Arkib : 18 Mac 2018
Ulasan ringkas buku berkembar Nabi Adam dan Orang Melayu serta Benua Tua Melayu dalam akhbar dan perkongsian pembaca awal...
Salam pagi Jumaat. Mengambil berkat penghulu segala hari dalam suatu minggu biar dibuat perkongsian ini.
Pada penghujung artikel Soft launch buku Nabi Adam dan Orang Melayu dengan Benua Tua Melayu berserta sedikit hal susulan yang dipersembahkan hampir 2 minggu lalu ada disebut bahawa "tengah hari tadi Ahad 25 Februari saya telah ditemuduga oleh seorang wartawan akhbar tentang buku. Kalau tiada aral melintang insyaallah ia akan disiarkan dalam ruangan rencana Rabu hadapan 7 Mac. " Alhamdulillah pada tarikh yang dinyatakan iaitu 2 hari lepas keluarlah artikel berkenaan dalam ruang rencana akhbar harian Kosmo.
Di atas adalah gambar artikel berkenaan. Ia dapat menerangkan secara ringkas isi buku-buku terbaru yang diterbitkan secara berkembar iaitu "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" dan "Benua Tua Melayu : Sumber Peradaban Dunia". Cuma ada sedikit kesilapan dalam artikel menyebabkan saya membuat update status berikut di Facebook hari Rabu...
Alhamdulillah. Keluar dah ulasan ringkas buku2 terbaru saya dalam akhbar Kosmo hari ini Rabu 7 Mac 2018. Cukuplah untuk memberikan sedikit rasa tentang buku kepada umum. Cuma ada sedikit kesilapan dalam rencana. Penerbit adalah syarikat saya sendiri, Wasilah Merah Silu Enterprise, bukan Percetakan Zafar. Itu adalah pencetak. Dan saya adalah graduan matematik University College of London di United Kingdom, bukan Kolej Universiti Chicago di Amerika Syarikat.
---------------
Selepas itu tergerak saya untuk meminta para pembeli dan pemilik awal set buku untuk memberikan ulasan atau maklum balas mereka sendiri selepas membaca buku barang 2-3 perenggan. Kalau dapat panjang lagi bagus. Berikut adalah beberapa jawaban yang diterima. Saya sunting sedikit mana yang patut :-
1. "Diriwayatkan juga dalam Musnad Ahmad (10560), dari Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu, ia berkata: Rasulullah shallallau 'alaihi wa sallam bersabda:
لا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَتَقَارَبَ الزَّمَانُ ، فَتَكُونَ السَّنَةُ كَالشَّهْرِ ، وَيَكُونَ الشَّهْرُ كَالْجُمُعَةِ، وَتَكُونَ الْجُمُعَةُ كَالْيَوْمِ ، وَيَكُونَ الْيَوْمُ كَالسَّاعَةِ ، وَتَكُونَ السَّاعَةُ كَاحْتِرَاقِ السَّعَفَةِ
“Tidak akan datang kiamat sehingga waktu semakin berdekatan, setahun seperti sebulan, sebulan seperti sejum’at, sejum’at seperti sehari, sehari seperti sejam, dan sejam terasa hanya sekejap.” (Imam Ibnu Katsir mengatakan: isnadnya sesuai syarat Muslim. Dishahihkan oleh Syaikh Al-Albani dalam Shahih al-Jaami’ no. 7422)..."
Buku ini insyaAllah akan memberi anda kefahaman tentang hadis tersebut.
Ada juga formula untuk mengira panjang sesuatu hari berbanding hari pada masa kita sekarang.
Suatu pencerahan tentang masa..
Terimakasih.
- Mohd Azman Ibrahim,
Kemaman, Terengganu
2. Pada dasarnya, penulis berhasrat untuk menyelaraskan atau menselarikan (?) maklumat yang diperolehi dalam kitab-kitab lama dan juga maklumat yang diperolehi berdasarkan kajian saintifik melalui archaeology, anthropology, linguistics, kajian mitochondrial DNA dan sebagainya. Premis penulis di sini adalah berdasarkan firman dan hadis yang menyatakan bahawa masa bergerak semakin cepat bila kita semakin hampir kepada akhir zaman. Turut dikemukakan theorem yang menyokong premis ini dari segi matematik.
Untuk makluman, penulis merupakan graduan sarjana muda Matematik daripada salah sebuah universiti terbaik di UK, dan beliau beralih arah berkelana di jalan tasawwuf untuk mencari Diri dan Erti. Perjalanan hidup beliau turut diceritakan serba sedikit di dalam buku-buku ini. Difahamkan, beliau telah menerbitkan 10 karya lain sebelum ini.
- Hi Muhammad Hanif @ Tuan Nara Paduka,
Kalumpang, Selangor
3. Buku ini mudah difaham.. penting sebab tidak hanya mengambil rujukan daripada bidang sains malahan al Quran. Ia mencetuskan satu kebangkitan diri untuk lebih menghargai MASA, kisah yang berlaku dalam dan pada masa sekarang bagi persiapan diri bagi masa hadapan . Kenal akan diri dan jati diri sendiri
- Intan Junizah Abu Samah,
Gemencheh, Negeri Sembilan
4. Saya berpendapat oleh kerana galaksi bima sakti berputar. Termasuklah segala isinya dan planet, bintang, dan berjuta juta sistem suria. termasuklah matahari kita. Dunia yang bergerak scara vortex, dan matahari yang bergerak atas paksinya. sudah tentu perjalanan matahari mempengaruhi masa relatif kepada bumi, pada setiap zaman. Jika difikirkan secara logik, pengembaraan orang-orang zaman dahulu dengan kenderaan unta/kuda dan kapal layar dengan jarak yang sangat jauh dapat ditempuhi dalam jangka masa yang tidak begitu wajar, dibandingkan sekarang. Secara logik daripada segi saintifik masa relatif kepada bumi dan ia memang sedang bergerak lebih pantas. Manusia pun berkembang dengan pantas juga daripada segi teknologi pengangkutan dan komunikasi selaras dengan masa yang pantas. Walaupun teknologi pada zaman Iskandar Zulkarnain mungkin lebih hebat berbanding masa kini namun keadaan masa adalah berbeza.
- Zaidi bin Badron,
Bandar Seri Putra, Kajang, Selangor
5, Ada banyak kisah yang cuba dihubungkan kepada bangsa Melayu ini. Bila bermulanya. Siapa tokohnya. Apa kerajaan yang dibangunkannya. Bermacam-macam kisah itu disebut oleh setiap jurai keluarga dalam kalangan bangsa ini.
Ada pengkaji yang menyebut bahawa bangsa Melayu itu asalnya daripada Nabi Syith, benih Adam a.s. yang dilahirkan tunggal. Ibn Kathir r.h. menyebut dalam Qisas al-Anbiya’ bahawa perkataan ‘Shith’ bermaksud kurniaan Allah SWT. Dinamakan demikian kerana selepas Nabi Adam a.s. dan Hawa mengalami dukacita akibat berlakunya pembunuhan Habil, mereka dianugerahkan lagi seorang anak yang dinamakan Shith.
Abu Zar r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :- “Allah menurunkan 100 sahifah dan 4 kitab. Nabi Shith AS diberi 50 sahifah.” - Hadith riwayat Ibn Hibban
Apabila waktu kematian Nabi Shith a.s., baginda a.s. memberikan wasiat kepada puteranya bernama Anush. Setelah kewafatan Nabi Shith AS, Anush meneruskan tugas dakwah kepada kaumnya, sebagaimana yang dilakukan oleh ayahnya, Nabi Shith AS.
Anush mengajar ilmu pengetahuan yang dimiliki kepada puteranya bernama Qaynan serta strategi dalam menjalankan tugas dakwah kepada manusia dengan baik agar mereka mahu menyembah Allah SWT.
Seterusnya, keturunan keempat daripada Nabi Adam AS bernama Mihlayil. Beliau merupakan salah seorang raja yang beriman dan giat memerangi kaum Musyrikin daripada keturunan Qabil. Setelah itu, beliau mengajarkan ilmu pengetahuannya kepada puteranya bernama Yardi.
Yardi juga meneruskan usaha dakwah dengan menyeru manusia untuk beriman kepada Allah SWT dan beramal soleh. Menjelang kematiannya, Yardi memanggil puteranya bernama Idris.
Idris seorang anak yang soleh, berbakti kepada kedua-dua orang tuanya, seorang ahli ibadah dan tidak mahu memperhambakan diri kepada kehidupan dunia. Ia merupakan seorang anak yang cerdas dan tangkas, mudah memahami pelajaran-pelajaran daripada ayahnya dan memahami apa yang diingini oleh ayahnya.
