul caranya.. parti-parti mana pun amalkan cara perlembagaan dan peraturan yang begitu, kan?" ujarnya lagi. -Kedahnews.com
http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/09/bekas-pegawai-khas-dedah-kesilapan.html
No comments:
Post a Comment