Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Friday, 26 May 2017

"Natrah : Cinta, Rusuhan dan Air Mata"

Kisah Masyarakat : Sejarah - Kupasan terkini peristiwa Natrah: Melayu kembali tidur...?


Gambar 1 : Buku yang ditulis oleh Puan Sri Fatini Yaacob diterbitkan oleh Universiti Teknologi Malaysia

Jika dibaca buku mengenai kisah nasib gadis Belanda Natrah @ Maria Hurberdina Bertha Hertogh, 67 tahun lalu, pasti ramai yang lebih 'terkesan' dengan kisah cinta dan kasih sayangnya. Cinta terhadap suaminya, Mansor Adabi dan kasih serta sayang terhadap ibu angkatnya, Che Aminah.

Tetapi bagi mereka yang hidup di zaman penuh tragedi dan provokasi serta mereka yang mengikuti kisah itu, pastinya ia merupakan satu sejarah yang tidak mungkin akan luput sehingga bila-bila.

Biarpun sudah lebih enam dekad tragedi berdarah sehingga tercetusnya Rusuhan Natrah itu, tetapi implikasi yang berlaku daripada tragedi itu sebenarnya cukup relevan dengan apa yang berlaku hari ini.

Jika ada yang mempersoalkan kenapa isu Natrah masih lagi mahu dipanjangkan dan dibincangkan, jawapannya cukup mudah.

Kisah itu sebenarnya telah meninggalkan impak yang cukup besar dalam sejarah terutama sekali apabila ia membabitkan soal agama, budaya dan latar belakang.


Gambar 2 : Puan Sri Fatini Yaacob sedang memberikan ucapan di dalam Program Pembentangan Natrah

Menurut penulis buku  'Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata', Puan Sri Fatini Yaakob, berkata, ramai yang tidak sedar, Rusuhan Natrah itu telah membuka mata orang Melayu untuk mempertahankan maruah agama dan bangsa.

"Sebelum kisah Natrah ini berlaku, orang Melayu dianggap penjajah sebagai satu bangsa yang bodoh dan malas. Namun, peristiwa yang menimpa Natrah ini merupakan takdir Allah untuk membangkitkan kesedaran orang Melayu daripada terlalu mengagungkan Barat.

"Inilah takdir Allah yang sangat besar terhadap bangsa Melayu. Sekiranya Allah tidak hantar anak mat saleh (Natrah) itu, orang Melayu akan terus menerus memuja mat saleh, dan kita akan lambat lagi merdeka.

"Jadi apabila Allah hantar Natrah, dengan sendiri orang Melayu baru sedar, bahawa mereka telah menghina maruah dan harga diri mereka sendiri," katanya.

Hanya kerana sedikit 'kesilapan' yang dilakukan Che Aminah Ahmad, iaitu menjodohkan Natrah yang pada ketika itu berusia 13 tahun dengan Mansor Adabi, seorang guru berusia 22 tahun, orang Melayu bangkit mempertahankan maruah agama.

Undang-undang Belanda menetapkan remaja di bawah 16 tahun tidak boleh dinikahkan dan pernikahan itu berlangsung di Singapura yang mengamalkan undang-undang British.

Akhirnya, pernikahan itu dibatalkan dan Natrah dibawa pulang ke Belanda. Ketika di Belanda, Natrah dimurtadkan, sekali gus mencetus kemarahan warga Singapura dan Tanah Melayu.

Akibatnya, sebanyak 18 nyawa diragut dan 200 lagi tercedera berikutan Rusuhan Natrah yang berlaku pada 12 Disember 1950.

Jelas, peristiwa ini telah membuka mata orang Melayu untuk membela maruah agama, memartabatkan Islam dalam perlembagaan merdeka dan sekaligus bagi mencapai kemerdekaan tanah air.

