Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Saturday, 30 May 2020

Masa inilah saat yang paling getir

Arkib : Catatan Pada 26 Mac 2020


Hari Ke Sembilan Perintah Kawalan Pergerakan

Emosi kita semua mungkin sedang tertekan, mula keresahan, mula ketakutan, mula memikirkan yang bukan-bukan.

Sangat ramai mula kehabisan simpanan yang seciput cuma. Terutama jenis yang kerja sendiri, yang bergaji hari atau minggu.

Dan sepanjang tempoh ini, mereka kehilangan 100% pendapatan mereka. Bagaimana mereka akan terus bertahan dalam keadaan makin tertekan?

Duit habis, barang dapur habis. Nak keluar cari duit tak boleh. Nak kerja tak boleh. Anak menangis kelaparan, pampers sekarang bukan keutamaan.

Namun beras? Namun susu? Namun lauk pauk? Namun bil yang datang? Sewa rumah? Ansuran kenderaan?

Kerisauan, keresahan dan kegusaran mereka yang tak punya apa-apa sedangkan banyak mulut menanti untuk disuap ini tidak terungkap kata-kata.

Kelaparan. Kemiskinan. Kesempitan. Membuat akal hampir hilang kewarasan. Hingga dah ada yang mula mencuri.

Bukan mereka suka mencuri. Bukan. Namun mereka sangat terdesak.

Teringat masa Kelantan dilanda bah besar pada tahun 2014 dahulu.

Lori-lori yang membawa bekalan barangan makanan disekat ditengah jalan. Mereka keluar dengan pedang, dengan cangkul, dengan senjata dan berkata,

"Jangan risau. Kami tak akan mengapa-apakan kamu. Kami takkan ambil duit kamu. Telefon kamu. Lori kamu. Kami cuma nakkan makanan sahaja. Minta maaf, kami terpaksa."

Dan hari ini, dah mula berlaku peristiwa hampir sama. Orang yang kesempitan sanggup mencuri demi sekampit beras.

Kita tidak ditempat mereka. Kita bukan ketua keluarga yang anak menangis tak henti-henti kelaparan. Isteri murung dan tak nak bercakap akibat tiada apa untuk dimasak. Apa lagi jika mereka turut menanggung ibubapa yang stroke atau tidak sihat.

Maka kewarasan mereka hilang. Demi orang yang paling mereka kasihi, mereka sanggup lakukan apa saja. Apa saja. Apa saja.

Sekarang peranan paling besar pada aku ialah pusat zakat dan masjid-masjid di setiap kampung.

Keluarkan tabungan masjid dan bantu ahli kariah masing-masing. Usah diperam lagi dana berpuluh ribu atau beratus ribu itu.

Tapi sedihnya, kawan aku baru berkata. Dia mengajukan pandangan yang sama dengan aku pada ahli masjid kampungnya. Jawapan yang diterima,

"Tak boleh. Itu orang derma untuk masjid. Bukan untuk beli beras dan agih."

Allahu. Dananya hampir seratus ribu. Diperam dan terus diperam dengan alasan yang sama.

Bila lagi nak diguna? Masa inilah saat yang paling getir.

Aku pasti yang tengah tersepit sekarang ini pun ada sumbang duit mereka dalam tabung masjid walau seringgit cuma.

Masjid ada di setiap kampung dan Ahli Jawatakan Kuasa (AJK) masjid mengenali siapa orang miskin dan sangat patut dibantu. Saat ini saat terbaik untuk menggunakan sebahagian dari dana masjid untuk ahli kariah masing-masing demi sesuap nasi untuk keluarga mereka.

Ramai orang susah. Dan kesusahan ini mungkin berlarutan berminggu-minggu bahkan berbulan lagi.

Dan kepada kawan-kawan yang ada rezeki dan simpanan lebih, bantu adik-beradik kalian, saudara mara kalian dan sahabat handai kalian dahulu sebelum salurkan bantuan kepada mana-mana NGO atau pertubuhan.

Itu yang lebih penting dan utama.

Kecik hati adik-beradik atau saudara mara jika kalian yang kaya derma sampai beribu untuk tabung luar sedangkan mereka sendiri makan nasi berlaukkan kicap masin sahaja.

Sama-sama kita cakna dan ambil peduli. Ujian ini turut sama menguji samada hati kita masih hidup atau pun sudah mati.

#StayAtHome #MFS

Pautan artikel lain yang berkaitan :-

28 Jun 2021 : Bendera Kehidupan Sewaktu Krisis Melanda

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...