Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Monday, 21 September 2020

Adakah Sejarah Silam Bakal Menjelma?

Konflik Turki – Greece : Adakah Sejarah Silam Bakal Menjelma ?

Saat ini dunia seperti tidak berkesudahan dengan konflik dan peperangan. Di segenap ceruk dunia terdapat sahaja konflik dan peperangan. Akibat dari itu terdapat penganalisa geopolitik dunia dan ketenteraan meramalkan tahun 2020 ini bakal tercetus peperangan besar seperti perang dunia pertama dan kedua.

Konflik di Asia Barat seperti Palestin - Israel, Syria, Yemen, Iraq, pertelagahan negara – negara Arab, normalisasi hubungan UAE – Israel, Libya, konflik Laut China Selatan, pertembungan Amerika Syarikat dan China, konflik empangan Sungai Nil Biru, Kashmir, Sudan, rampasan kuasa di Mali, penghapusan etnik Rohinga mahupun Uighur, pertembungan kaum dan bangsa serta hangatnya kempen pilihanraya Presiden Amerika Syarikat menjadi topik utama berita di seluruh dunia di sebalik penularan wabak pandemik Covid-19 yang hampir melumpuhkan dunia.

Kesemua peristiwa dan konflik tersebut seolah – olah menguatkan lagi teori pakar – pakar dan penganalisa geopolitik antarabangsa bahawa dunia sudah hampir kepada pertembungan besar yang mampu merosakkan serta menghancurkan ketamadunan manusia ketika ini akibat sikap dan keghairahan segelintir manusia.

Di sebalik kehangatan kesemua peristiwa dan konflik tersebut, timbul satu konflik yang tidak dijangka oleh mana – mana negara pun di dunia iaitu konflik di timur Laut Mediterranean antara Turki dan Greece. Konflik tersebut tercetus apabila Turki memulakan eksplorasi minyak dan gas di timur Laut Mediterranean terutamanya di sempadan lautan kedua – dua negara.

Greece menuduh Turki telah menjalankan eksplorasi minyak dan gas melewati sempadan lautan di negaranya dan dari situ bermulalah pertikaian di antara Turki dan Greece yang saat ini telah memasuki fasa di mana kedua – dua negara seperti telah bersiap sedia untuk bertembung dari segi ketenteraan jika tiada penyelesaian dicapai di meja rundingan.

Baik Turki mahupun Greece saat ini telah memulakan latihan ketenteraan baik di lautan, udara mahupun darat. Turki yang saat ini boleh dikatakan sebagai satu kuasa dunia yang telah mula meningkat naik menjalankan latihan ketenteraan secara bersendirian manakala Greece ketika ini mula mendapat sokongan Perancis, Mesir dan UAE dan mula menjalankan latihan ketenteraan bersama negara – negara tersebut.

Menariknya pertembungan Turki dan Greece ini termasuk campurtangan dari Perancis yang sekarang sudah seperti menjadi sekutu kuat Greece menempelak Turki dan Presidennya Recep Tayyip Edrogan telah menarik Kesatuan Eropah sekali dalam pertembungan ini di mana Kesatuan Eropah baru – baru ini memberi amaran kepada Turki agar menghentikan eksplorasi minyak dan gas di timur Laut Mediterranean atau berhadapan dengan sekatan.

Walaupun berhadapan dengan ancaman dan amaran daripada Perancis mahupun Kesatuan Eropah, Turki tetap meneruskan eksplorasi tersebut tanpa memperdulikannya. Namun terdapat satu lagi persoalan ramai penganalisa geopolitik dunia ketika ini, di mana Amerika Syarikat dan NATO yang selalunya akan menjadi pengantara mahupun polis dunia ketika berlakunya sesuatu konflik terutamanya di Eropah di mana benua tersebut sekian lama menjadi sekutu terkuatnya.

Tentunya sikap berdiam diri Amerika Syarikat ketika ini mahupun NATO menimbulkan banyak persoalan dan kebuntuan. Namun jika dikaji secara terperinci, akan jelaslah bahawa sikap berdiam diri Amerika Syarikat adalah berpunca daripada hubungan dingin Amerika Syarikat dengan Kesatuan Eropah khususnya negara – negara tonggak Eropah seperti Perancis dan Jerman.