"Jika bukan kerana kisah Natrah ini, pasti kita akan lambat lagi merdeka walaupun saya tertanya mengapa kita merdeka selepas tujuh tahun peristiwa ini berlaku," ujar Fatini.

Kisah Natrah merupakan takdir yang ditentukan oleh Allah sehingga menyaksikan  kebangkitan orang Melayu mempertahakan maruah agama.

"Ia merupakan cabaran dan ujian kepada orang Melayu. Namun persoalannya sekarang, adakah orang Melayu kita kini, kembali 'tidur' setelah bermatian memperjuangkan akidah Islam gadis Belanda itu?

"Setelah 27 tahun, persoalan timbul apabila melihat orang Melayu dan Islam hanya diam apabila agama bangsa mereka dihina. Siapa yang mahu mengangkat semula? Manakah Islam bila kita dihina. Manakah kita bila Melayu dihina?” tanya Fatini.

Fatini menceritakan pengalamannya dalam pembentangan Imbasan 67 Tahun Natrah: Polimik Yang Diperdebatkan di Wisma Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) pada Isnin.

Program Pembentangan Natrah : Imbas Semula Selepas 67 Tahun itu dianjurkan bersama ITBM dan Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar).

Turut hadir, Pengerusi ITBM, Budiman Mohd. Zohdi dan Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khir Ngadiron.

Pemergian Natrah pada 9 Julai 2009 ketika berusia 79 tahun, dianggap sebagai pengakhiran kepada penderitaan wanita malang itu.

Fatini pernah menjejak Natrah sehingga ke Belanda dan Amerika Syarikat (AS) kira-kira 20 tahun lalu untuk merungkai kisah pencetus Rusuhan Natrah yang berlaku di Singapura pada 1950 itu.

Natrah, yang dilahirkan pada 24 Mac 1937, menjadi rebutan antara ibu angkatnya, Che Aminah dengan keluarga kandungnya yang berasal dari Belanda.

Sebelum itu, Natrah ditinggalkan ibunya, Adeline Hunter, di bawah jagaan Che Aminah ketika berumur lima tahun di Jawa setelah bapanya, Sarjan Adrianus Petrus Hertogh, ditawan tentera Jepun.

Sepanjang berada di bawah jagaan Che Aminah, Natrah dididik dengan agama Islam dan adat Melayu namun setelah berpindah ke Singapura, Hertogh menuntut Natrah dikembalikan kepadanya.

Hidup Natrah sejak dibawa ke Belanda yang dipenuhi dengan paksaan menyebabkan trauma yang berpanjangan.


Gambar 3 : Buku yang ditulis oleh Puan Sri Fatini Yaacob diterbitkan oleh Universiti Teknologi Malaysia dalam edisi yang baharu dan dikemaskinikan

"Hidupnya ketika itu dikelilingi polis setiap masa. Dia juga dipaksa untuk melakukan banyak perkara di luar keinginannya termasuklah melupakan Mansor, Che Aminah, keluarga angkat dan segala amalan yang berkaitan dengan Islam," ujar Fatini.

Keputusan Ketua Hakim Mahkamah Singapura mengarahkan beliau diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat negara itu tidak boleh diterima oleh orang Melayu ketika itu yang kuat dan tebal pendirian dan pegangan mereka terhadap Islam.

Bagi mereka, soal agama dan budaya adalah perkara yang tidak langsung boleh dikompromi terutama sekali isu murtad dan ia seharusnya dipelihara sehingga ke liang lahad.

Begitulah impak yang terhasil daripada kehidupan seorang wanita biasa namun istimewa bernama Natrah ini.

Kerana Natrah juga, ramai yang tidak tahu beberapa individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung ketika itu telah menjadi tokoh serta negarawan terbilang dan tersohor.


Gambar 4 : Isu Natrah ini juga pernah diterbitkan di dalam Majalah Dewan Masyarakat

Sampai bila-bila pun, kisah ini akan terus bersemadi dalam hidup dan ingatan sebahagian daripada.