Allah SWT memuji Nabi Idris AS dalam surah Maryam, bermaksud:-
“Ceritakanlah (wahai Muhammad) kisah Idris dalam al-Quran. Sesungguhnya dia adalah seorang yang benar (siddiq) dan seorang Nabi. Kami mengangkat (darjat)nya ke tingkat yang tinggi.” - Surah Maryam 19:56-57
Diceritakan bahawa Nabi Idris AS mengeluarkan beberapa sahifah yang diturunkan Allah SWT kepada Nabi Shith AS dan membacanya setiap hari agar tidak lupa ajaran-ajarannya. Nabi Idris AS adalah seorang yang cerdas. Beliau adalah manusia pertama yang menulis dengan menggunakan pena. Beliau juga manusia pertama yang menjahit untuk menjadi baju dan pakaian. Dalam kitab Qasas al-Anbiya’ olehIbn Kathir dicatatkan:-
“Daripada Ibn Ishak, bahawa Nabi Idris AS adalah orang yang pertama yang (boleh) menulis menggunakan pena.”
Para ahli tafsir mengatakan Nabi Idris AS adalah moyang kepada Nabi Nuh AS.
Pengkaji sejarah bangsa Melayu meletakkan Iskandar Zulkarnain, pemilik empayar kerajaan tiga suku dunia sebagai batu tanda tokoh yang daripada keturunannya lahir pemerintah di alam Melayu. Demikian disusur Iskandar Zulkarnain itu sampai ke Nabi Adam a.s. seperti berikut. Iskandar Zulkarnain bin Nabi Sulaiman Alaihissalam bin Nabi Daud Alaihissalam bin Yashi bin Ubid bin Ubid bin Salmum bin Makhsum bin Inadab bin Iram bin Hasrun bin Farus bin Yahuda bin Ishak a.s. bin Ibrahim a.s. bin Azar bin Nahur bin Sarah bin Falji bin Abir bin Salleh bin Arpaksad bin Sham bin Nuh a.s. bin Lamik bin Manusaleh bin Idris a.s. bin Yaru bin Mahlil bin Qaynan bin Anus bin Shith bin Adam a..s.
Asal-usul bangsa Melayu itu dikatakan sebagai satu misteri. Bangsa melayu itu terdiri daripada dua kumpulan. Kumpulan pertama adalah kumpulan Melayu-Levo atau lebih dikenali sebagai Melayu-Proto (contoh : orang asli). Mereka adalah daripada keturunan Heth bin Kanaan bin Ham bin Nuh a.s. Kumpulan kedua pula adalah Melayu-Deutro (contoh : Orang Melayu biasa) daripada keturunan Nabi Ibrahim a.s. dari isteri ketiganya, Keturah (Keturah masih lagi misteri tetapi beliau berasal dari keturunan Melayu Kemboja).
Dalam kajian-kajian yang lain, disebut bangsa Melayu itu sudah mendirikan kerajaan Aroi. Kerajaan Aroi ialah leluhur daripada Lemuria. Jadi, untuk mengenali Aroi, harus belajar mengenali bapa kepada Aroi iaitu Lemuria dan Atlantis. Lemuria merupakan sebuah peradaban kuno yang masih didebatkan kewujudannya oleh para sejarawan. Manakala Atlantis berdiri selepas kewujudan Lemuria tetapi pernah berada pada period yang sama. Bukan kerana kewujudannya palsu tetapi kekurangan bukti untuk menjadikan Lemuria benar-benar wujud.
Lemuria ialah sebuah kerajaan yang dikatakan berdiri pada 75 000 tahun Sebelum Masihi hinggalah ke era 11 000 S.M. Tamadun ini dikatakan ranap atas beberapa sebab, diserang oleh jiran mereka iaitu Atlantis dan menjadi mangsa banjir besar. Tentang isu ini, ramai pengkaji berpendapat bahawa Lemuria dan Atlantis ialah umat Nabi Nuh yang ingkar kepada ajaran rasul ALLAH itu untuk menyembah ALLAH meninggalkan tinggalan berhala dan matahari mereka.