Tambahan pula diketahui oleh dunia Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mempunyai hubungan yang agak baik dengan Presiden Turki yang berkemungkinan membuatkan Amerika Syarikat tidak masuk campur akan soal ini. NATO pula yang selama ini dikuasai oleh Amerika Syarikat sedang berkecamuk akibat kritikan Donald Trump terhadap negara – negara Eropah yang berada di dalam NATO yang terlalu sedikit menyumbang dari segi kewangan mahupun ketenteraan berbanding Amerika Syarikat.

Malah berkemungkinan Turki yang turut menjadi negara anggota NATO menyebabkan NATO tidak bertindak sewenang-wenangnya ke atas Turki. Maka mungkin di atas sebab – sebab tersebut, NATO dan Amerika Syarikat seolah – olah hilang taring dalam konflik di antara Turki dan Greece malah dilihat gagal untuk bertindak.

Ada juga penganalisa dan pakar geopolitik Eropah serta dunia berpendapat bahawa konflik ini terjadi akibat lompongan kuasa yang ditinggalkan Amerika Syarikat akibat polisi terkini Rumah Putih terhadap Eropah. Semenjak Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat, polisi Rumah Putih terhadap Eropah menjadi semakin longgar dan dilihat Amerika Syarikat seolah – olah berkonfrantasi dengan Eropah.

Berbalik kepada pertembungan Turki – Greece dan sokongan Perancis, Mesir dan UAE terhadap Greece, sokongan Perancis, Mesir dan UAE turut juga mempunyai kaitan dengan konflik di Libya di mana Turki membantu dan menyokong kerajaan GNA Libya manakala Perancis, Mesir dan UAE membantu dan menyokong ketua pemberontak Libya Khalifa Haftar.

Adalah tidak mustahil bahawa sikap Perancis, Mesir dan UAE menyokong Greece adalah cubaan negara – negara tersebut untuk melemahkan pengaruh Turki serta menyekat Turki daripada menjadi salah satu kuasa besar dunia sepertimana ketika zaman Kerajaan Uthmaniyah dahulu. Keberadaan Turki dan pengaruh geopolitiknya di dunia ketika ini agak besar  dan mungkin tidak mampu dibendung jika dibiarkan tanpa sekatan.

Namun sebenarnya, pertembungan Turki – Greece bukanlah satu perkara baru malah ianya berlaku sejak dari zaman Kerajaan Uthmaniyah lagi. Sejarah pertembungan Turki – Greece telah mengakibatkan perang di antara kedua – dua negara sejak dari tahun 1897 dan yang terakhirnya pada tahun 1974 apabila Turki menawan Cyprus.

Perang Tiga Belas Hari atau perang Turki – Greece 1897 adalah perang di antara Kerajaan Uthmaniyyah dan Kerajaan Greece di mana ketika itu perang tersebut adalah berkaitan Pulau Crete, pulau terbesar dalam Greece ketika ini. Ketika itu, Pulau Crete adalah di bawah kekuasaan Kerajaan Uthmaniyyah dan mengikut kepercayaan kuno Greece, di pulau tersebut adalah tempat kelahiran Zeus, tuhan agama kuno orang – orang Greek.

Perang tersebut berakhir dengan perjanjian damai yang ditandatangani pada 20 September 1897 namun akhirnya pada 1913, Pulau Crete atau Creten State menjadi hak milik Greece setelah Kerajaan Uthmaniyyah telah mula lemah dan akibat campurtangan beberapa negara Eropah.

Perang Turki – Greece antara tahun 1919 - 1922  adalah perang kedua di antara kedua – dua negara ini. Perang tersebut berlaku setelah kekalahan Kerajaan Uthmaniyyah dalam perang dunia pertama dan berikutan janji Perdana Menteri British ketika itu David Llyod George kepada Greece untuk memberikan Anatolia yang berada di bawah kekuasaan Kerajaan Uthmaniyyah kepada Greece.

Ketika itu Istanbul telah ditawan oleh British, Perancis dan Itali serta Kerajaan Uthmaniyyah berada dalam keadaan yang sangat lemah. Akibat dari kelemahan itu, Greece telah memulakan peperangan untuk menawan Anatolia. 

