Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Saturday, 12 May 2018

Agama / Politik : [Islam Tergugat Kerana Ramai Ahli Parlimen Belum Muslim Dalam Kerajaan PH?]


Sehari dua ini selepas #PRU14, saya banyak menerima mesej dan pertanyaan berkenaan ahli parlimen Belum Muslim dalam kerajaan PH lebih ramai berbanding dengan Muslim. Mereka mengatakan risau akan perkembangan ini. Mereka risau ramai pendokong LGBT, liberal dan anti-Islam serta missionari Kristian di dalam PH.
Saya hanya melihat dari sudut sebagai seorang pendakwah dan bukannya ahli politik. Umum ketahui kami di Multiracial Reverted Muslims - MRMbanyak mengeluarkan artikel ilmiah menjawab LGBT, liberal dan missionari Kristian. Kami melakukan apa yang kami mampu bagi meneutralkan penyebaran ideologi mereka.
Namun secara peribadi saya tidak merasa marah dan kurang risau (bukan tidak risau tetapi KURANG) dengan hasrat mereka untuk menyebarkan ideologi & agenda mereka itu.
Saya tidak marah dan kurang risau bukan kerana tidak sayangkan Islam kerana umum tahu apa aktiviti dakwah kami di MRM. Mereka yakin dengan ideologi dan agenda mereka dan mereka berusaha ingin menyebarkan ideologi dan agenda yang mereka yakini itu!
Ramai Muslim yang marah bila pendokong LGBT, sekular, liberal dan missionari Kristian menyebarkan apa yang mereka yakini tetapi persoalannya adalah berapa ramai pulakah Muslim yang marah pada dirinya sendiri apabila tidak menyebarkan ideologi dan agenda Islam seagresif mereka?
Ideologi & agenda Islam bukan sekadar menanti kuasa politik untuk melaksanakannya walaupun tidak dinafikan kuasa politik mampu membantu tetapi bagaimanakah kita melaksanakan nilai dan agenda Islam dalam kehidupan seharian kita?
Pernahkah kita tanya diri kita selain dari mengadu dan risau akan agenda mereka, adakah diri kita SEAGRESIF dan SESEMANGAT mereka dalam menyebarkan agenda Islam? Setiap pergerakan dan agama memiliki ideologi dan agenda mereka yang tersendiri dan saya sesekali tidak marah bila mereka cuba mengamalkan serta menyebarkan ideologi pergerakan dan agama mereka.
Secara peribadi saya lebih marah dan risau majoriti Muslim masih berada di zon selesa mengharapkan undang-undang untuk melindungi akidah mereka. Sudah tiba masanya Muslim di dalam PKR, UMNO, Amanah, DAP, PSM, WARISAN, PAS, BERSATU dan semua parti politik yang lain mengembleng tenaga bagi menyebarkan nilai dan agenda Islam.
Agenda Islam yang paling utama adalah tauhid dan bukannya sekadar hukum-hakam semata-mata. Keadilan untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama, amanah dan keamanan adalah nilai Islam.
Ya kita perlu risau akan penyebaran ideologi dan agenda mereka tetapi kita perlu lebih risau ramai Muslim yang mencari alasan untuk berkecuali dalam penyebaran ideologi dan agenda Islam. Kita perlu lebih risau Muslim yang membentuk 61% penduduk di Malaysia masih berada di zon selesa dan beralasan.
Saya lebih risau Islam semakin terhakis dalam kehidupan Muslim pada hari ini dan semakin ramai Muslim yang hanya Muslim pada nama dan pada hari tertentu dalam kehidupan dan perayaan dan Muslim pada kad pengenalan sahaja tetapi gagal menghayati Islam sebagai SATU-SATUNYA CARA HIDUP YANG LENGKAP.
Marilah kita sama-sama bermuhasabah diri dan semoga hati kita semua tergerak untuk sama-sama menyumbang baik menerusi masa, tenaga, bakat dan harta untuk menyebarkan ideologi dan agenda Islam. Saya akhiri dengan kata-kata Ar-Rumi;
"Yesterday I was clever, so I thought to change the world. Today I am wise so I'm going to change myself."


No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...