Tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik beliau dibebaskan dari penjara boleh disifatkan sebagai satu ‘langkah bodoh’.
Menurut Ketua Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin dalam temubual beliau bersama akhbar Singapura, The Straits Times, peralihan kepimpinan yang lebih pragmatik adalah pada waktu ‘pertengahan’.
“Perubahan tersebut akan berlaku pada waktu pertengahan. Rakyat tidak akan percaya lagi jikalau janji yang dibuat pada mereka dilanggar. Jadi (untuk menukar Perdana Menteri) sekarang ia adalah satu langkah bodoh,” kata Daim dalam temu bual tersebut, semalam.
Menurut akhbar itu lagi, perubahan kepimpinan tersebut dijangka akan berlaku secepat-cepatnya pada 2020, dengan Dr. Mahathir sendiri mengakui bahawa beliau memerlukan sekurang-kurangnya dua tahun untuk memperbetulkan masalah yang telah ditinggalkan oleh perdana menteri terdahulu.
Daim turut memberitahu bahawa beliau telah berjumpa dengan Anwar baru-baru ini untuk menyampaikan mesej bahawa “anda semua telah mencuba pada beberapa pilihan raya dan gagal. Samada suka atau tidak, (sekarang) Mahathir berjaya.”
Dr. Mahathir kembali memegang tampuk kerajaan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-7 selepas melepaskan jawatan tersebut pada tahun 2003.
Anwar pada ketika ini sedang menjalani hukuman penjara selama 5 tahun kerana didapati bersalah oleh mahkamah kerana meliwat bekas pembantu peribadinya.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada minggu lalu telah memperkenankan untuk memberi pengampunan diraja kepada Anwar, dengan beliau sepatutnya dibebaskan daripada hukuman tersebut, hari ini.
Namun, Lembaga Pengampunan yang sepatutnya bersidang hari ini, telah menangguhkan sidangnya ke hari esok, sekaligus pembebasan Anwar terpaksa ditangguhkan. – UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment