Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Sunday, 26 April 2020

Ceritaku Ceritamu (1979)



Tagline terbaik filem ini : "Antara Kesucian Desa Dan Keindahan Kota"

Sinopsis Filem :

Cerita yang digarap dengan baik dan rapi. Pengorbanan seorang anak iaitu Hasnah terhadap ibubapanya di kampung. Selain itu, pengorbanan seorang anak, Suriati yang tinggal bersama-sama ibubapanya di bandar berhasrat untuk melihat kebahagiaan kedua ibubapanya untuk tidak berpisah mahupun ibunya dimadukan (subplot). Selepas itu, pengorbanan seorang adik (Hasnah) untuk melihat kebahagiaan abangnya, Harun untuk dia terus bersama ibu dan adik di kampung. Hasnah juga sanggup melupakan cita-citanya untuk meneruskan kehidupan di bandar bagi membina kerjaya dan masa depan yang cerah. Ini adalah kerana Hasnah masih lagi mendapat kebahagiaan apabila bersama-sama dengan adik beradik serta ibunya yang uzur di kampung halaman.

Akhir sekali, untuk watak antagonis iaitu, Malik. Dia telah menerima balasan yang setimpal akibat perbuatan yang tidak baik kepada penduduk kampung. Watak ini telah pun menyesal dan berjanji untuk berubah menjadi insan yang lebih baik. Selain itu, Hasnah juga telah menemui kekasihnya, Yusuf di kampung sejurus tiba di sana. Cinta mereka bertaut kembali walaupun tidak dikisahkan dengan jelas sama ada Yusuf itu telah pun melangsungkan perkahwinan dengan Hasnah.


-----------------------------------------------------------------------------------------

CERITAKU CERITAMU (1979)

Pengarah: Seniwati Sa'adiah "Dengan Allah memanglah aku takut ! Tapi dengan kau, apa yang nak aku takutkan ??" Mendapat jolokan pengarah filem wanita pertama, seniwati Sa'adiah mengorak langkah berani untuk meletakkan namanya sebaris dengan nama pengarah-pengarah lain ketika itu. Pun begitu, Ceritaku Ceritamu bukanlah benar-benar buah tangannya yang pertama. Sebaliknya, beliau telahpun mengasah bakat pengarahannya melauli drama-drama televisyen Singapura seawal tahun 1968 lagi. Ceritaku Ceritamu bagi saya (secara peribadi) tidaklah begitu sukar untuk dihadam. Cerita asalnya digarap oleh Achmed Abdullah manakala lakonlayarnya ditulis oleh seniwati Sa'adiah sendiri. Ia memaparkan sebuah dilema yang sering dihadapi oleh anak gadis Melayu - mencari kehidupan yang lebih baik. Mencari kehidupan yang lebih baik ini adalah sesuatu yang sangat besar kerana biasanya ia melibatkan penghijrahan. Dan penghijrahan seorang anak gadis ke sebuah tempat antah-berantah bukanlah sesuatu yang mudah. Ogy (Fauziah Ahmad Daud) sebagai Hasnah tersepit di antara cita-cita murni dan pengabdian hidup kepada ibu dan ayah tercinta. Pernah kecewa kerana abangnya lari meninggalkan kampung lantaran tidak sanggup hidup susah, Hasnah cuba sedaya-upaya untuk membulatkan tekad untuk tidak meneruskan usaha bagi mencapai cita-citanya. Namun, siapa sangka bahawa takdir akan menongkah arus hidupnya. Ayahnya meninggal dunia dalam keadaan telahpun berwasiat agar Hasnah pergi ke Kuala Lumpur untuk meraih cita-citanya. Hal ini kerana ayahnya telah mengetahui bahawa anaknya itu bukan sahaja mempunyai bakat terpendam, malahan telah disokong pula oleh bekas majikannya yang hendak menutup perniagaan lantaran mahu berkahwin. Ayahnya tidak mahu anaknya gagal dalam kehidupan hanya kerana memikirkan keadaan ibu dan ayahnya sahaja.
Hasnah membulatkan tekad untuk berhijrah dan mula bertatih dalam dunia fesyen dengan bernaung di bawah sebuah perusahaan fesyen yang dimiliki oleh rakan baik majikannya dahulu. Tahun demi tahun, Hasnah mendaki perlahan-lahan ke puncak cita-citanya.
Nampak seperti Hasnah akan berjaya dengan mudah, bukan ? Di sinilah konflik diselitkan oleh Sa'adiah. Hasnah telah menangkap pandangan seorang kaya yang mula jatuh hati kepadanya. Hasnah sedaya-upaya cuba untuk mewaraskan perkara itu dengan beberapa kali menolak kemesraan yang ditonjolkan oleh orang kaya tersebut. Namun, kebaikan demi kebaikan yag dipupuk oleh orang kaya tersebut (lakonan Allahyarham Zainurdin Ismail) akhirnya membuatkan Hasnah turut mengasihinya. Dan di sinilah menjadi punca kepada pergolakan rumahtangga si kaya yang mula mengabaikan rumahtangganya. Malahan, dia mengambil keputusan untuk menikahi Hasnah. Konflik memuncak apabila anak gadis si kaya berkonfrontasi dengan Hasnah dan meluahkan kekecewaannya kerana Hasnah cuba merosakkan rumahtangga ayah dan ibunya. Hasnah ketika ini mulai sedar akan perbuatannya yang dilihat tidak semenggah, ditambah pula dengan imbasan-imbasan silam dirinya menuntut ilmu agama yang pernah ditekuninya di kampung dahulu dan kewarasannya benar-benar total apabila anak si kaya itu telah terlibat dengan kemalangan jalanraya. Hasnah akhirnya memilih untuk memutuskan sahaja hubungannya dengan si kaya kerana tidak mahu menjadi perosak rumahtangga orang dan akhirnya pulang semula ke kampung halamannya bersama-sama dengan ilmu yang dituntutnya di Kuala Lumpur.
Filem yang tidak terlalu kompleks untuk dihadam. Kepakaran sinematografi dari Jepun menyaksikan terdapat beberapa syot yang menarik dan kreatif. Cuma, saya andaikan rakaman suara di dalam filem ini menggunakan teknik rakaman semula atau 'dubbing'. Kerana itu, suara sangat jelas dan seakan-akan tidak 'blend-in' dengan suara latar. Saya kira seniwati sangat berani untuk menghasilkan filem ini kerana latarnya sangat banyak dan memerlukan penataan cahaya yang teliti untuk tidak merosakkan mood satu-satu babak. Babak Meor Hashim Manap dipukul oleh kuncu-kuncu Zakaria Yusuf membuktikan betapa penataan cahaya sangat penting.

Begitu juga babak di mana bapa kepada Hasnah sedang nazak. Cahaya yang tertumpu kepada susuk tubuh ayahnya itu menggambarkan bahawa keluarga Hasnah sekarang benar-benar tersepit dan terhimpit, dan hujan yang menimpa Hasnah dan adiknya seakan-akan perlambangan kepada peribahasa sudah jatuh ditimpa tangga. Hidup susah, kemudian kematian ayah pula. Di sinilah Sa'adiah mendamaikan hati kita sedikit dengan pertemuan Hasnah dan abangnya di KL. Meskipun abangnya terlibat dengan jenayah merompak, namun dia tidak ditangkap. Bahkan, hutang yang sedang ditanggungnya dapat pula dilunaskan dengan bantuan Hasnah. Abangnya tidak tunggu lama di kota dan kembali pulang ke kampung halamannya, sebelum Hasnah menyusul dan menemui bahagia hakiki bersama keluarganya. Oh ya, perhatikan babak pertemuan semula Ogy dan Zakaria Yusuf yang telahpun bertongkat. Mereka bertemu dan betul-betul berada di pertengahan jalan yang lurus. Ia seakan-akan metafora buat mereka berdua di mana masing-masing menemui hakikat kehidupan yang sebenar. Hidup kaya tidak semestinya berguna, manakala hidup miskin bukanlah tidak boleh bahagia, dan Hasnah telahpun menemuinya... Ceritaku Ceritamu adalah sebuah filem kekeluargaan yang menarik untuk ditonton. Kalaulah seniwati Sa'adiah diberi lebih banyak peluang untuk mengarah filem, pasti banyak karyanya yang boleh kita saksikan peningkatan kualitinya. Tapi, Tuhan telah mengatur segala-galanya... Semoga Tuhan mencucuri rahmat ke atas roh para pelakon yang telah pergi meninggalkan kita. P/s: Aduhai... siapa dia yang tidak terpesona dengan senyuman Ogy ketika ini... https://www.facebook.com/groups/785267792063800/permalink/1017999435457300/

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...