PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
Puasa Menjauhkan Dari Api Neraka
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: مَنْ صَامَ يَوْمًا فِى سَبِيلِ اللَّهِ بَعَّدَ اللَّهُ وَجْهَهُ عَنِ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا
Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya, aku mendengar Sabda Rasulullah SAW: Barangsiapa melakukan puasa satu hari di jalan Allah (dalam melakukan ketaatan pada Allah / jihad ), maka Allah akan menjauhkannya dari neraka sejauh perjalanan 70 tahun. (HR Bukhari No: 2840) Status Hadis Sahih.
Pengajaran :
1. Puasa adalah antara ibadat yang menjadikan seseorang hamba dekat dengan syurga dan jauh daripada neraka.
2. Puasa adalah perisai kepada seorang mukmin. Rasulullah SAW bersabda :
الصِّيَامُ جُنَّةٌ يَسْتَجِنُّ بِهَا الْعَبْدْ مِنَ النَّارِ
"Puasa adalah perisai, seorang hamba berperisai dengannya dari api neraka” (HR Ahmad 3/241) Status: Hadis Sahih
3. Sehari ibadat puasa oleh seorang Mukmin yang dilakukan dengan ikhlas akan menjauhkan seseorang dari neraka sejauh 70 tahun perjalanan.
4. Rasulullah SAW menganjurkan kita untuk melakukan puasa sunat khususnya pada bulan Muharam. Antara hari yang digalakkan berpuasa selain daripada Isnin dan Khamis, puasa Tasu’a (9 Muharam) dan puasa Asyura (10 Muharam) juga puasa sunat pada pertengahan bulan hijrah atau dipanggil puasa hari puteh (13, 14 dan 15 haribulan Hijrah)
عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَصُومَ مِنْ الشَّهْرِ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ الْبِيضَ ثَلَاثَ عَشْرَةَ وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ وَخَمْسَ عَشْرَةَ
Dari Abu Dzarr RA dia berkata; "Rasulullah SAW memerintahkan kami agar berpuasa tiga hari Bidh (Putih) dalam sebulan iaitu tiga belas, empat belas dan lima belas." (HR Nasai No: 2380) Status: Hadis Hasan
Marilah kita melakukan puasa sunat pada sepanjang bulan Muharam ini selain daripada puasa pada hari ke 9 (Tasu’a), hari ke 10 (Asyura). Disamping puasa sunat hari Isnin dan Khamis juga puasa hari-hari puteh pada 13hb, 14hb dan 15hb Muharam.
Moga ibadat puasa akan menghindarkan kita dari api neraka.
Ummah Rabbani Negara Sejahtera
#SemarakUkhuwahMemacuPerubahan #MalaysiaMenujuNegaraRahmah
28hb Ogos 2020 / 09hb Muharam 1442H
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Selamat berpuasa sunat bagi mereka yang sempat berpuasa hari Jumaat dan Sabtu ini. Mari kita sama-sama berpuasa sunat (28 Ogos = Hari Tasu'a = 9 Muharram) dan ( 29 Ogos 2020 = Ashura' = 10 Muharram).
Imam Syawkani dan Ibnu Hajar mengatakan puasa ‘Asyura ada tiga tingkatan. Yang pertama puasa di hari ke 10 saja, tingkatan kedua puasa di hari ke 9 dan ke 10 dan tingkatan ketiga puasa di hari 9,10 dan 11. Ganjarannya ?
Abu Qatadah al-Ansari radiallahu ‘anhu berkata : وَسُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ عَاشُورَاءَ فَقَالَ ” يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ
Baginda ditanya tentang puasa hari Asyura. Baginda menjawab: ia menghapuskan dosa setahun yang lalu. [Sahih Muslim, Kitab al-Siyyam, hadis no: 2603]
‘Abdullah bin ‘Abbas radiallahu ‘anhuma berkata:
حِينَ صَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ يَوْمٌ تُعَظِّمُهُ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ قَالَ فَلَمْ يَأْتِ الْعَامُ الْمُقْبِلُ حَتَّى تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Ertinya : Apabila Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa di hari ‘Asyura dan menyuruh manusia berpuasa padanya. Para sahabat berkata: Ya Rasulullah. Sesungguhnya ia merupakan hari yang orang Yahudi dan Kristian agungkan. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: Pada tahun hadapan, Insya-Allah kita akan berpuasa pada hari kesembilan Muharram. Akan tetapi, pada tahun berikutnya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam telah meninggal dunia. [Sahih Muslim, Kitab al-Siyyam, hadis no: 1916]
Imam Ibnu Qayyim berpandangan terdapat tiga kaedah melaksanakan puasa hari ‘Ashura iaitu :-
- Berpuasa tiga hari iaitu pada 9, 10 dan 11 Muharram, atau
- Berpuasa 9 dan 10 Muharram, atau
- Berpuasa pada 10 Muharram sahaja.
#kongsiilmu✍️
No comments:
Post a Comment