Jabatan Peguam Negara berpendapat hukuman yang diperuntukkan di dalam Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) perlu dikaji semula.
Merujuk kepada kes seorang ibu tunggal yang didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret atas kesalahan itu di Johor Bahru kelmarin, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata sudah tiba masanya kajian terhadap hukuman di bawah peruntukan tersebut dilaksanakan agar hukuman yang lebih bersesuaian dikenakan.
Mohamed Apandi berkata hukuman yang dijatuhi terhadap wanita itu adalah hukuman maksimum yang dibenarkan di bawah peruntukan tersebut.
"Oleh yang demikian, rayuan ke atas hukuman tidak akan dibuat," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Kelmarin, Tan Yeoh Foong, 53, mengaku bersalah atas tuduhan menulis perkataan kurang sopan dengan tujuan membangkitkan kemarahan di atas kertas saman trafik yang diterimanya pada 14 Disember.
Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias yang menjatuhkan hukuman denda itu ke atas Tan dan jika gagal membayar denda dikenakan hukuman penjara sebulan, turut menasihati tertuduh supaya tidak mengulangi perbuatannya itu.
Mengikut kertas pertuduhan, Tan didakwa menulis perkataan kurang sopan, iaitu 'babi' di atas kertas saman yang diterimanya, di Jalan Tun Abdul Razak, Johor Bahru kira-kira 8.55 malam Rabu.
- Bernama
http://celahgelegar.blogspot.my/2016/12/denda-tulis-babi-maksimun-hanya-rm100.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed:+celahgelegarblogspotcom+(CELAH+GELEGAR)
No comments:
Post a Comment