Once called 'The Sick Man of Asia', but now they are the world's majesty. Their high speed train industry starts late but within 30 years they have completed 20,000km of network while Europe's has only 6,000km. Chinese muscles are everywhere and the marathon ain't over yet.
Ulangtahun ke-21 kembalinya Hong Kong SAR ke pangkuan Beijing daripada pemerintahan kolonial Inggeris bakal disambut pada 1 haribulan Jun. Angka 21 ini, membawa unsur penggenapan tuah terutamanya kepada mereka yang percaya kepada nombor, nasib dan ramalan. Angka 21 ini uga ialah digit paling tinggi di dalam perjudian, membawa kemenangan kepada yang bertaruh dan tidak tercabar oleh musuh.
Angka 21 sinonim kepada revolusioner perniagaan serta tuan punya yang mendominasi kekukuhan institusi ekonomi serta kewangan Hong Kong. Hong Kong sebuah negara kepulauan yang tandus dan gersang, hampir tiada aktviti perladangan, pertanian dan makanan namun menguasai aktiviti perdagangan import dan eksport Asia.
Angka 21 membawa tuah, seolah menggalakkan suatu transformasi perdagangan, perindustrian dan masa depan ekonomi. Zaman ini ialah zaman bisnes di dalam talian, dimana aktiviti jual beli dilakukan tanpa interaksi fizikal di antara pengeluar dengan pembeli. Aktiviti rantaian seperti pergudangan dan pengedaran hampir pupus bak perniagaan muzik piring hitam, pita kaset dan filem kodak.
Dunia berubah, minat dan kecenderungan manusia juga beralih kepada sentuhan di hujung jari. Apa yang dilihat di paparan skrin telefon pintar mempengaruhi kebolehpercayaan dan keyakinan pembeli untuk berbelanja. Tidak perlu ke kedai untuk membelek, memegang dan menghidu. Cukup sekadar melihat foto-foto yang menarik dan penuh touch-up di atas talian.
Perdagangan moden dan revolusi teknologi dunia hari ini berpusat di tanah besar. Mereka mencipta innovasi baru yang kini mula popular sekaligus meletakkan tanda aras tertinggi untuk arah masa depan. Hampir separuh gergasi ekonomi baru dunia berasal dan beroperasi di Tanah Besar China. Inovasi perniagaan dan pembayaran di atas talian serta komunikasi pintas merubah pentas sosial dan ekonomi dunia. Ada yang hairan, bagaimana Hong Kong boleh menjadi sangat maju? Dan, bagaimana secara tiba-tiba China menjadi kuasa besar yang teramat ‘besar’?
Perlu diingat, mereka sebenarnya ialah kuasa besar dari tamadun yang berusia 3,000 tahun. Mereka mencipta bahan api dan belerang, berinovasi di dalam pertanian, persuratan, perubatan, pembuatan dan pembinaan. Telah lama sudah mereka diselubungi penderitaan, akibat dari peperangan dan gila kuasa berpanjangan dari dinasti ke dinasti diikuti pertelingkahan berterusan sesama sendiri.
Peperangan dan perebutan kuasa serta juga pembahagian koloni dan pengasingan wilayah oleh penjajahan barat telah menyebabkan bangsa agung ini terpisah daripada arus pemodenan pada awal abad ke 19. Sedangkan merekalah yang mempelopori ekonomi, teknologi dan menghasilkan kuantiti dan kualiti bahan mentah terbesar untuk pasaran dunia ketika itu.
Kemuncak kepada kejumudan minda dan ketidakupayaan jasmani mereka adalah apabila digelar ‘orang sakit Asia’ pada awal abad ke-20. Anak muda Tanah Besar dilambakkan dengan candu yang mengkhayalkan. Ketagihan ini berterusan melarat sehingga ke jabatan-jabatan kerajaan, penguasa tempatan bahkan kerabat istana. Tidak cukup dengan itu, mereka dijajah. Paling teruk, dua kumpulan pejuang kemerdekaan mereka berperang sesama sendiri. Puak Kuomintang dengan puak Komunis berperang selama 25 tahun sambil menyeret tanah besar ke lembah kebuluran dan kemelaratan.
Itu dulu. Itu dulu sebelum rakyat tanah besar bersatu. Kini mereka telah berubah. Mereka bangkit menjadi gergasi ekonomi. Dahulu pemimpin agung mereka mengatakan bahawa penduduk China terlampau ramai. Sehinggakan berlambak di dunia, syurga dan neraka – semuanya orang berketurnan Cina. Seolah populasi yang ramai menjadi satu bebanan.
Namun, kerajaan kemudiannya yang cemerlang dipelopori oleh angkatan pembaharuan dan reformis di dalam pentadbiran Beijing telah melaksanakan banyak dasar yang menjadikan ekonomi China kekal mapan dan bergerak cergas dan kukuh sepanjang tahun tanpa henti.
China ialah gedung serbanika dunia. China ialah kilang dunia. Apa sahaja yang anda guna sekarang ini, apa sahaja yang anda pakai sewaktu membaca artikel ini sedikit sebanyak mempunyai peranan dan pengaruh China. China juga pembekal utama bahan mentah dunia dan pada masa yang sama, kekal sebagai di antara pengguna dan pengimport utama dunia.
Untuk itu ekonomi dan imbangan dagangannya aktif dan dinamik. Pada tahun 1960an, tiga kuasa besar ekonomi dan teknologi dunia iaitu Jepun, Jerman dan Peranchis mula membina teknologi keretapi laju berasaskan daripada pengetahuan mereka tentang sistem keretapi landasan utama. Pada tahun 1970an, tiga negara ini telah mengeksport kompetensi mereka ke negara lain seperti Amerika Syarikat dan Benua Eropah.
Pada tahun 1980an, China belajar daripada teknologi keretapi keretapi laju Eropah, Jerman dan Jepun. China memerlukan sistem yang bersepadu di dalam jumlah yang banyak untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan pergerakan mobilisasi manusia.
China bermula lewat 20 tahun. Menjelang tahun 2015, jalinan keretapi laju di Eropah adalah sekitar 6,000 kilometer. Jalinan di Jepun dan Korea mencapai 2,000 kilometer. Namun, China – di sebuah negara agung yang pernah digelar ‘orang sakit Asia’ mempunyai jalinan sepanjang 20,000 kilometer menghubungkan tiga garis waktu dunia, gurun pasir di barat ke dataran subur Yangtze Kiang di timur. Great Wall di utara hingga ke selatan, sempadan Hong Kong.
Dalam masa 20 tahun, teknologi dan ekonomi China telah bergerak lima kali lepas pantas daripada sifoo mereka.
No comments:
Post a Comment