Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Thursday, 28 May 2020

PERSOALAN HUKUM SEKITAR...

Arkib : 30 April 2020

PERSOALAN HUKUM SEKITAR PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN

Apakah hukum membayar Zakat Fitrah secara atas talian (online payment) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19?

Jawapan :

Zakat Fitrah adalah satu ibadah yang diwajibkan bermula pada malam hari Raya Aidil Fitri iaitu selepas terbenam matahari pada hari terakhir bulan Ramadhan hingga Hari Raya Aidil Fitri. Kebiasaannya, Zakat Fitrah dibayar terus kepada Majlis Agama Islam Negeri Perak (MAIPk) atau amil-amil yang dilantik oleh MAIPk. Pembayaran melalui amil lantikan biasanya dilakukan samada di masjid, surau, rumah atau di tempat-tempat lain. Namun begitu, amalan kebiasaan seperti di atas tidak dapat diteruskan pada masa ini kerana kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak covid-19. Keadaan ini menyebabkan pembayar zakat tidak dapat bertemu dengan para amil untuk membayar zakat fitrah mereka. Oleh itu, timbul persoalan samada pembayaran zakat fitrah dalam situasi PKP ini boleh dilakukan melalui kaedah pembayaran atas talian (online payment), aplikasi atas talian tertentu, perbankan internet dan lain-lain.

Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), para pembayar zakat diwajibkan mematuhi perintah tersebut kerana ia bertujuan memutuskan rantaian jangkitan covid-19 yang sedang menular di negara ini. Kewajipan menurut perintah tersebut seiring dengan tugas pemerintah untuk menjamin keselamatan dan kemaslahatan semua pihak. Ini selari dengan kaedah fiqah berikut:

تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة

Maksudnya: “Tindakan pemerintah ke atas rakyat adalah terikat dengan maslahah”.

Oleh yang demikian, pembayaran zakat ketika tempoh PKP di tempat-tempat yang melibatkan pergerakan individu seperti di masjid, surau atau lain-lain adalah dikira melanggar arahan PKP yang dikeluarkan oleh kerajaan. Tindakan boleh diambil ke atas mereka yang tidak mematuhi arahan ini. Walau bagaimanapun, pembayaran zakat tetap dikira sah di sisi Syarak sekalipun dibuat ketika tempoh PKP ini. Ini kerana pematuhan kepada arahan PKP atau sebaliknya tidak memberi kesan kepada sahnya pembayaran zakat yang dibuat.
Bagi memudahkan pembayaran zakat dan memastikan kepatuhan kepada arahan PKP, zakat Fitrah boleh dibayar melalui aplikasi pembayaran secara atas talian yang dikendalikan oleh misalnya pihak berautoriti melalui perkhidmatan pembayaran seperti JomPay dan FPX, perbankan internet atau kaedah pembayaran atas talian yang lain. Selain daripada pembayaran di atas talian, inisiatif-inisiatif lain boleh juga dicadangkan dengan mengambilkira semua faktor berkaitan seperti pekerjaan para amil sebagai sumber pendapatan mereka dan sebagainya.

Pada dasarnya, para ulamak menetapkan dua syarat yang mesti dipenuhi bagi memastikan pembayaran zakat (ada’ al-zakah) adalah sah dan telah sempurna dilakukan iaitu kewajipan zakat  dikira telah diselesaikan oleh pembayar zakat dan pembayar zakat telah bebas daripada kewajipan zakat tersebut. Dua syarat tersebut ialah (1) niat membayar zakat dan (2) pemindahan milik harta.

 (i) Niat membayar zakat

Pembayar zakat mesti berniat menunaikan zakat. Ini berdasarkan kepada hadis Nabi s.a.w:

إنما الأعمال بالنيات

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap perbuatan adalah dengan niat”.

Niat membayar zakat berlaku bilamana pembayar mempunyai tujuan (qasd) untuk menunaikan zakat dan disertai dengan melakukan perbuatan tertentu bagi mencapai qasd tersebut. Ini bersesuaian dengan maksud niat seperti yang dijelaskan oleh Sheikh al-Islam Zakariyya al-Ansari dalam Kitab Fath al-Wahhab:

 (النية)، وهي قصد الشيء مقترنا بفعله

Maksudnya: “Niat adalah qasd (tujuan) melakukan sesuatu dengan disertakan dengan perbuatannya”.

Para ulamak menyatakan bahawa dalam menunaikan zakat, niat di dalam hati adalah memadai kerana kita tidak disyaratkan untuk melafazkan niat secara lisan seperti yang dijelaskan di dalam kitab Fath al-Mu’in:

وشرط له أي أداء الزكاة شرطان. أحدهما: نية بقلب لا نطق

Maksudnya: “Dan disyaratkan bagi menunaikan zakat dua syarat. Salah satunya ialah berniat di dalam hati (dan) bukan menuturkannya”.

