“BN akan menang besar PRU14,” kata Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman, seorang ahli akademik yang cukup dikenali kerana hasil kajiannya yang kadang kala mencetuskan kontroversi.
Kerana bertegas dengan prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban akademiknya, Mohammad Redzuan terpaksa keluar meninggalkan biliknya sebagai Pengarah UMCEDEL (Pusat Kajian Demokrasi & Pilihan Raya Universiti Malaya) - yang beliau sendiri tubuhkan - apabila hasil kajiannya tidak memihak kepada pemerintah.
Begitupun, beliau tidak menoleh ke belakang dalam memacu integriti dan kredibilitinya sebagai ahli akademik.
“Akademik, adalah mengatasi politik,” katanya kepada Editor Sinar Harian, MUHAMAD MAT YAKIM dan jurufoto, AFIQ RAZALI di pejabat Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Shah Alam, baru-baru ini.
Mohamad Redzuan kemudiannya bercakap panjang mengenai isu-isu persempadanan semula kawasan pilihan raya yang menjadi topik panas seminggu dua ini. Beliau juga turut menyentuh beberapa isu lain dalam pertemuan yang penuh mesra.
Bagaimana Prof. melihat cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya kali ini?
Sejarah menunjukkan bahawa setiap kali dibuat persempadanan, BN akan mencatat kemenangan besar.
Kemenangan yang dicapai BN pada 2004, kebanyakan orang anggap bersebab dengan faktor Pak Lah semata-mata. Sebenarnya tidak. Pak Lah hanyalah salah satu faktor.
Pada PRU 2004, banyak kerusi yg dimenangi pembangkang dalam PRU 1999 dirampas semula oleh BN bukan kerana faktor Pak Lah.
Sebaliknya kerana persempadanan semula. Saya ambil contoh bagi Dun Kajang. Mengapa Dr. Shafie Abu Bakar, (Adun Pas Kajang 1999-2004) kalah di Dun ini?
Kenapa pula Kak (Datuk Seri Dr.) Wan (Azizah Wan Ismail) di Permatang Pauh mendapat undi yang jauh merosot jika dibandingkan dengan kemenangan yang dicapai dalam PRU 1999? Dan apa yang berlaku di Terengganu (apabila BN mengambil alih pemerintahan negeri dari tangan Pas)?
Ternyata persempadanan merupakan faktor yang mencorakkan keputusan yang berlaku.
Sebagai contoh di Dun Kajang, apabila kami membuat ground mapping, didapati terdapat dua peti undi dengan pengundi campuran yang dimasukkan dalam Dun Kajang. Peti undi ini juga boleh dimasukkan ke dalam Dun Dusun Tua.
Dalam kata lain, jika peti undi itu boleh memenangkan BN di Dusun Tua, ia boleh dimasukkan ke Dun Dusun Tua. Kalau boleh membantu memenangkan mereka di Dun Kajang, akan dimasukkan ke Dun Kajang. Ini merupakan penyumbang kepada kekalahan Pas di Dun Kajang pada 2004. Walau bagaimanapun, sejak PRU 2008, ini sudah tidak relevan kerana kawasan yang mempunyai undi campuran tidak lagi memihak kepada BN.
Persempadanan memang dibuat untuk memenangkan BN?
Pada PRU 2004, ramai orang Melayu memihak kepada pembangkang berikutan Peristiwa Mata Lebam. Orang Cina pula solid kepada BN. Persempadanan 2004 dibuat dengan membanyakkan kerusi campuran dengan pengundi Melayu dan bukan Melayu pada nisbah 60:40 atau 55:45. Ini membawa kepada banyak kawasan campuran diwujudkan terutama di pantai barat Semenanjung.
Pada pilihan raya 2008, kawasan campuran memihak kepada pembangkang (BN tewas). Jadi persempadanan yang baharu ini perlu dibuat mengikut kelompok. Kaum Cina satu kelompok, Melayu satu kelompok.
Contohnya, di kawasan Parlimen Seputeh. Kalau dahulu (DAP) menang di situ dengan mendapat undi yang besar, sekarang BN tidak kisah kalau DAP menang dengan mendapat undi yang lebih besar kerana kawasan ini adalah majoriti Cina. Apa yang mereka buat ialah beri tumpuan di Parlimen Lembah Pantai. Ini dilakukan dengan membawa masuk kawasan polis (Bukit Aman) dicampur dengan kawasan Melayu di Pantai Dalam. Dengan cara itu, mereka akan dapat (menang) Lembah Pantai.
Kawasan-kawasan lain?
Titiwangsa, sukar untuk Pas menang balik. Bandar Tun Razak memang sukar nak dibuat persempadanan semula atas sebab kawasan itu agak padat. Bagi kawasan Parlimen Lembah Pantai, saya boleh katakan sukar bagi pembangkang mengekalkan kerusi ini. Dengan anggaran 6,000 undi polis Bukit Aman masuk (Lembah Pantai) dan pertambahan pengundi baharu, harapan YB Nurul Izzah untuk mengekalkan kawasan berhadapan laluan sukar.
