Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Thursday, 19 April 2018

coin.my : 5 Cara Matawang Kripto Membaik Pulih Taraf Hidup (bitcoin)

Bila sebut tentang matawang kripto, selalunya kita akan terfikir tentang perdagangan matawang kripto dan harga naik turun sesuatu matawang kripto. Kebanyakan projek matawang kripto menjual potensi matawang kripto dan daripadanya, hanya beberapa peratus sahaja yang benar-benar mempunyai kegunaan dalam dunia sebenar.
Namun begitu, ciri-ciri matawang kripto itu sendiri, yang datang daripada teknologi Blockchain, mempunyai banyak kelebihan. Dalam artikel ini, penulis ingin menceritakan tentang 5 cara matawang kripto membaik pulih taraf hidup.
Privasi
Setiap kali kad kredit di swipe, informasi peribadi kita akan di masukkan kedalam pangkalan data. Pangkalan data yang ada sekarang pula bukanlah 100 peratus selamat daripada apa-apa serangan penggodam. Lihat saja apa yang berlaku pada tahun 2013 dengan kes data kad kredit dan debit milik 70 milion pelanggan kedai retail Target, dimana butir-butir peribadi serta kewangan setiap pelanggan mereka tersebar dan dicuri oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab – mengakibatkan kerugian yang melampau.
Bagaimana jika anda tidak mahu butir kewangan dan peribadi dijejak? Jawapannya adalah gunakan wang tunai. Kita semua tahu wang tunai tidak menyimpan apa-apa maklumat tentang pengguna, dan ia juga tidak tahu untuk apa penggunaannya dan di mana ia akan digunakan. Tetapi bagaimana jika hendak mengeluarkan dan membawa jumlah yang banyak dan besar? Bagaimana pula risiko wang tunai kita tercicir? Atau tersalah kira?
Pasti ada jalan yang lebih mudah.
Matawang kripto boleh dikatakan menyerupai wang tunai, tetapi secara elektronik. Bermula dari Bitcoin, kini bermacam-macam jenis matawang kripto yang mementingkan privasi seperti Dash, Monero, Zcash dan macam-macam lagi. Anda tidak lagi perlu risau tentang maklumat peribadi anda diambil dan digunakan oleh syarikat lain kerana seperti transaksi wang tunai, transaksi matawang kripto tidak memerlukan maklumat anda.
Mengawal Kewangan
Mari kita imbau kembali rekod lama matawang fiat yang sudah tercatat kegagalan mereka.
Pada tahun 1930an – The Great Depression (dimana pada waktu itu seluruh dunia melalui kemelesetan ekonomi) telah membuatkan penduduk Amerika tidak lagi yakin dengan institut kewangan mereka dan bercadang untuk keluarkan segala simpanan mereka daripada institut-institut tersebut. Tetapi kesemua deposit mereka telah digunakan untuk membayar kreditor bank-bank tersebut. Ternyata mereka terkejut apabila tidak ada lagi apa-apa yang dapat mereka keluarkan daripada akaun bank mereka.
Tahun 2014 pula. Tahukah anda yang penduduk Greek yang kebanyakannya gunakan matawang tunai dalam transaksi mereka sehari-hari hanya boleh keluarkan 60 euros sahaja daripada bank sehari pada waktu itu? Sebabnya? Bank-bank besar tidak cukup liquidity mereka untuk berikan kepada bank-bank lain.
Fakta ini sahaja patut membuat kita lebih terbuka mata. Maksud “deposit” sepatutnya mengimplikasikan yang kita meletakkan sesuatu di sesuatu tempat dengan syarat yang ianya patut masih ada ketika kita ingin gunakan ia kembali.
Matawang kripto, tidak kira datang daripada sumber apa dan dari mana, ianya memang dibawah penguasaan dan kawalan kita. Matawang kripto sukar dicuri kerana ciri-ciri teknologi Blockchain di belakangnya. Sama seperti wang tunai, keselamatan matawang kripto bergantung sepenuhnya kepada kita. Matawang kripto juga tidak boleh senang-senang dicuri informasinya andai kata ada pihak kerajaan ingin tahu siapa pemiliknya.
Rintangan terhadap Penapisan
