Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Sunday 9 April 2017

RUU355: Sikap DAP sudah dijangka... tapi pendirian PKR mengejutkan



Perkara paling menarik dalam penghuraian usul persendirian Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dalam sidang Dewan Rakyat semalam bukanlah huraian itu sendiri, tetapi cubaan pemimpin Pakatan Harapan (PH) menghalang Hadi.


Seluruh rakyat dapat menyaksikan betapa bersungguhnya pemimpin DAP mengganggunya bermula dari tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, cuba melengahkan masa dengan mempersoalkan tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, menolak usul persendiriannya mengenai Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Ini diikuti tindakan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, mempersoalkan kewajaran RUU 355 diteruskan setelah Pandikar menerima writ pemula Tawfik Tun Dr Ismail bagi menghalangnya, tetapi Pandikar merujuk kepada amalan dan prosedur Parlimen di India, di mana peraturan subjudis tidak boleh menghalang Parlimen dari membuat undang-undang.

Tegas Pandikar, yang disokong oleh keterangan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan, mengenai penolakan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas cabaran sama oleh Mansoor Saat dan tiga rakannya pada 2015 kerana ia bersifat pra-matang, cabaran ke atas keabsahan undang-undang hanya boleh dibuat setelah ia diluluskan oleh Parlimen.

Cubaan Gobind memanjangkan isu ini dengan mengaitkannya dengan keputusan Pandikar menolak perbincangan mengenai isu 1MDB yang dibicarakan di mahkamah juga ditepis dengan baik oleh Pandikar yang menjelaskan perbezaan antara isu 1MDB dan isu ini yang hanya menyentuh soal sama ada RUU 355 bertentangan dengan perlembagaan atau tidak.

Tindakan DAP ini tidak mengejutkan kerana sikapnya telah diketahui, tetapi yang membuatkan banyak kepala menggeleng adalah tindakan keras pemimpin PKR melalui Ahli-Ahli Parlimen Gopeng (Dr Lee Boon Chye), Alor Setar (Gooi Hsiao-Leung) dan Padang Serai (N Surendran Nagarajan) yang melanggar keputusan PKR menerima dan mengiktiraf hak Hadi.

Boon Chye mempersoalkan kewajaran memberi keutamaan kepada Hadi, tetapi ini dijawab oleh Pandikar yang menjelaskan mengenai mandat yang diterimanya dari kerajaan. Tidak berpuas hati, Boon Chye mempersoalkan pula apakah usul Hadi ini usul atau RUU Ahli Bukan Kerajaan menyebabkan beliau diberikan syarahan panjang mengenainya oleh Pandikar.

Hsiao-Leung pula membangkitkan persoalan mengenai perkenan Majlis Raja-Raja yang didakwa tidak diperolehi sebelum RUU 355 dibawa ke Parlimen, tetapi ini dijawab oleh Pandikar melalui rujukan kepada Penyata Parlimen yang membutirkan apa yang berlaku sewaktu Akta 355 diperkenalkan pada 1965 dan dipinda pada 1984 yang membuktikan ia tidak diperlukan.

Jelaslah bahawa tindakan pemimpin PKR dan DAP ini, selain tindakan Khalid Samad dari PAN melalak tidak berpuas hati bila Parlimen ditangguhkan, menimbulkan lebih banyak keraguan ke atas komitmen PH mempertahankan Islam. Tindakan pemimpin PKR tentunya akan menjadikan tuntutan supaya PAS memutuskan kerjasama politiknya dengan PKR menjadi lebih kuat.

Menjadi tular dalam media sosial adalah gelagat penuh emosi Kit Siang mempersoalkan sokongan MCA, MIC dan GERAKAN ke atas mandat kerajaan yang diterima oleh Pandikar yang menunjukkan keterdesakan beliau untuk menghalangnya sekali gus mempolitikkan isu ini hingga memaksa Pandikar menunjukkan ketegasan yang memaksa Kit Siang akur.

Turut terserlah ialah pembohongan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua, di dalam video khas yang dikeluarkan oleh DAP bagi memburukkan RUU 355 dengan mendakwa RUU persendirian tidak pernah dapat dibentangkan walhal ia pernah beberapa kali dibenarkan, termasuk usaha Tengku Razaleigh Hamzah untuk meminda Akta Pertubuhan pada 1988.

Syukurlah, walaupun RUU 355 belum dapat dibahaskan, usaha untuk mendaulatkan Islam sebagai agama negara telah maju setapak ke hadapan. Lebih penting ialah peristiwa semalam menyerlahkan sikap pemimpin tertentu yang akan menentang apa sahaja yang memihak kepada Islam sehingga sanggup memanipulasi apa sahaja untuk mencapai matlamat mereka.-7/4/2017

Penulis merupakan Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).

http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2017/04/ruu355-sikap-dap-sudah-dijangka-tapi.html

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...