Semalam, saya telah menerima surat pemecatan sebagai ahli seumur hidup DAP bertarikh 15 Oktober pada 17 Oktober 2018, yakni semalam.
Saya menerima keputusan DAP itu dengan berlapang dada, sejajar dengan jangkaan dan memutuskan untuk tidak merayu atas sebab-sebab yang akan saya huraikan di bawah.
Dengan penerimaan surat pemecatan itu, saya beranggapan, selain keahlian dalam parti selama hampir 10 tahun itu ditamatkan, saya juga 'kehilangan' jawatan timbalan pengerusi biro buruh DAP.
Untuk rekod, saya menyertai DAP sekitar tahun 2009 selepas menerima panggilan daripada Lim Kit Siang yang meminta saya berjumpa beliau di ibu pejabat DAP sekitar bulan Oktober tahun yang sama sebelum diserahkan borang keahlian oleh Tony Pua yang turut membayar yuran keahlian saya pada ketika itu.
Saya tidak akan merayu kerana :
1. Saya menyertai DAP sebagai Democratic Action Party kira-kira 10 tahun yang lalu tetapi dipecat dari Developers Action Party, DAP yang saya anggap telah berubah hala tuju dan dasar perjuangannya selepas mendapat kuasa.
2. Saya dipecat kerana mengkritik tindakan DAP menyebarkan fitnah serta melakukan propaganda jahat sebelum PRU14 - apa salah saya menegakkan kebenaran dan mengkritik tindakan salah parti atas nama demokrasi yang kononnya menjadi tunjang perjuangan DAP.
3. Saya menganggap bahawa tindakan pemecatan saya dari DAP ini sebagai suatu pengkhianatan dan tindakan tidak mengenang jasa dan pengorbanan dua generasi orang Melayu dalam DAP setelah arwah bapa saya, Allahyarham Ahmad Nor menyertai DAP pada tahun 1986 dan menjadi ahli Parlimen Melayu yang pertama dari DAP.
4. Saya juga merasakan tiada keperluan untuk saya berada dalam parti yang menjual prinsip perjuangan dan maruah semata-mata kerana kuasa dan jawatan - sebagai contoh 5 tahun yang lalu kata Tun M bapa perompak negara tetapi hari ini menyembah beliau saban hari.
5. Oleh itu. saya bersedia untuk tidak memandang ke belakang lagi dan meneruskan perjuangan menjadikan Malaysia negara yang lebih baik atas platform lain dengan tekad - Biar mati berdiri, dari hidup melutut pada parti yang cauvinis dan sangat perkauman ini.
Yang benar,
Amran Ahmad Nor
No comments:
Post a Comment