Rintangan terhadap penapisan (censorship) adalah topik yang sangat penting dalam komuniti Matawang kripto. Contohnya, matawang kripto DigitalNote sangat popular dalam negara penguasaan ketat seperti Rusia dan China. Dalam satu wawancana oleh International Business Times, DigitalNote digunakan oleh pembangkang negara-negara ditindas sebagai cara untuk mereka berkomunikasi sesama mereka tanpa dijejak atau didakwa.
Dalam kes sebegini, token DigitalNote digunakan sebagai setem pos. Pada asasnya, ia meletakkan harga pada kos untuk memastikan kesahihan, penghantaran dan keselamatan mesej-mesej yang cuba disampaikan setiap satu. DigitalNote bukan sahaja berfungsi sebagai pihak yang diberikan kuasa undang-undang sah keatas sesuatu mesej, tetapi juga berfungsi sebagai penjaga mesej.
DigitalNote yang dilombong dalam negara-negara bebas oleh penduduknya, memperoleh peluang untuk cuba bantu penduduk-penduduk negara yang ditindas. Selain itu, terdapat banyak matawang kripto lain yang dicipta untuk mengatasi penapisan tidak kira dari segi berita mahupun maklumat sulit, seperti Steemit, LBRY dan lain-lain.
Rekod yang Tidak Berubah
Honduras di Amerika Tengah adalah contoh yang sangat baik dalam penggunaan matawang Kripto. Sejak dahulu lagi, kerajaan Honduras payah mengekalkan rekod pemilikan harta yang tetap. Dek kerana pegawai-pegawai korup, harta penduduk senang dicuri dengan usaha yang sangat minima.
Factom, syarikat yang pakar dalam rekod tanpa olahan tidak kira kuasa atau pengaruh telahpun membuat kontrak dengan pihak kerajaan untuk menjaga hak milik terpelihara tanah Honduras – menggunakan sifat Bitcoin blockchain yang dijamin selamat dan tak boleh diolah oleh mana-mana pihak untuk menyimpan maklumat hak milik.
Lejar Blockchain adalah sesuatu yang dianggap sebagai tarikan pertama teknologi itu. Bayangkan jika kita boleh akses rekod sesuatu daripada awal kewujudannya sehinggalah maklumatnya yang terkini. Matawang kripto seperti Filecoin dan Storj yang menawarkan perkhidmatan penyimpanan data adalah antara contoh aplikasi rekod data yang menggunakan teknologi Blockchain.
Pengakhiran Penggunaan Orang Tengah
Fi keluarkan duit, fi pemindahan duit, fi penghantaran duit, serta cukai tambahan yang tidak semena-mena? Mudah betul bank memperoleh untung daripada transaksi harian, bukan. Dalam kebanyakan reka bentuk matawang kripto yang ada, bank tidak lagi diperlukan sebagai pengantara atau untuk mengesahkan sesuatu transaksi.
Sepatutnya, sudah lama kita perlu buat sesuatu dengan pasaran pengiriman wang yang banyak mengambil kesempatan orang-orang bekerja yang hanya mahukan bil mereka terbayar atau duit mereka dikirim untuk menolong sanak saudara yang jauh. Western Union sebagai contoh, mengambil fi sebanyak $14.99 untuk menghantar wang sebanyak $20. Ini adalah sistem yang gila!
Memanglah boleh dikatakan servis ini semuanya bergantung kepada pilihan masing-masing tetapi bukankah segalanya adalah pilihan ditangan kita sendiri? Lebih-lebih lagi dalam kes kita tadi, pelanggan tak ada pilihan lain yang wujud. Tidak sehingga wujudnya Bitcoin. Dengan matawang kripto, mereka yang tinggal jauh daripada keluarga boleh mengirimkan wang dengan mudah dan murah.
Kesimpulan
Akhir sekali, ini adalah sedikit sebanyak cara yang Bitcoin dan matawang kripto boleh mengubah dunia dan taraf hidup manusia dengan menyediakan jalan alternatif kepada pihak-pihak yang tak dapat mengaut keuntungan daripada cara-cara tersedia yang lain. Dunia matawang kripto baru sahaja bermula dan masih banyak lagi yang belum diterokai.
Apa yang pasti, semakin susah untuk institusi tradisional untuk menggunakan model bisnes yang sama pada taraf para pelanggan mereka dan lebih lanjut pada taraf sosio ekonomi budaya. Kebanyakan pengguna sudah mula sedar bahawa mereka hanya perlu bertanya, “Apa? Kau perlu beri duit untuk dapatkan duit kau sendiri?”

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...