Arkib : 16 Jun 2019. Selamat Hari Bapa Untuk Abah
Sempena Hari Bapa yang diraikan hari ini rasanya lebih baik saya bercakap hal yang baik-baik tentang abah kepada yang membaca dari semata-mata wish, sebab ucapan boleh dihantarkan terus menerusi mesej atau berjumpa, kurang relevan untuk dibaca oleh segenap pelusok friend list yang entahkan kenal atau tidak abah saya.
Abah seorang yang membesar dengan penat jerih atas nama seorang pendatang. Dia adalah generasi ketiga pendatang dari Kepulauan Jawa, Indonesia sekitar awal kurun ke 20. Tak banyak yang saya tahu tentang nenek moyangnya sebab adik beradik atau keluarga di Jawa pun tak ada yang kami benar-benar rapat sampai sekarang.
Membesar di Bagan Datoh ada baik dan buruknya. Awal pertengahan abad 20 menyaksikan pertumbuhan pekan kecil Teluk Intan menuju ke arah pembentukan Malaysia merdeka yang menjurus ke arah perladangan.
Dalam banyak adik-beradik, abah yang terawal nekad untuk sambung belajar sebab dia tahu hanya dengan pendidikan pada waktu itu dapat membebaskan diri dari cengkaman kemiskinan yang menyangkut ramai saudara-mara jalur pendatang. Hal itu bukan mudah katanya. Nak ke sekolah menengah pada waktu itu perlu meredah jalan kampung dan jarak sekolah dari rumah pula sekitar 20 km. Bayangkanlah kalau naik basikal waktu itu, aku anggarkan mahu juga dua tiga jam.
Abah cakap kalau dia nak ke sekolah selalunya sebelum subuh dan masih gelap lagi. Pernah sekali dia terjatuh dalam parit gelap-gelap sekali dengan kad pengenalan, teraba-rabalah dia cari kad sampai jumpa. Nak mengadu dah tentu kena maki balik dengan ayahnya yang garang (kami panggil Embah Lanang), silap-silap mau kena pukul. Tapi dia usaha juga sampailah dia ambil SPM dan seterusnya STPM. Pernah juga dia sambung belajar ke Alam Shah (aliran melayu pertama waktu itu), tapi gagal pula periksa, dia transfer balik ke Sekolah Menengah Sultan Abdul Aziz. Nak jadi cerita, dia berjaya juga sambung jadi cikgu walaupun tak ada STPM waktu itu. Tapi dia fikir kena juga dapatkan sebab itu the only way untuk progress dan keluar dari kemiskinan. Jadi sambil mengajar, dia ambil juga STPM banyak kali sampai berjaya. Total cubaan 7 kali katanya. Tapi dia nekad.
Lepas habis STPM, masa ada anak dua orang, dia sambung belajar ke peringkat sarjana muda pulak, di USM. Waktu jambatan Pulau Pinang pun belum ada lagi. Terpaksalah berjauhan dengan anak bini. Gaji pun kena potong separuh, waktu itu dalam tiga ratus ringgit lebih kalau kerja cikgu. Tolak duit rumah, bla, bla, bla, entah berapalah dia dapat makan untuk tiap bulan.
Pun dia tak mengalah.
Katanya nak survive, makan lah nasi dengan lauk ikan. Ikan itu boleh makan dua kali, sebelah pagi, sebelah malam (no pun intended, setan). Tapi nasib dia agak baik juga dan dia sangat grateful ada abang-abang yang masih hulur duit walaupun dah berkeluarga. Kadang dia kata tebal sahajalah telinga dengar kena bebel, at least ada duit nak survive.
But he keeps all the money he receives on a note. Lepas habis belajar, dia bayar balik duit-duit itu kat abang-abang dia. How thoughtful.
"Diorang pun bukan orang kaya," kata abah.