Oleh itu, tiada halangan dari sudut Syarak jika pembayaran zakat atas talian berlaku tanpa sebarang lafaz. Bahkan berniat membayar zakat Fitrah boleh dilakukan samada sebelum membuka aplikasi atas talian atau ketika melakukan transaksi menunaikan zakat secara atas talian. Ini kerana zakat Fitrah ini boleh diniatkan samada ketika membayarnya atau sebelum membayarnya iaitu dalam bulan Ramadan. Imam Nawawi menyatakan sebagaimana berikut:

(والثاني) يجوز تقديم النية عليها لانه يجوز التوكيل فيها ونيته غير مقارنة لاداء الوكيل فجاز تقديم النية عليها بخلاف الصلاة                                                              
Maksudnya: "(Dan keduanya) harus mendahulukan niat sebelum melakukannya kerana mewakilkan (seseorang) untuk membayar zakat adalah harus sedangkan niatnya tidak disertakan dengan perbuatan orang yang menjadi wakil, maka harus mendahulukan niat (dan ini) berbeza dengan solat”.

Berdasarkan keterangan di atas, pembayaran zakat melalui aplikasi atas talian dikira telah memenuhi syarat pertama pembayaran zakat iaitu niat menunaikan zakat. Ini kerana aplikasi tersebut mengkehendaki pembayar melakukan perbuatan tertentu sehingga diakhiri dengan misalnya pengeluaran resit bayaran yang boleh dicetak dan disimpan sebagai bukti yang sah. Secara kebiasaannya, pembayar perlu mengikut arahan yang disediakan oleh aplikasi tersebut sehingga tamat proses pembayaran. Perbuatan menuruti arahan sudah memadai untuk menzahirkan niat untuk menunaikan zakat serta keredhaan pembayar melepaskan hak miliknya terhadap wang yang dibayar sebagai zakat.

Namun begitu, aplikasi atas talian atau apa jua kaedah bayaran secara elektronik tersebut disarankan supaya mempunyai dua ciri iaitu (i) keselamatan dan (ii) ketelusan. Dari sudut keselamatan, ia harus didasari oleh sistem yang selamat dan terjamin. Ini bermakna ia mempunyai kemampuan untuk memastikan wang zakat disalurkan secara efisien dan sampai kepada pihak MAIPk. Dari segi ketelusan, adalah disarankan supaya aplikasi atas talian yang dikendalikan mestilah mengandungi maklumat penting untuk pembayar zakat seperti kadar minimum zakat fitrah terkini, asas-asas hukum zakat fitrah, kalkulator zakat dan lain-lain. Aplikasi ini juga sepatutnya boleh menghasilkan bukti pembayaran seperti resit yang boleh dicetak atau disimpan di dalam fail pembayar sebagai bukti zakat telah dibayar.

 (ii) Pemindahan milik harta (tamlik)

Syarat kedua ialah wang yang telah dibayar sebagai zakat hendaklah berpindah milik kepada penerima yang layak dalam kalangan asnaf yang akan diuruskan oleh pihak MAIPk. Maksudnya, wang yang telah dibayar sebagai zakat tersebut telah keluar sepenuhnya dari pemilikan pembayar. Sheikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh menyatakan sebagaimana berikut:

يشترط التمليك لصحة أداء الزكاة بأن تعطى للمستحقين

Maksudnya: "(Disyaratkan (berlakunya) pemilikan (supaya) pembayaran zakat adalah sah iaitu dengan diberikan kepada mereka yang layak)".

Dalam hal ini, aplikasi atas talian tersebut hendaklah mempunyai kemampuan untuk memastikan jumlah yang dibayar tersebut sampai kepada MAIPk dalam keadaan ia telah keluar daripada pemilikan pembayar.

Sebagai kesimpulan, apa yang penting adalah kedua-dua syarat sah pembayaran zakat yang telah dijelaskan di atas mesti dipenuhi khususnya bilamana zakat dibayar melalui aplikasi atas talian atau kaedah elektronik yang lain. Pembayaran zakat adalah tidak sama seperti akad jual beli atau lainnya yang memerlukan lafaz ijab dan qabul dalam majlis akad serta rukun dan syarat sah tertentu. Bahkan tidak disyaratkan penerima zakat mengetahui bahawa wang yang diterimanya adalah zakat. Pembayar pula tidak disyaratkan untuk memberitahu wang tersebut adalah zakat. Imam Nawawi menyebut:

إذَا دَفَعَ الْمَالِكُ أَوْ غَيْرُهُ الزَّكَاةَ إلَى الْمُسْتَحِقِّ وَلَمْ يَقُلْ هِيَ زكاة ولا تكلم بشئ أَصْلًا أَجْزَأَهُ وَوَقَعَ زَكَاةً

Maksudnya: "Jika pemilik atau selainnya membayar zakat kepada penerima yang layak dan dia tidak menyatakan itu ialah zakat dan tidak bercakap sesuatu, maka zakat tersebut diterima dan bayaran tersebut dikira bayaran zakat".

Disediakan oleh :
Bahagian Fatwa
Jabatan Mufti Negeri Perak

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...