Malaysia yang berjaya memperlihat kemajuannya yang pesat, bukan sahaja dikagumi pemerintah negara pengeluar minyak dunia itu tetapi juga kalangan rakyat negara Arab itu.
Pernah ada rakyat Malaysia yang menaiki teksi di Jeddah dari Mekah, terlupa nama hotel penginapannya. Pemandu Arab yang mulanya marah-marah, tiba-tiba melunakkan suaranya apabila diketahui penumpangnya dari Malaysia. Malah, dia pula bersusah payah membantu sambil tidak puas-puas memuji kejayaan dan pemimpin negara.
Bagi Raja Salman dan peme­rintah Arab Saudi sebelum ini, Malaysia adalah contoh kepada negara Islam lain kerana kejayaan yang diraih bukan hanya me­ngangkat martabat umat Islam di pentas dunia tetapi juga memberi manfaat besar kepada kehidupan rakyatnya.
Kunjungan Raja Salman menjadikannya Raja Arab Saudi yang ketiga melawat Malaysia selepas Raja Abdullah Abdulaziz pada 2006 dan juga Raja Al-Malik Faisal pada 1970, ketika kepimpinan negara di bawah Tun Abdul Razak Hussein.
Tidak dapat dinafikan kerjasama antara kedua-dua negara Islam itu sememangnya penting dalam memastikan satu hubungan erat dapat diwujudkan bukan sahaja demi kepentingan umat Islam di Arab Saudi dan Malaysia tetapi juga sejagat.
Kedua-dua negara memainkan peranan penting dalam mempertahankan kedaulatan agama Islam dan adalah penyokong kuat kepada perjuangan rakyat Palestin serta menentang peng­aniayaan umat Islam di negara-negara lain.
Hubungan kerjasama kedua-dua negara meliputi pelbagai bidang terbaharu dalam latihan ketenteraan dinamakan #North_Thunder memberikan pendedahan kepada anggota tentera Malaysia mengenai taktik peperangan di padang pasir. Ia sekali gus memberikan kelebihan pengalaman kepada angkatan tentera negara ini berbanding negara-negara lain di rantau ini.
Sememangnya Arab Saudi menghormati dan memandang tinggi keupayaan negara ini terutamanya kejayaan Tabung Haji menguruskan puluhan ribu jemaah haji dengan cekap dan teratur sehingga mereka dilihat lebih berdisiplin dan berilmu berban­ding negara-negara lain.
Ini jelas apabila Tabung Haji sering kali mendapat pujian pemerintah Arab Saudi. Bahkan, negara-negara Islam juga diminta supaya turut mencontohi kaedah pengurusan haji yang diamalkan Malaysia.
Selain mempunyai kerjasama erat dalam menangani isu-isu antarabangsa, nama Malaysia terus menyerlah di Arab Saudi dalam bidang ekonomi berikutan kejayaan syarikat-syarikat Malaysia di negara berkenaan.
Kepercayaan tinggi pemerintah negara padang pasir itu terhadap kemampuan mereka telah memungkinkan Malaysia menjadi salah satu pelabur utama di negara berkenaan dan turut sama untuk membangun ekonominya.
Hakikat ini dapat dilihat melalui penglibatan Prasarana Malaysia Bhd. dalam sistem kereta api Metro Arafah-Mina dan kejayaan anak Malaysia menghasilkan rekaan pelan tingkat teratas Menara Jam Hotel Diraja Mekah setinggi 601 meter di hadapan Masjidilharam. Ia merupakan menara tertinggi dan terbesar di dunia, tiga kali lebih besar berbanding menara jam Big Ben di London, United Kingdom.
Projek besar lain yang dikendalikan dan berjaya membuktikan kemampuan syarikat Malaysia adalah pembangunan Bandar Ekonomi Jizan berjumlah RM30 bilion dan di Shuhaiba, apabila Tenaga Nasio­nal, Malakoff dan Khazanah Nasio­nal terlibat dalam satu projek tenaga dan penapisan air laut.
Hubungan baik antara pemerintah Arab Saudi itu dengan rakyat negara ini terbukti melalui kesudian Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz menaja pembedahan memisahkan pasangan kembar siam Malaysia yang dilahirkan bercantum, Ahmad dan Muhammad Rosli ketika kedua-duanya berusia empat tahun di King Fahd National Guard Hospital, Riyadh, Arab Saudi melibatkan kos sebanyak RM1.7 juta pada 17 September 2002.
Pembedahan yang mendapat perhatian dunia dan berjaya dilaksanakan mengambil masa selama 22 jam 45 minit dengan diketuai oleh Dr. Abdullah Abdulaziz Al-Rabeeah yang menyifatkan pembedahan itu paling rumit dan cukup dibanggakan kejayaannya.
Sesungguhnya tautan ikatan yang kukuh antara Malaysia dengan Arab Saudi akan terus erat.
Kunjungan rasmi Raja Salman membawa makna cukup besar bukan hanya kepada Malaysia tetapi umat Islam amnya.
Selamat Datang!
Penulis ialah Pengarang Meja Luar Negara Utusan Malaysia.