Sekurang-kurangnya enam calon Pakatan Harapan yang menggunakan lambang PKR tidak dapat bertanding di kerusi masing-masing pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.
Ini kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menolak pencalonan mereka atas beberapa alasan, termasuk muflis, didenda oleh mahkamah, dan gagal menunjukkan pas memasuki kawasan penamaan calon.
Pakatan Harapan menerima tamparan besar apabila Tian Chua yang menjadi antara ‘orang kuat’ PKR gagal bertanding di kerusi Parlimen Batu, selepas SPR memberi alasan dia pernah dikenakan denda RM2,000 oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2013.
Pada 2013 lalu, Tian Chua memenangi kerusi itu mengalahkan calon BN.
Di Rembau, calon PKR bagi kerusi DUN Rantau, S Streram gagal mengemukakan kertas pencalonan apabila tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana gagal menunjukkan pas calon seperti yang disyaratkan SPR.
Kedua-dua penyokong dan pencadangnya juga tidak mempunyai pas perakuan daripada SPR.
Berikutan itu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Amino Agos Suyub mengumumkan calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, menang tanpa bertanding.
Di Kelantan, SPR menolak kertas calon PKR, Mohd Azihan Che Seman bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tawang, atas alasan status tempat tinggal serta alamatnya.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Nik Mohamed Noor Nik Ishak mengumumkan perkara itu selepas masa untuk penamaan calon di Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok di sini kira-kira jam 1.10 tengah hari tadi.
Berikutan itu, kerusi DUN Tawang hanya menyaksikan persaingan satu lawan satu antara calon PAS yang juga penyandang, Datuk Hassan Mohamood dan calon muka baharu BN, Datuk Mohd Radzuan Abdullah.
Di Pagoh, calon PPBM yang akan bertanding atas lambang PKR juga menerima nasib sama apabila pencalonan Pizi Jihat bagi kerusi DUN Bukit Pasir ditolak atas sebab kes kebankrapannya.
Di Kepala batas, Pulau Pinang, calon PKR, Yaakob Osman bagi DUN Penaga hilang kelayakan bertanding kerana beliau pernah diisytiharkan muflis.
“Kami sudah semak minggu lepas dan semalam. Tiada isu dan saya tidak dipanggil oleh sesiapa atau diisytihar muflis,” katanya.
Di Jeli, Kelantan, calon Pakatan Harapan bagi DUN Kuala Balah, Dr Mohd Hafidz Rizal Amran juga hilang kelayakan bertanding selepas diisytihar muflis.
Sementara itu, di Selangor, pertukaran calon PKR bagi pada saat akhir menyaksikan parti berkenaan berpeluang bertanding, selepas SPR menolak permohonan calon awal, G Sivamalar berikutan semakan alamat di luar Selangor.
Pengurus Pilihan Raya, Railah Rahmat berkata, SPR menolak penamaan itu kerana melanggar peraturan ditetapkan tetapi menerima pencalonan baharu.
SPR menerima penggantian calon PKR baharu, Juwairiya Zulkifli selepas menerima watikah pelantikan yang difakskan parti itu sebelum jam 10 pagi tadi.
No comments:
Post a Comment