SHAH ALAM: Selepas terpalit isu ahli keluar parti, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kini dicemari dengan dakwaan wujud aktiviti jual jawatan tertinggi peringkat bahagian di Johor.
Seorang sumber berkepentingan dalam parti itu mendedahkan kepada Sinar Harian mendakwa, seorang individu telah ditawarkan jawatan ketua bahagian PPBM di negeri itu namun perlu mematuhi syarat-syarat tertentu.
Sumber itu mendakwa, antara syarat tawaran yang diberikan menerusi aplikasi WhatsApp itu ialah individu itu perlu membayar RM250,000 untuk mendapatkan jawatan tersebut selain syarat sampingan yang perlu dipatuhi ketika jawatan itu menjadi miliknya.
"Selain wang tunai yang perlu diberikan, syarat lain yang perlu dilaksanakan ialah menyediakan pejabat kekal, mengekalkan ahli jawatan kuasa sedia ada dan elaun bulanan mengikut ranking, memberikan gaji kepada setiausaha dan meneruskan serta menambah program di bahagian tersebut.
"Itu baru satu bahagian. Bagaimana pula dengan bahagian PPBM yang lain?," dedahnya yang dipetik dari akhbar itu.
Sumber tersebut turut mendedahkan, ada kalangan ketua bahagian parti itu berstatus muflis tetapi tetap dilantik.
"Malah, beberapa ketua bahagian juga didakwa mempunyai rekod dikehendaki polis. Bagaimana lantikan dan sumpah ikrar terhadap presiden parti itu boleh dilakukan sekiranya ada ketua bahagian muflis dan mempunyai rekod polis?
"Sebelum lantikan dibuat, seharusnya kesemua calon ketua bahagian diselidik latar belakang mereka. Tidak sukar untuk menyemak sejumlah nama ini," katanya.
Sementara itu, sumber tersebut mempersoalkan adakah pucuk pimpinan tertinggi PPBM menyedari perkara tersebut atau adakah lantikan itu dilakukan secara tangkap muat bagi membuktikan bahawa mereka merupakan parti yang sudah bersedia berdepan PRU14 nanti.
"Pucuk pimpinan tertinggi PPBM seharusnya memandang serius berhubung apa yang berlaku di negeri ini. Jangan kerana nila setitik, perjuangan PPBM terus berkubu," katanya.
Katanya, tindakan beberapa individu ini telah merosakkan parti dan ia telah melemahkan semangat akar umbi.
"Mereka membawa budaya politik dari parti-parti tertentu. Kita di bawah mahukan pemimpin yang benar-benar ikhlas bagi membawa negara ke arah yang tepat," katanya.
http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2017/04/wujud-aktiviti-jual-jawatan-dalam-ppbm.html
No comments:
Post a Comment