Habis belajar degree, abah mengajar. Sambil-sambil itu banyak juga saudara-mara yang dia bawa dari kampung untuk tinggal sekali, hanya sebab dia nak bagi mereka peluang dan hak untuk pendidikan. Mak kadang pening kepala sebab isi rumah dah bertambah, tapi layankan lah sebab mereka adalah family. Aku tahu kalau duduk pada tempat abah, entah larat atau tidak nak tanggung isi rumah banyak macam itu.
Tapi tak pernah juga lah abah merungut-rungut dah bantu orang macam-macam tak dapat pulangan apa benda. Selalunya abah biarkan saja kalau orang buat palat kat dia. Kadang aku yang naik angin. Tapi abah bukan jenis suka bereaksi tak tentu pasal.
"Banyak benda yang kita kena fikir." Kata abah.
Memang abah banyak berfikir sebelum apa-apa benda yang dia buat. Mudah-mudahan Allah sajalah yang beri balasan untuk segala pertolongan yang dia bagi.
Sampai sekarang sebenarnya abah suka memberi. Sampai sekarang masih lagi mengajar tuisyen percuma, terutama bab Matematik. Untuk sesiapa saja termasuklah orang-orang di kampung dia di Bagan Datoh. Tak pernah sekali pun lupa. Matematik Tambahan yang dia tak pernah mengajar masa jadi cikgu pun dia belajar lepas pencen. Hari-hari dia tak berkebun atau potong rumput, dia akan duduk berteleku mengadap buku latihan matematik. Sampai kami buat umrah tahun 2005 dulu pun dia bawa juga buku-buku matematik itu.
Geleng kepala dia belajar matematik tambahan. Dia gagahkan juga.
Dan walaupun dia dah naik pangkat PK HEM dengan DG41 sebelum pencen, pun, dia tak pernah nak berlagak bukan-bukan dengan gaji yang dah mantap. Masih jugalah dia bawa motor cabuk ke sekolah sampai pencen tahun 2003. Ruang parking untuk PK HEM kat sekolah pun dia bayar juga macam biasa, cuma sesekali dia akan bawa kereta, selalunya kalau dia memasak untuk jamuan sekolah. Ini kau tanya Aloy Paradoks lah, aku kurang memori tentang hal itu, tau-tau je nampak dia angkut pinggan mangkuk masuk dalam boot kereta.
Abah adalah contoh orang yang 'bebas' dalam erti kata sebenarnya. Dia sedar ilmu bukan saja untuk bebaskan diri dari belenggu ekonomi masyarakat dan kelas mereka tapi untuk develop minda jauh dari kebebalan dalam sikap dan tindakan.
"Kita kena sedorlah diri."
Itu pesan abah kalau aku pulang ke kampung dan minum-minum pagi. Dia suka betul borak lepas minum pagi, tambah kalau lepas buat roti canai.
Apa yang buat aku grounded walaupun dah ke sana ke mari adalah mengenangkan, sejauh mana pun aku pergi, ada sosok lelaki yang akan buat yang terbaik, mengenakan baju lusuh yang bertampal (sebab dia benci buang benda boleh pakai, bukan tak pernah belikan dia baju baru). Sejauh mana pun idea yang aku utarakan, tak akan pernah terwujud kalau tak ada pengorbanan dari abah, yang entahkan mampu aku at least capai dalam usia kebapaan satu hari nanti.
Beliau juga datang dengan tagline famous,
"Kalau kamu tak ada pemadam dan pensel, tapi saya nampak kamu makan KFC kat pekan Teluk Intan, masa itu jugak saya tendang kamu."
Kool abah.
https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=10219671339914450&id=1245616488
P/S : Sedikit perkongsian tentang Matematik apabila aku cuba nak kaitkan diri abah dengan matapelajaran Matematik ini. Boleh gunakan gambar-gambar ini sebagai rujukan.
04 September 2019 : Kisah Hari Ini
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------
No comments:
Post a Comment