Cuma, adakah insiden Natrah ini akan membuka mata kita terutama kepada generasi muda hari ini untuk dijadikan iktibar agar ia tidak akan berulang lagi?


----------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sejarah Natrah dan agak panjang tetapi menarik untuk dibaca. Petikan dari Wikipedia.

24 Mac 1937 Natrah dilahirkan di Tjimahi, Jawa barat, Indonesia dengan nama. Bertha Hertogh atau Maria Huberdina Hertogh

Disember 1942. Bertha Hertogh diserahkan untuk dipelihara kepada Che Aminah Mohamad. Usia Natrah ketika itu 5 tahun. Ibunya Adeline dan neneknya Nor Louisenya menyerahkan Bertha dan Benny kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana telah ditawan tentera Jepun.

Che Aminah Mohamad atau Mak Minah seorang peniaga kain di Jawa yang berasal dari Kemaman, Terengganu. Menurut keterangan Natrah, Che Aminah bukan Babu atau pembantu rumah. Maria Hertogh diberi nama Natrah dan hidup dalam suasana dan pendidikan Islam.

15 November 1945 Che Aminah membawa Natrah balik ke Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu melalui Singapura kerana orang Indonesia ketika itu meluap-luap membenci orang kulit putih yang dianggap bangsa penjajah.

1945 Bapa Natrah, Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan bom atom oleh Amerika. Dia balik ke Bandung, Jawa dan mencari anaknya Natrah. Adeline dan Hertogh balik ke Belanda tanpa menemui Natrah. Usaha mencari diteruskan melalui teman-teman dan pegawai kerajaan Inggeris dan Belanda.

September 1949 Natrah ditemui oleh Arthur Locke, Penasihat British di Terengganu sewaktu pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai.

19 Ogos 1949 polis Semarang memberitahu Andrianus, Natrah berada di Kampong Banggol, Kemaman.[2], [3]

12 April 1950 Che Aminah membawa Natrah ke Singapura atas perancangan dan muslihat Sarjan Hertogh.

22 Mei 1950 Ketua Hakim Mahkamah mengarahkan Natrah diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat,Singapura

24 April 1950 Natrah dihantar ke Girls Homecraft Centre, York Hill, Singapura

28 April 1950 Che Aminah membuat rayuan untuk mendapatkan balik hak penjagaan terhadap Natrah melalui peguambela Encik Ahmad Ibrahim daripada syarikat peguam S.C. Goho & Co.

19 Mei 1950 Peguambela Encik Ahmad Ibrahim menghujah di mahkamah bahawa Che Aminah Mohamad berhak menjadi penjaga Natrah. Profesor Dr. Ahmad Ibrahim menjadi protaganis dan antara tokoh yang amat dihormati dalam kes Natrah di Singapura .

28 Julai 1950 Che Aminah menang kes rayuannya. Natrah dikeluarkan daripada York Hill

1 Ogos 1950 kerana takut peristiwa berulang, Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor Adabi iaitu En. M.A.Majid di 139, Seranggoon Road, Singapura. Ketika ini Natrah berusia 13 tahun tetapi susuk tubuhnya besar. Usia Mansor Adabi 22 tahun. Dalam Undang-Undang Syariah Islam, perempuan umur 13 tahun dibenarkan kahwin sebagaimana isteri Nabi Muhamad, Siti Aisyah.

2 Disember 1950 Ketua Hakim megeluarkan perintah yang ketiga untuk didengar di mahkamah tentang kesahihan perkahwinan dan hak penjagaan Natrah.Mengikut undang-undang Belanda , seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya. Pendakwa berhujah sama ada Natrah berhak dikahwinkan dan terus menganut agama Islam ataupun tidak. Mahkamah memutuskan, selagi tidak mencapai umur 18 tahun ke atas, hanya penjaga yang berhak ke atasnya. Mahkamah tidak menyebut ibubapa tetapi penjaga. Tiba-tiba daripada isu agama bertukar bertukar kepada isu jagaan.

