Polis menahan seorang wanita yang cuba menyelinap masuk ke dalam sebuah hotel mewah yang didiami Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al Saud di Nusa Dua Bali, semalam.
Jurucakap polis berkata, wanita berkenaan, Dewi Palapa ditangkap selepas masuk ke Hotel St Regis, tempat Raja Salman dan keluarganya bercuti pada jam 12.55 tengah hari (waktu tempatan).
Wanita itu dikatakan berlegar-legar di hadapan pintu masuk hotel sebelum menyelinap masuk dengan mengekori beberapa kereta mewah yang bergerak ke bangunan berkenaan.
Anggota polis yang memerhati gerak-geri wanita itu kemudian menahan suspek dan membawanya ke pusat kawalan untuk pemeriksaan lanjut.
“Ketika soal siasat, wanita itu mengaku dia mahu masuk ke hotel itu untuk berjumpa dengan Raja Salman.
“Dia memberitahu mahu meminta Raja Salman menukar arah kiblat dari barat ke timur,” katanya.
Wanita itu juga dilaporkan membawa beg yang mengandungi beberapa kertas puisi yang mahu diberikan kepada Raja Salman.
Selepas disoal siasat, polis memberi amaran kepada wanita itu supaya tidak mengulangi perbuatan berkenaan sebelum membebaskannya.
Raja Salman dan rombongannya bercuti di Bali hingga 12 Mac ini selepas melawat Malaysia dan Indonesia, baru-baru ini. -Agensi
http://celahgelegar.blogspot.my/2017/03/polis-tahan-wanita-minta-raja-salman.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed:+celahgelegarblogspotcom+(CELAH+GELEGAR)
No comments:
Post a Comment