PAS mengucapkan sekalung tahniah dan penghargaan kepada keluarga Al Marhum Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din yang telah dikurniakan Anugerah Khas Maal Hijrah sempena Sambutan Maal Hijrah Tahun 1438. Sesungguhnya jasa dan komitmen yang tinggi oleh Al Marhum dalam menegakkan syiar Islam dan memartabatkan Syariah di negara ini tidak dapat sekali-kali dinafikan.
PAS juga menyambut baik penganugerahan Khas Maal Hijrah kepada Al Marhum Tuan Guru Dato' Dr Haron Din oleh pihak kerajaan yang diumumkan oleh YB Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir Hj Baharom (B), Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.
Sesungguhnya ia satu pemilihan yang tepat, penghargaan yang wajar dan pengiktirafan yang selayaknya terhadap perjuangan dan kepimpinan Al Marhum.
Al Marhum Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din yang juga menyandang jawatan Mursyidul Am PAS sehingga ke penghujung hayat beliau pernah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat Negeri Selangor pada tahun 1432H bersamaan tahun 2010.
Anugerah tersebut telah disempurnakan oleh Tengku Panglima DiRaja Selangor, Tengku Sulaiman Shah Al-Haj mewakili Sultan Selangor.
Penganugerahan Khas Maal Hijrah 1438 tersebut adalah satu pengiktirafan kepada jasa besar Al Marhum dalam banyak bidang seperti ekonomi Islam, pendidikan, perubatan Islam, dakwah dan jihad fi Sabilillah.
Bukan sahaja diperingkat nasional malah juga diperingkat antarabangsa.
Apa yang lebih penting, perjuangan dan kesungguhan yang jitu oleh Al Marhum dalam memartabat syariah di tanahair ini seharusnya menjadi ikutan dan panduan oleh seluruh masyarakat muslim, khususnya pendokong perjuangan Islam PAS.
Benarlah, bukan kita yang memulakan dan mengakhiri perjuangan ini, bahkan kita hanya penyambung mata rantai perjuangan.
"Hijrah Ke Arah Memartabatkan Syariah"
Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/10/pas-sambut-baik-pengumuman-jamil-khir.html
No comments:
Post a Comment