Syiiiioookknya di Hong Kong! Tulisan saya minggu ini berkongsi keriangan dan gila-gila orang Teluk Ensen (orang kampung Rungkop macam saya) menjelajah Wan Chai, Tsim Sha Shui dan Sai Wan Ho!
Bekerja, berlibur atau bersantai sambil berpeleseran di kota raya Hong Kong adalah satu pengalaman yang menyeronokkan. Apatah lagi, jika anda mempunyai puluhan kad kredit yang boleh menampung kemahuan dan membiayai segala keinginan anda.
Hong Kong, secara institusinya ialah sebuah kotaraya terkemuka Asia. Hong Kong juga secara fizikalnya ialah sebuah negara komersil yang moden dan effisien. Namun, Hong Kong juga sarat mengandungi berbagai kisah pelik dan cerita yang mengujakan.
Perkara pertama yang membeliakkan mata anda sudah semestinya kelajuan orang Hong Kong berjalan. Ya, mereka memang berjalan laju. Mereka berjalan ibarat robot yang mengikuti lorong dan aliran yang telah ditetapkan. Mereka berhenti di lampu isyarat merah untuk pejalan kaki dan kekal berdiri di dalam kotak kuning untuk berbaris menunggu bas atau menyeberang jalan.
Mereka berjalan laju, bersimpang siur di celah-celah orang ramai dan lorong-lorong sempit. Andai sesiapa mahu memotong barisan laju itu, perlulah menjerit, "Mhkoy". Berulang kali sehingga manusia di depan memberi laluan untuk anda memotong.
Kedua, sudahlah berjalan laju, kebanyakan orang di sini memakai topeng mulut. Sambil bekerja, sambil menunggu bas dan di mana-mana tempat awam topeng mulut ini adalah aksesori utama rakyat.
Ini menunjukkan kesedaran mereka tentang bahawa wabak yang tersebar melalui udara serta juga langkah mencegah pencemaran udara. Ataupun barisan gigi mereka sudah mereput, berbolong-bolong macam pagar reput. Entahlah.
Ketiga, jika anda membeli belah atau menikmati makanan di restoran atau kafe, anda akan berjumpa dengan pembantu jualan atau pelayan yang memiliki nama yang pelbagai dan pelik-pelik. Nama yang pelik ini berunsur barat seperti Lemon Wang, Curry Chan dan Dusty Leong adalah beberapa nama unik yang menggambarkan kemesraan dan keramahan masyarakat Hong Kong.
Di jalanraya anda akan berjumpa keunikan keempat. Ianya ialah kepelbagaian nombor plet kereta. Di sini anda akan melopong membaca berbagai plet seperti Domino, Loverboy, Romano serta juga nama-nama tempatan pemilik seperti Tracy dan Roger dipaparkan di barisan kereta mewah tempatan. Perlu diingat, Hong Kong adalab bandaraya teratas di dunia yang mempunyai bilangan Rolls Royce terbanyak!
Kenderaan mewah lain seperti Ferrari, Maserrati dan Lamborghini hanya sempat masuk gear tiga sudah sampai ke destinasi. Maklumlah, had laju tempatan dipantau ketat dan semuanya perlu dibawah 60 kilometer sejam. Cuma satu-satunya lebuhraya yang membenarkan 110 kilometer sejam ialah Lebuhraya Mongkok ke Lok Ma Chau. Itupun sempat masuk gear empat saja - tak dan gear lima. Ini faktor unik keempat.
Kelima, yang ini ultra unik dan sebenarnya sangat-sangat penting. Ianya ialah kedai serbanika 7-11.
7-11 ini ialah ibarat nadi yang menyambung nyawa penduduk Hong Kong. 7-11 berfungsi membekalkan barangan kegunaan harian seperti makanan, kudapan, perkakasan harian dan ubat-ubatan.
7-11 juga menyediakan sarapan awal pagi khas untuk mereka yang memulakan kerja di awal 5 pagi serta juga makanan lewat malam untuk mereka yang pulang pada jam 3 pagi. 7-11 adalah teman kehidupan rakyat Hong Kong. Tidak hairanlah pada purata setiap 1 kilometer ada 7-11.
7-11 juga menerima segala macam pembayaran bil termasuklah bil elektrik, air, gas memasak, telefon, siaran TV satelit termasuklah pembayaran bil siaran filem lucah tempatan dan antarabangsa. Jadi mereka yang melanggan siaran lucah ini turun ke 7-11 pada jam 4 pagi bagi membayar bil sambil membeli sekarton bir untuk dibawa naik ke atas rumah.
Keenam, memakan taufoo masam. Ya, orang Hong Kong gemar memakan taufoo masam. Ianya sebenarnya terkenal di Taiwan tetapi penggemarnya adalah mereka yang berasal dari Guangdong. Masamnya masakan ini sehingga merebak di seluruh lorong dan jalan utama di Wan Chai, Tsim Sha Shui dan Mongkok.
Pada saya ianya biasa saja. Cicah sambal belacan, budu dan tempoyak lagi kuat baunya berbanding taufoo masam. Taufoo masam dijual di gerai tepi jalan, popular di kalangan orang muda yang mahu mengisi perut sebelum menaiki tren pulang ke rumah selepas kerja.
Ada juga kudapan iringan yang dijual seperti bebola ikan, sotong kapit dan perut dan usus babi, semuanya enak dicicah bersama sambal istimewa, paling popular di Causeway Bay dan Sheung Wan.
Ketujuh, ialah satu keunikan sosial yang hanya terdapat di Hong Kong iaitu pot rokok. Pot rokok ialah sebenarnya tong sampah awam yang mempunyai bekas abu rokok di atasnya. Perokok akan berdiri mengelilingi tong sampah tersebut untuk membuang abu. Denda membuang abu dan puntung merata-rata ialah HKD2,000 bersamaan RM1,100.
Andai kita memerhati di kejauhan sebuah siar kaki utama semasa waktu rehat tengahari, kita akan dapat melibat banyak tompok-tompok kelompok manusia berdiri mengelilingi tong sampah awam sambil menghisap rokok.
Nampak seperti kumpulan askar yang berdisiplin. Dari jauh berkepul-kepul asap naik ke udara. Yang telah habis merokok akan segera beredar digantikan dengan mereka yang lama beratur di belakang. Senario ini berjaya membendung kegiatan merokok merata-rata. Cuma kadang-kadang tong sampah itu terbakar dan semua orang bertempiaran lari empat tapak ke belakang dan mengambil gambar selfie.
Kelapan. Hartanah di Hong Kong memang mahal namun jika berlaku bencana terhadap sesebuah unit seperti kebakaran dengan sendirinya harga menjunam 20 peratus. Jika berlaku kematian, harga junam 40 peratus. Jika berlaku bunuh diri harga akan jatuh 50 peratus. Kalau rumah tersebut pernah diduduki artis popular, dengan pantas harganya naik 50 peratus.
Kesembilan, ialah ringannya mulut orang Hong Kong menyuarakan pendapat dan perasaan mereka. Mereka tidak segan-segan menegur jika kita terbuang sampah merata-rata. Mereka juga menegur jika kita tidak berbaris di tempat awam.
Masalahnya, pada saya mereka ini bukan taraf menegur dah. Ini dah masuk peringkat maki dah ni. 18 bakul saya kena maki apabila tersilap masuk tandas wanita. Cair otak saya. Inilah faktor kesepuluh.
No comments:
Post a Comment