Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Wednesday, 29 July 2020

KUASA KETIGA...

KUASA KETIGA (THIRD FORCE) : SUARA PENDESAK

Selepas melihat kerajaan BN, kemudiannya kerajaan PH dan kini kerajaan PN, maka saya terfikir apa sebenarnya wakil-wakil rakyat kita ini perjuangkan. Walaupun dari segi manifesto dan ceramah masing-masing yang berdegar-degar membayangkan mereka sebagai pejuang rakyat tetapi hakikatnya tak banyak nasib rakyat yang benar-benar terbela.

Saya tak nampak lagi wakil rakyat yang miskin tetapi yang kaya raya itu memang terlalu ramai. Tak kiralah belah mana sekalipun; kerajaan mahupun pembangkang. Kalau tak jutawan pun sekurang-kurangnya hidupnya itu mewahlah. Ditambah lagi dengan pelbagai elaun yang melampau-lampau. Kadang-kadang saya terfikir; mereka ni tak rasa berdosa ke dengan rakyat yang ramai hanya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang?

Macam-macam polisi dan cogan kata telah dibuat dan dilaung-laungkan, tetapi yang kaya semakin kaya dan yang miskin papa kedana. Jurang antara yang kaya dan miskin semakin meluas.

Dari segi hubungan antara kaum, saya nampak suasana semakin tegang tapi hanya disapu ke bawah karpet sahaja. Saya tidak nampak usaha-usaha yang konkrit dan berkesan untuk memupuk keharmonian antara kaum khususnya dari segi polisi dan dasar. Kalau ditubuhkan jawatankuasa atau kementerian, ia hanya sekadar melebarkan lagi jarak atau tidak mengubah apa-apa pun kerana langkah penyelesaian yang dibuat tidak kepada punca sebenar. Bak kata orang, hanya sekadar penyelesaian kosmetik.

Kedudukan agama Islam pula tidak nampak apa-apa perkembangan atau perubahan yang besar, malah sentiasa menjadi bahan penghinaan dan bahan persendaan. Lebih parah lagi, golongan atau NGO yang melaungkan kebebasan dan hak asasi diangkat dan dijulang oleh kerajaan. Pada satu sudut mereka mengatakan memperjuangkan Islam tapi di sudut yang lain mereka seolah-olah menafikannya dengan pelbagai alasan politik. Bagi saya ini satu munafik politik.

Itu belum lagi kita bicarakan mengenai isu lompat-melompat. Malah, perbahasan parlimen hanya seperti pusat tadika atau lebih teruk lagi seperti zoo yang akhirnya menyebabkan golongan belia membenci politik walhal politik itu adalah sebahagian dari Islam. Akibatnya, orang muda bukan saja tak mahu menyertai mana-mana aktiviti yang ada kaitan dengan politik apatah lagi parti politik itu sendiri. Malah, kebanyakan antara mereka enggan pergi mengundi pun. Bagi saya ini satu pengkhianatan dan fitnah kepada ilmu dalam Islam.

Yang paling pelik ialah apabila  kalah, mereka terhegeh-hegeh mencari NGO untuk bantuan tapi bila kuasa sudah ada dalam tangan maka NGO disisih seperti kata pepatah “sudah dapat madu, sepah dibuang”. Malah, yang lebih teruk sekali ialah NGO ditekan dan direndah-rendahkan. Benarlah kata orang, NGO ini tidak ubah umpama DAUN KARI yang diguna ketika nak memasak tetapi akhirnya dibuang ketika hendak dimakan.

Adakah wakil-wakil rakyat memikirkan nasib rakyat? Malaysia kaya dengan sumber asli dan dengan penduduk yang sedikit. Sebenarnya negara mempunyai kewangan yang cukup untuk menampung hidup setiap rakyat. Namun sebaliknya berlaku.

Saya ada juga terfikir, apakah mungkin sudah tiba masanya NGO-NGO membuat KUASA KETIGA (THIRD FORCE) dengan masuk bertanding dalam pilihanraya umum dan benar-benar menjadi suara rakyat marhaen di parlimen. Mungkin boleh bertanding atas tiket BEBAS tanpa terikat dengan mana-mana parti. Mungkin sukar untuk membentuk kerajaan tetapi ia menjadi SUARA PENDESAK di parlimen bagi pembelaan rakyat marhaen, sebagai nafas baharu politik Malaysia.

Apa pandangan rakan-rakan netizen semua?

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...