Dalam kes Natrah ini, mahkamah mengakui Natrah secara rela tanpa dipaksa oleh sesiapa hendak meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim. Mahkamah mengatakan pula, siapa yang boleh menafikan hak Natrah daripada didedahkan kepada agama Kristian? Bapanya lebih berhak ke atasnya.

12 Disember 1950 Hakim menjatuhi hukuman - Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda. Bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah telah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dijadikan Katholik.

12 Disember 1950 Rusuhan Natrah berlaku kerana masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu kecewa Natrah akan dimurtadkan.

13 Disember 1950 Natrah dan ibu kandungnya meninggalkan Lapangan Terbang Kallang, Singapura menuju Belanda dengan kapal terbang KLM.

Ada protes orang Islam di Karachi, Pakistan yang bersimpati dengan Natrah.

15 Disember 1950 Natrah sampai di Lapangan Terbang Sciphol, Amsterdam, Belanda; disambut oleh lebih 4000 orang Kristian Belanda beserta sorakan selamat datang dan sepanduk 'Welcome Back Bertha'. Mereka dari 'Bertha Hertogh Comittee' yang dibentuk oleh bapanya, Sarjan Hertogh.

Di rumahnya di Bergen Op Zoom , kehidupan Natrah sentiasa dikawal ketat oleh polis Belanda. Dia pernah bertanya tentang 'Di mana masjid di Bergen Op Zoom?'. Natrah minta sejadah, bertanyakan khiblat dan tak lupa sembahyang 5 kali sehari. Ingatannya kepada Mansor Adabi tidak pernah padam terhadap suaminya itu.

Januari 1952 Mansor Adabi menerima surat daripada seorang pemuda Belanda bernama JC Vermeulen tentang kehidupan Natrah. JC Vermeulen adalah pedagang import-eksport Belanda.

9 Januari 1951 Surat 1 daripada Mansor Adabi kepada Natrah dalam tulisan Jawi, berbahasa Melayu.

10 Januari 1951 Surat 2 daripada Mansor Adabi kpada Natrah, antaranya menceritakan nasib Karim Ghani yang masih ditahan.

17 September 1951 Surat daripada Mansor Adabi kepada Natrah.

Mac 1953 Surat pertama daripada Natrah kepada Mansor Adabi dalam tulisan rumi berbahasa Melayu-Indonesia. Dia telah menjadi Kristian Katholik dan minta Mansor Adabi jangan menulis kepadanya lagi. Natrah menggunakan nama asalnya 'Bertha Hertogh'.

25 Januari 1953 Surat Mansor Adabi kepada Natrah

20 Julai 1953 Surat Bertha kepada JC Vermeulen disampaikan kepada Mansor Adabi.

1954 Mansor Adabi berpatah arang dan berkahwin dengan anak muridnya Zaiton Jahuri.Mansor Adabi menghantar kad undang perkahwinan kepada JC Vermeulen. Bertha yang mengetahui hal itu sangat kecewa. Kekecewaan itu dicurahkan kepada temannya Johannes Gerrit Vermeulen. Antara murid Mansor Adabi ialah Datuk Abdul Aziz Abdul Rahman, bekas pengarah MAS.

26 Januari 1956 Telegram daripada JC Vermeulen kepada Mansor Adabi menyatakan Bertha ingin kembali bersama Mansor Adabi di Malaysia.

20 April 1956 Bertha berkahwin dengan Johan Gerardus Wolkenfelt, seorang askar ketika Natrah berumur 18 tahun. Umur Wolkenfelt 21 tahun. Wolkenfelt berhenti menjadi askar dan menjadi tukang kayu.

15 Februari 1957 Bertha bersalin anak lelaki pertama. Bertha mendapat 10 orang anak. Nama anaknya Silvija, Carolien, Frans, Marlies, Theo, Huub, Rinie, Marjoline, Hands dan Paul.

