Kehangatan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan PAS yang akan berlangsung 9 Mei ini. - Foto BERNAMA
Mendepani cabaran hari ini, pelbagai halangan dilalui, lebih-lebih lagi di Malaysia sekarang dalam menghadapi detik Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Gerakan Islam perlu meningkatkan usaha mempertahankan kuasa politik agama kita daripada kumpulan anti-Islam dan oportunis politik yang begitu lantang bersuara, akhir-akhir ini.
Penulis meneliti manifesto PRU-14 Pakatan Harapan baru-baru ini, terutama berhubung hal ehwal agama Islam. Penulis tidak berhasrat untuk memperkatakannya dari segi ekonomi, percukaian dan lain-lain yang mungkin diperincikan oleh tokoh lain.
Kegusaran terdetik dalam hati penulis dengan maklumat diperoleh dengan seorang tokoh mereka, mengatakan G25, iaitu pertubuhan dianggotai bekas penjawat awam yang diragui idea dan pemikiran mereka, ialah satu daripada pertubuhan yang dirujuk dalam penyediaan manifesto pakatan.
G25 pernah mencadangkan pemansuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selain penubuhan sebuah jawatankuasa perunding bagi membincangkan usaha meminda atau memansuhkan beberapa undang-undang syariah.
Antara dicadang dimansuhkan ialah hukuman khalwat yang didakwa melanggar hak kebebasan seseorang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut mereka, khalwat di tempat peribadi ialah dosa peribadi di antara pelaku dengan Allah SWT, kecuali jika dilakukan di kawasan awam. Menurut mereka lagi, Malaysia satu-satunya negara yang menjatuhkan hukuman terhadap kesalahan itu.
Cadang mansuhkan JAKIM
Pada majlis berasingan 6 Februari lalu yang disiarkan dalam banyak laman sosial, ketika ditanya pendirian mereka terhadap JAKIM, seorang pemimpin kumpulan itu menyebut: "Itu (sama ada JAKIM diperlukan lagi) terpulang kepada kita, kalau kita jadi kerajaanlah, nothing is permanent (tiada yang kekal)."
Inilah kegusaran yang dirasai penulis. Adakah ini acuan pemikiran yang diperlukan dalam memartabat agama Islam di negara ini?
Selepas diperhalusi, kegusaran penulis terbukti kerana kelihatan seolah-olah seperti ada agenda tersembunyi yang disebut, iaitu 'kuasa Raja-Raja Melayu dalam mentadbir agama dan adat istiadat Melayu akan dikembalikan ke negeri dan campur tangan Kerajaan Pusat akan dihentikan'. Inilah usaha kumpulan pendukung idea liberalisme serta pluralisme untuk mewajarkan penghapusan institusi Islam pada peringkat Persekutuan kerana kononnya bertentangan dengan Perlembagaan.
Asasnya, JAKIM masih relevan, malah Perlembagaan Persekutuan jelas membenarkan Kerajaan Persekutuan dan negeri mengikut Perkara 12(2) untuk menubuh dan menyediakan sejumlah wang bagi menyelenggara institusi Islam.
Melalui peruntukan itu, sah bagi Kerajaan Persekutuan dan negeri menubuhkan dan membantu institusi Islam seperti masjid, sekolah agama dan sebagainya.
Kuasa bagi hal ehwal Islam terletak di bawah Sultan di setiap negeri, Raja-Raja Melayu mendapat nasihat daripada Majlis Agama Islam Negeri dalam hal berhubung pentadbiran dan kemaslahatan umat Islam.
Kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam dan perkara yang membabitkan hal ehwal Islam terus diwarisi dalam Perlembagaan Persekutuan.
Usaha pesongkan ummah
Manifesto Pakatan Harapan turut memaparkan isu hak asasi sebagai agenda utama.
Dinyatakan hasrat untuk meratifikasikan segera konvensyen antarabangsa yang belum diratifikasi, antaranya Malaysia dituntut menandatangani dan memeterai 'International Covenant on Civil & Political Rights' (ICCPR).
Perkara 18 ICCPR menyatakan, perkara berhubung hak kebebasan beragama dan implikasi penerimaan ICCPR bakal membenarkan murtad berlaku di Malaysia.
Ia juga menuntut penghapusan Seksyen 377A Kanun Keseksaan berhubung jenayah liwat dan kesannya boleh mendorong kepada pengiktirafan perkahwinan sejenis kerana liwat tidak lagi dianggap sebagai jenayah.
Selanjutnya, membuka ruang kepada pengenalan undang-undang perkahwinan sesama jenis yang setakat ini dibenarkan di 14 negara, paling hampir dengan kita ialah Thailand yang dilapor sedang menimbang memperkenalkan undang-undang perkahwinan sejenis.
Jangan kerana terlalu taasub, semata-mata demi memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Universal Periodic Review agar menjadi lebih baik dan selaras perkembangan dunia, kelangsungan dan survival ummah pun mahu tergadai.
Ideologi politik tidak harus membutakan hati nurani daripada mencari kebenaran. Umat Islam perlu sedar ada usaha berterusan musuh agama untuk memesongkan umat Islam.
Muslim di negara ini perlu bersatu mendaulatkan Islam di tanah air kita dan berganding bahu mempertahankan agama, bangsa dan negara.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sungguh kamu akan mengikut jejak langkah umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jika mereka masuk ke lubang biawak pun, kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan? Nabi SAW menjawab: Siapa lagi kalau bukan mereka". (Riwayat Muslim)
Umat Islam perlu mempunyai sudut pandang yang benar, bukan melihat dari sudut pandang liberalisme dan pluralisme.
Islam versi ekstrem, liberal
Baik dan buruk sesuatu dasar turut membabitkan hukum halal dan haram, implikasinya halal tetap halal dan haram tetap haram. Bukan mengubah hukum halal dan haram mengikut nafsu dan akal semata-mata.
Semua pihak perlu mengambil pendekatan penilaian, bertabayyun serta membuat perbandingan memilih perkara yang baik dan serasi dengan ajaran Islam serta menjauhi elemen yang meragukan.
Semua orang boleh merancang, namun ia bukan bererti semua perancangan itu adalah betul.
Umat Islam perlu bersedia mendepani dakyah segelintir pihak yang mencipta Islam versi ekstrem dan liberal.
Sedar atau tidak, ada kecenderungan untuk memilih Islam liberal yang sengaja dicipta untuk menyesatkan umat Islam sendiri. Umat Islam perlu bertadabbur, memikir dan mengambil iktibar setiap perkara yang berlaku.
Kemampuan bertabayyun dengan maklumat yang diperoleh akan menentukan kekuatan dan keabsahan ummah pada era yang serba mencabar hari ini.
Semua pihak perlu menggerakkan fiqh tabayyun sebagai disiplin ilmu dalam berurusan dengan fakta dan kebenaran serta mengajak masyarakat berhati-hati dan teliti dengan semua maklumat yang diperoleh.
Ingatlah! Politik bukan sekadar memburu kuasa dan pengaruh, tetapi perantaraan untuk mengurus tadbir membangunkan agama, bangsa dan negara serta amanah memenuhi hasrat dan keperluan rakyat.
Tabayyun, tadabbur, berfikir dan mengambil iktibar menjadikan manusia sedar mengenai kelemahan diri masing-masing. Semua warganegara perlu menjadi pendorong yang bertanggungjawab membina negara berteraskan syariat Allah SWT.
Penulis adalah Penasihat Agama Perdana Menteri
No comments:
Post a Comment