Mengapa Prof. kata begitu?
Keadaan tidak sama dengan 2004. Kalau dahulu, apabila dibuat persempadanan, orang terima sahaja tetapi sekarang, selain SPR, orang lain pun ada kepakaran membuat kajian. Sebagai contoh kami juga boleh buat ground mapping sama seperti yang SPR buat bagi mengetahui apa yang dilakukan dengan kawasan yang baru dibentuk.
Dari segi pendedahan media, masyarakat kita juga sudah terbuka. Sebelum 2004, parti pembangkang tidak memberi perhatian serius tentang persempadanan tetapi sekarang, mereka sudah tahu bagaimana nak protes malah boleh membuktikan sebab mereka tidak puas hati. Dalam soal ini, apa yang kita pentingkan adalah masyarakat mahukan ketelusan dan keadilan.
Masyarakat boleh menerima siapa sahaja yang menang pilihan raya, siapa yang menang akan disokong untuk memerintah tetapi biarlah kemenangan itu diperoleh dengan cara jujur. Kalau menang dengan cara tidak jujur, memerintah tidak mempunyai legitimasi dan cenderung bertindak secara sewenang-wenangnya. Rakyat dikaburi dengan alasan pemerintah sudah mendapat mandat.
Apa yang sedang berlaku ini, bagi saya boleh dianggap seperti satu penyelewengan. Ini jenis penipuan yang dihalalkan. Mereka akan beritahu “kami menang pilihan raya, dapat banyak kerusi, dapat banyak undi” tetapi realitinya?
Mereka menang dengan cara yang tidak gentleman. Saya yakin majoriti rakyat mendukung amalan demokrasi, mereka terima siapa yang mendapat mandat rakyat, satu undi menang pun kena terima, itu kematangan demokrasi tetapi biarlah dengan cara yang baik.
Bagaimana pula dengan tempoh berkempen?
Selain persempadanan, faktor lain dalam amalan demokrasi juga mempengaruhi keputusan pilihan raya. Tempoh masa berkempen juga terbukti menentukan keputusan PRU.
Antara ‘kesilapan’ besar Pak Lah ialah membenarkan kempen 13 hari pada PRU 2008. Zaman Mahathir, hanya sembilan hari sahaja berkempen dalam PRU 1999. Kalau tempoh berkempen dalam PRU ini dibenar dua minggu, kerajaan Mahathir boleh tumbang pada waktu itu.
Pada 2008, dari segi undi popular, kajian menunjukkan sebanyak tiga peratus sokongan untuk BN menurun setiap hari pada minggu kedua kempen. Kalau kempen pilihan raya 2008 dibuat selama 16 hari, BN hilang lebih banyak kerusi.
Saya pernah membuat kajian yang khusus tentang The Trail of Anwar Ibrahim, di mana (Datuk Seri) Anwar Ibrahim berkempen di seluruh negara dalam PRU 2008. Hampir semua kawasan di mana Anwar turun berkempen sama ada jatuh ataupun jika BN menang, dengan majoriti tipis. Dari Perak, Kedah dia terus ke Pahang. Dari Pahang balik ke Kuala Lumpur. Sebagai contoh, Parlimen Padang Rengas berkemungkinan jatuh jika Anwar sempat berceramah kerana di kawasan tersebut. Anwar dijadualkan berceramah di Kampung Stesyen yang mempunyai 3,000 pengundi Cina dalam kerusi Parlimen Padang Rengas tetapi terpaksa membatalkannya pada saat akhir kerana beliau sampai ketika jam sudah melewati pukul 12 tengah malam. Kalau Anwar berceramah di situ malam itu, ada mungkin (Datuk Seri) Nazri (Aziz) juga kalah. Ini adalah kelebihan ‘aura politik’ yang ada pada Anwar Ibrahim berbanding dengan pemimpin politik yang lain.
Dengan persempadanan ini, Lim Kit Siang pun saya percaya mungkin kalah kalau terus bertanding di Gelang Patah. Johor, Selangor dan Negeri Sembilan paling banyak kerusi campuran. Sekarang kerusi campuran dikurangkan (melalui persempadanan semula) dan dibanyakkan kerusi sama ada pengundi Cina sahaja ataupun Melayu sahaja.
Ini akan mendorong kepada berlakunya perebutan sesama parti pembangkang. DAP ambil kawasan PKR, PKR nak bertanding mana? Kawasan Melayu pula, Pas kata itu kawasan mereka. Macam mana pula dengan Amanah dan Bersatu? Jadi, ini akanmembantu kemenangan BN.
- SH
http://celahgelegar.blogspot.my/2016/10/bn-akan-menang-besar-pru14-kata-prof.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed:+celahgelegarblogspotcom+(CELAH+GELEGAR)
No comments:
Post a Comment