Kembali kepada topik, Lemuria pada zaman puncaknya mempunyai 60 juta orang dan terdiri daripada pelbagai bangsa. Bangsa Melayu merupakan salah satu bangsa yang pernah menjadi sebahagian daripada Lemuria dan Atlantis. Menurut Powell dalam bukunya The Solar System, pada bab 35 menceritakan bahawa akar bangsa keempat Lemuria merupakan ‘malayan brown‘ yang membawa maksud rumpun Melayu atau nama saintifiknya Austronesian-Polynesian. Akar keempat ini digelar sebagai Atlanteans.
Dan fakta yang mengejutkan ialah lokasi Lemuria dikatakan terletak di Asia Tenggara. Kajian mutakhir berasaskan fakta geologi menunjukkan manusia telah wujud di nusantara ini sejak zaman Pleistocene. Atas sifat Nusantara ini berada di garisan Khatulistiwa seperti juga di Arab, Afrika Tengah dan Lembah Amazon, tamadun awal berkembang di sini. Fosil-fosil yang sedemikian lama terpendam membentuk minyak mentah di bawah bumi. Dalam kerja ekskavasi di Afrika didapati fosil tengkorak manusia dinamakan Zinjanthropus berusia 175,000 tahun . Sementara itu di Nusantara ditemui tengkorak Mojokerto Man (Pithecanthropus Mojokerta) berusia 670,000 tahun, Trinil Man (Pithecanthropus Triinil) berusia 600,000 tahun dan Wajak Man berusia 210,000 tahun. Penemuan ini nyata lebih tua berbanding penemuan The Peking Man (Simanthropus Pekinensis) yang berusia 550,000 tahun.
- Hasanuddin Md Isa
Raub, Pahang
---------------
Ini pula penerangan saya sendiri tentang buku. Ia ditulis kepada satu pihak sebelum buku keluar dari kilang cetak Khamis 8 Februari. Cukuplah ini semua untuk memberi sedikit rasa tentang isi buku ya...
Buku pertama, “ADAM DAN MELAYU 60,000 TAHUN LALU - Menyelaraskan Pengetahuan Tentang Penciptaan Manusia Berdasarkan Kitab Berbanding Sains” cuba menyatukan perspektif pandangan sains yang mengatakan manusia moden serupa kita iaitu makhluk Homo Sapiens pertama kali muncul di muka bumi 209,000 tahun lalu dengan kenyataan berdasarkan kitab seperti Al-Quran bahawa manusia pertama adalah Nabi Adam AS dan baginda diturunkan ke dunia tidak lebih 10,000 tahun yang lampau. Sambil itu ia juga bercerita tentang asal usul Melayu berdasarkan beberapa takrifan sambil menjawab bagaimana orang Melayu pertama yang menurut kajian DNA telah wujud 60,000 tahun lalu harus dipadankan dengan zaman kemunculan Nabi Adam. Ini dapat dilakukan menggunakan satu formula matematik berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW. Secara ringkasnya ia menyatakan bahawa semakin kita menghampiri kiamat semakin pendek masa atau hari-harinya.
Buku kedua, “BENUA TUA MELAYU SUMBER PERADABAN DUNIA - Menyelaraskan Sejarah Pergerakan Manusia Sejagat Berdasarkan Kitab Berbanding Sains” pula memanjangkan implikasi yang muncul daripada formula kira-kira yang saya buat sendiri itu. Antaranya adalah rentetan peristiwa demi peristiwa setelah berlakunya banjir Nabi Nuh yang menurut ulamak diperkirakan berlaku pada tahun 3650 Sebelum Masihi. Ini dilakukan selepas memadankannya dengan letusan gunung berapi gergasi yang menurut sains membentuk Danau Toba di Sumatera 74,000 tahun lalu. Maka sejarah dan peristiwa-peristiwa dunia yang telah sekian lama diterima umum termasuk dalam dunia sains cuba disusun atur kembali dalam konteks zaman kehidupan 25 orang Rasul yang patut diketahui umat Islam. Sambil itu ia mencungkil beberapa keistimewaan Alam Melayu di Asia Tenggara yang menurut kajian sains pernah menjadi sebuah benua besar bersaiz dua kali benua Hindi/India. Ini merujuk pada satu zaman ribuan tahun yang lampau di mana paras air sedunia kurang sekitar 200 meter berbanding sekarang. Saintis mengenali benua tersebut sebagai Sundaland.
No comments:
Post a Comment