20 Januari 1959 Surat daripada Mansor Adabi kepada Bertha menceritakan dia sudah berkeluarga.

3 Februari 1959 Surat Bertha kepada Mansor Adabi. Semua surat-surat Mansor Adabi tersimpan dalam fail 'Personal - Mansor Adabi' di Arkib Perbandaran Bergen op Zoom, Belanda.

25 November 1975 Televisyen Belanda NRVC meriwayatkan kembali kisah hidup Bertha dalam filem dokumentari The Time Just Stool Still selama 20 minit. Bertha, Wolkenfelt dan Mansor Adabi turut dijemput diwawancara dalam dokumentari itu. Ketika itu Bertha telah mempunyai 10 orang anak. Sedangkan Mansor Adabi sebagai seorang guru dan peguam, hidup mewah.

16 Ogos 1976 Bertha didakwa di mahkamah atas tuduhan cuba membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Dia dibebaskan atas simpati hakim terhadap latar belakang hidupnya. Bertha dan Wolkenfelt bercerai. Mulanya dia merancang bubuh racun berwarna biru - tak berjaya. Kemudian dia berpakat dengan temannya Tom Ballermans dan Adrie Jansen dan membeli sepucuk pistol revolver. Anaknya Corie menyedari rancangan bunuh itu, dilapor kepada polis dan Bertha ditangkap.

26 Disember 1976 Natrah dilaporkan sakit jiwa oleh Utusan Malaysia. Tetapi hal ini dinafikan oleh anak-anak Natrah.

1976 Che Aminah meninggal dunia di Chukai, Terengganu ketika berusia 70an

Disember 1979 Bertha berkahwin dengan Tom Ballermans - lelaki yang selalu datang ke Cafe Bertha dan yang dikatakan bersepakat dengan Bertha untuk membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Tom membeli rumah di Ossendrecht, Belanda kira-kira 12 km dari Bergen Op Zoom, Belanda.

1983 Bertha bercerai dengan Tom Ballermans

1984 Bertha masuk hospital kerana sakit jantung. Tubuhnya semakin gemuk secara mendadak.

15 September 1984 Bertha meninggalkan Belanda ke Amerika Syarikat mencari kehidupan baru bersama Ben Pichel dan hidup tanpa kahwin hingga... Ben Pichel ialah seorang lelaki Indonesia berasal dari Jakarta dan bekerja di pasar-pasar malam di Belanda dahulu. Ben kemudian mendapat taraf warganegara Amerika Syarikat.

Bertha kini tinggal di Nevada, tengah Amerika Syarikat dan meninggalkan anak-anaknya di Belanda. Dia pernah bekerja sebagai tukang masak dan pengemas bilik hotel dan motel. Kemudian dia bekerja sebagai pencuci rumah dan bangunan. Bertha hidup dalam keadaan tersiksa jiwa dan raga, kehilangan orang-orang yang disayangi.[perlu rujukan]

Pada tahun 1992, kerajaan telah mengharam lagu yang berjudul Natrah nyayian kumpulan Handy Black yang mengisahkan kisah Natrah ini.

9 Julai 2009 - Bertha Hertogh atau Natrah nama Islamnya pada satu ketika, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda. Beliau meninggal akibat leukemia pada usia 72 tahun, menurut Duta Malaysia di Belanda, Dr Fauziah Mohd Taib, menerusi e-mel kepada Bernama.

Link 

https://mustsharenews.com/what-happened-maria-hertogh/

https://www.facebook.com/groups/malaysiakuduludulu/permalink/715225402471068/

Pautan artikel lain yang berkaitan :-

Natrah/Maria Bertha Hertogh meninggal

https://normanhafizi.blogspot.com/2014/08/natrahmaria-bertha-hertogh-meninggal.html

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...