PAS memuji dan menyokong tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin menangguhkan sesi perbahasan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau Akta 355 ke sidang akan datang.
Sambil menyifatkan ia adalah keputusan yang bijak dan berhikmah, Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan, berkata keputusan itu juga adalah tindakan terbaik jika mengambil kira gelagat dan aksi sebahagian Ahli Parlimen memperlekehkan tugas Speaker.
Katanya, selayaknya Ahli Parlimen yang membantah pembentangan RUU 355 berterima kasih kepada Pandikar kerana menangguhkan sesi perbahasan kerana itu yang dikehendaki mereka sejak awal lagi.
Katanya, dengan keputusan terbaik itu, PAS masih mempunyai banyak masa untuk terus memberi kefahaman kepada Ahli Parlimen, pemimpin politik dan pelbagai pihak supaya memahami kewajaran pindaan Akta 355.
“Mereka (Ahli Parlimen yang membantah) mempersoal kenapa lebai PAS tidak bangun membantah keputusan Speaker Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan ‘355’.
“Bukankah PAS yang membawa 355 ini ke Parlimen? Buat himpunan, solat hajat dan sebagainya supaya berjaya di Parlimen. Apabila Speaker Dewan Rakyat tangguh, kenapa PAS tidak bantah?
“Saya tidak bangun membantah kerana saya memang bersetuju dengan keputusan itu, malah saya sifatkan keputusan itu adalah bijak dan berhikmah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh, berkata penangguhan sesi perbahasan Akta 355 membolehkan PAS terus bekerja gigih mengangkat isu ‘355’ dan memberikan kefahaman kepada masyarakat mengenainya.
Katanya, keputusan Pandikar itu juga menangguhkan rancangan pihak terbabit untuk menolak pindaan Akta 355 melalui undi belah bahagian.
“Logiknya, PAS adalah pihak yang paling terkesan apabila pindaan Akta 355 ini senantiasa tertangguh. Dua kali ditangguh sendiri oleh Datuk Seri Abd Hadi iaitu pada 26 Mei 2016 dan 24 November 2016.
Kali ketiga, ia ditangguhkan oleh Speaker sendiri.
“Jika tangguh itu suatu yang merugikan PAS, maka sudah tentu musuh PAS akan beraya sakan meraikan penangguhan ini kerana mereka tentu sahaja mahu PAS rugi. Bagaimanapun, ternyata mereka marah apabila ‘355’ ditangguh-tangguh,” katanya.
No comments:
Post a Comment