Tanah Besar China, sesuai dengan namanya memanglah sebuah wilayah yang luas saujana mata memandang. Dari segi keluasan tanah, ianya adalah di tangga ketiga selepas Russia dan Canada. Di garis longitud yang terlebar, jarak yang dicatatkan adalah 3,123 batu. Selepas Perang Dunia Pertama, Tanah Besar dibahagikan kepada lima zon masa berbeza. Namun, selepas tewasnya Angkatan Nasionalis Kuomintang pimpinan Generalissmo Chiang Kai-Shek yang berundur ke Taiwan, pimpinan Parti Komunis Presiden Mao Zedong telah menyeragamkan masa kepada lapan jam selepas Garis Masa Greenwich.
Ianya satu langkah yang sangat bijak dari segi politik, kerana dapat menyepadukan masa dengan sekata bagi memudahkan urusan pentadbiran kerajaan, kerja komersil dan persekolahan, Tetapi, ianya juga mengundang kesulitan terutamanya bagi sesetengah wilayah jauh di pendalaman barat China yang menerima Fajar Pagi pada pukul 10. Sudah tentu juga, waktu 9 malam mereka terang benderang dengan mentari petang. Cuma wilayah bekas koloni seperti Hong Kong dan Macao yang tetapi menggunakan penentuan waktu mereka berdasarkan garis masa antarabangsa.
Bagi sesetengah wilayah bandaraya perusahaan seperti Zhuzhou, Shenzhen dan Beijing, hari siang dan malam seakan tiada beza. Di siang hari, matahari seakan terlindung oleh awan-awan dan pencemaran udara yang sangat kronik. Debu-debu industri hasil dari perusahaan kilang yang tidak terkawal serta juga asap hitam dari pencemaran jentera menyelimuti bandaraya ini menjadikan jam 9 pagi seperti masih Subuh hari. Asap yang sangat tebal menjadikan bangunan berhabuk dan kotor serta mendatangkan bahaya penyakit terutamanya berkaitan respiratori pernafasan dan paru-paru.
Pencemaran udara diukur dengan jisim atau sel per sejuta atau ‘parts per million’, ringkasnya (ppm). Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) menggariskan aras 20ppm sebagai bahaya dan jika parasnya melebihi 20ppm, kesihatan manusia sudah tentu terjejas. Purata pencemaran dunia diukur pada takat 71ppm. Ianya paras merbahaya yang mengakibatkan penyakit paru-paru, kanser dan kecacatan bayi dalam kandungan. Beijing, dengan selamba dan secara tetap mencatitkan paras 500ppm! Pernah beberapa tahun lalu ianya merekodkan 775ppm!
Di dalam setiap masalah, mesti ada penyelesaian dan di dalam setiap kerumitan, sudah tentu ada keberuntungan. Pepatah lama ini sangat tepat bagi menggambarkan sikap rakyat Tanah Besar dalam menghadapi masa depan yang semakin sukar. Dengan masalah pencemaran yang sangat kronik dan hampir sifar penyelesaian, muncullah berbagai jenis perubatan dan amalan kesihatan yang menjurus kepada penambahbaikan kepada sistem badan yang telah dicemari oleh udara kotor tadi.
Tanah Besar China memang sinonim dengan hidangan masakan haiwan eksotik yang tidak pernah terlintas di fikiran kita. Makanan untuk kesihatan badan seperi kura-kura dan anjing sememangnya berpadanan dengan biologi badan mereka berhadapan dengan cuaca yang sangat ekstrim sejuk diselang seli angin yang panas mencecah 40 darjah selsius. Pegangan mereka sangat mudah. ‘Andai ianya berjalan, makanya.. makanan lah itu’. Darah ular misalnya dapat mencuci buah pinggang serta menguatkan hati bagi memastikan peredaran darah yang lancar. Itu sebab kadang-kadang saya perhatikan muka mereka ini merah merah belaka. Mungkin baru lepas minum darah ular gamaknya di celah-celah lorong Ammoy Street bersebelahan Johnston Road di Wan Chai.
Rakyat Di Hong Kong mahupun yang di Beijing sentiasa mencari makanan eksotik yang dapat menyeimbangkan tenaga dalaman badan untuk kesihatan dan kesempurnaan mereka. Hati ular misalnya, dapat menghapuskan penyakit asma dan merangsang keaktifan paru-paru dengan pantas. Ianya sangat mahal, dimulakan dengan hidangan sup kepala ular bernilai HKD200 semangkuk. Ianya bersamaan RM100. Paras harga yang tinggi ini adalah disebabkan kerajaan Hong Kong mengawal dan menyelia perdagangan haiwan eksotik ini dengan ketat. Di Beijing lain pula ceritanya. Pencemaran udara yang tinggi itu tadi menyumbang juga kepada kepesatan pembiakan tikus-tikus pembawa penyakit. Sudahlah ianya tidak terkawal, di kawasan kampung pula hampir tiada ular sebab semuanya kena tangkap untuk dijadikan sup. Hasilnya, berlambaklah tikus berkeliaran di lorong-lorong belakang bandaraya Beijing.
Sebuah negara yang terlampau luas, dengan penduduk terlalu ramai dan peluang yang sangat terhad. Ianya menjadikan Tanah Besar China ibarat rimba survival yang mana hanya mereka yang gagah boleh berdiri. Walaupun pencemaran udara dan persekitaran mereka teruk, ekonomi China masih tetap mengukuh dan renminbi beransur-ansur menguasai pasaran komersil dunia. Inilah survival mereka yang tidak mampu disaingi oleh mana-mana bangsa dan keturunan dari benua-benua yang lain. Beruang, buaya, ular tedung dan mengkarung pun mereka panggang bersoskan teriyaki dan BBQ. Orang kita nak melintas pokok berembang pun baca doa puh kiri puh kanan, sehari kena bencana 10 tahun hidup merana.
Di negara tercemar teruk dan pemakan apa saja yang berjalan ini, sikap rajin dan terus berkerja dijunjung sampai mati. Dan jika mereka mati, jika hasrat mereka tidak kesampaian sewaktu hidup di dunia, kaum keluarga mereka akan menghantar duit kertas berjuta-juta dolar untuk kegunaan di alam yang abadi. Hidup ini terlalu singkat untuk disia-siakan. Jadilah seperti ulat yang di dalam batu pun boleh hidup daripada menjadi langau yang mencemar dan merosakkan walau di mana ia hinggap.
No comments:
Post a Comment