Kerajaan Barisan Nasional (BN) terus komited mendukung Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam adalah agama bagi Persekutuan dengan agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, banyak yang sudah dilaksanakan kerajaan untuk memastikan Islam terus berkembang dan kebajikan umatnya di negara ini terus dipelihara.
Katanya, ia termasuk menyalurkan peruntukan masing-masing RM50 juta kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan Sekolah Pondok yang berdaftar seperti diumumkan dalam Bajet 2017.
Beliau berkata, pendekatan wasatiyyah dalam pentadbiran kerajaan juga menarik minat banyak pihak dan menjadikan Malaysia sebuah negara Islam progresif di mata dunia.
Katanya, konsep wasatiyyah, keadilan sosial dan kesaksamaan akan terus menjadi pegangan selagi beliau masih menjadi Perdana Menteri termasuk dalam hal ehwal politik.
"Kita mendapat banyak pengiktirafan antarabangsa dalam usaha kita memerangi keganasan yang kononnya berlandaskan Islam, contohnya ketika lawatan saya ke India baru-baru ini, Perdana Menteri Modi (Narendra) menyatakan minat beliau dalam pelan deradikalisasi Malaysia.
"Suara kita turut didengari apabila kita membantah kekejaman terhadap etnik Rohingya di Myanmar. Ulama terkenal seperti Mufti Menk (Ismail ibn Musa Menk) juga menyokong usaha Malaysia dalam menyebarkan Islam yang berpaksikan kesederhanaan dan kasih sayang, " katanya dalam entri terbaru di blognya, NajibRazak.com, hari ini.
Perdana Menteri berkata, sebelum ini, umat Islam di Malaysia berpecah-belah dan ada pemimpin yang membantutkan pembangunan di negeri tertentu kerana fahaman politik yang berbeza.
"Alhamdulillah, realiti semasa sudah berubah. Umat Islam di Malaysia sudah bekerjasama dan bersatu dalam memastikan kebajikan umat Islam dan kesucian agama terus dipelihara.
"Dari segi pembangunan pula, tiada negeri yang ditinggalkan. Contohnya, dalam merangka projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), negeri Kelantan di bawah pentadbiran PAS akan turut menerima manfaat pembangunan apabila stesen terakhir terletak di Pengkalan Kubor, Tumpat, " katanya.
Mengulas usaha kerajaan selama ini dalam membangunkan hal ehwal Islam, Najib berkata kerajaan turut memperuntukkan RM30 juta bagi menyelaraskan pendidikan tahfiz melalui Dasar Tahfiz Negara ke arah memastikan institusi pendidikan tahfiz al-Quran terus subur dan berkembang.
Beliau berkata, kerajaan menyedari pendidikan al-Quran dan tahfiz al-Quran adalah ramuan signifikan dalam memelihara Islam, sekali gus menolak tohmahan dan fitnah golongan ekstremis terhadap Islam.
"Ini juga adalah salah satu cara kerajaan untuk memastikan fahaman ekstremis tidak menular di Malaysia.
"Ini sejajar dengan visi saya untuk membina sumber tenaga manusia yang holistik, bukan sahaja berkebolehan dari segi akademik tetapi berkeupayaan dalam pelbagai aspek termasuk ketakwaan dan jati diri sebagaimana dituntut oleh Islam, " katanya.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan kebajikan pihak yang terbabit dalam bidang agama akan terus menjadi agenda utama kerajaan dalam memperkasakan Islam.
Perdana Menteri berkata, perjalanan memartabatkan Islam masih jauh dan masih banyak yang perlu dilakukan dalam memastikan Malaysia terus menjadi negara Islam yang moden dan progresif.
Beliau berkata, ia bukanlah satu kerja yang mudah kerana Malaysia adalah sebuah negara yang berbilang kaum dan berbilang agama.
"Nescaya sensitiviti antara kaum haruslah diambil kira dalam penggubalan apa-apa polisi demi memelihara keamanan negara. "Insya-Allah, dengan berkat-Nya, usaha kita untuk terus mendukung Islam akan terus dirahmati," katanya.
http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2017/04/kerajaan-bn-terus-dukung-perkembangan.html
No comments:
Post a Comment