Kelemahan Kerajaan Uthmaniyyah adalah akibat daripada perjanjian Sykes –Picot yang dipersetujui secara rahsia di antara British, Perancis, Rusia dan Itali di mana perjanjian tersebut adalah untuk memecahbelahkan Kerajaan Uthmaniyyah seterusnya membahagikan negara – negara yang berada di bawah kekuasaan Kerajaan Uthmaniyyah di antara mereka mahupun sekutu mereka seperti Palestin kepada orang Yahudi dan Anatolia dijanjikan kepada Greece.

Peperangan tersebut tamat pada Ogos 1922 di mana Greece memulangkan semula wilayah yang ditawan kepada Turki seterusnya selepas itu wujudlah Republik Turki di bawah Mustafa Kamal Atartuk setelah dijatuhkan Kerajaan Uthminyyah oleh musuh – musuh Islam dan membahagikan negara – negara Islam sesama mereka untuk dikuasai dan dijajah.

Perang terakhir di antara Turki – Greece adalah pada tahun 1974 apabila Turki menawan Cyprus. Ia berlaku akibat satu rampasan kuasa yang dijalankan oleh tentera Greece untuk menawan Cyprus. Greece yang sememangnya bercita – cita untuk menjadikan Cyprus sebahagian dari wilayahnya sejak dari 1950an iaitu sebelum Cyprus mencapai kemerdekaan pada tahun 1960.

Cyprus, sebuah negara yang didiami oleh dua bangsa terbesar iaitu Turkish Cypriot iaitu rakyat Cyprus berbangsa Turki dan Greek Cypriot iaitu rakyat Cyprus berbangsa Greece. Sebelum Cyprus merdeka lagi, telah berlaku konflik besar di Cyprus di mana Greece cuba berpakat dengan Greek Cypriot untuk menawan Cyprus.

Setelah Cyprus merdeka, Greece cuba mengawal Cyprus dengan bantuan Greek Cypriot tetapi ditentang oleh Turkish Cypriot yang menolak campurtangan Greece dalam mengawal Kerajaan Cyprus. Akhirnya ketika Greece diperintah oleh junta tentera yang diketuai oleh Dimitrios Ioannidis, berlakulah rampasan kuasa yang diterajui oleh Greece dengan bantuan Cypriot Greece untuk menawan Cyprus.

Setelah Turki menawan Cyprus, ia membahagikan Cyprus kepada dua di mana sehingga hari ini wujudlah dua Cyprus iaitu Republik Cyprus dan Cyprus Utara atau Turkish Republic Of Nortern Cyprus.

Hakikatnya, sejarah membuktikan perseteruan Turki – Greece mampu membawa perubahan kepada geopolitik di sekitar timur Mediterranean mahupun kawasan sekitarnya. Sejarah juga membuktikan kemampuan Turki menjadi kuasa besar dunia serta mampu menjadi peneraju Dunia Islam.

Apa yang dapat dikupas mahupun diterjemah ketika ini, jika Turki meneruskan eksplorasi minyak dan gas serta mampu membangunkan kawasan yang dipercayai mempunyai simpanan gas yang bernilai berpuluh billion dollar, Turki akan mendapat limpahan ekonomi yang besar dan begitu juga kuasa ekonomi yang kukuh.

Dengan penguasaan ekonomi dan kemampuan Turki ketika ini, berkemungkinan negara – negara seterunya berpendapat Turki akan mampu bangkit sekaligus menjadi kuasa besar dunia. Dengan pengaruh geopolitik yang luas dan hubungan akrab dengan negara – negara seperti Iran, Qatar, China dan Rusia serta negara – negara Islam berserta kemampuan tinggi dalam teknologi dan sains, Turki perlu dihalang sebelum tidak mampu dibendung.

Oleh itu pastinya tidak lama lagi, akan banyak negara lagi masuk campur dalam konflik tersebut menekan Turki terutamanya dari Eropah kerana tempiasnya jika Turki bangkit menjadi kuasa besar dunia, yang paling terkesan sekali adalah negara – negara Eropah.

Namun saya percaya dan yakin, kepimpinan Presiden Turki Recep Tayyip Edrogan mampu mengatasinya dan saya juga yakin Turki pasti berjaya mengatasi halangan ini dengan jayanya. Jelas sekali saya percaya ramai yang impikan Turki mampu bangkit dan menjadi  kuasa utama Dunia Islam serta menjadi peneraju ummah dan Dunia Islam sepertimana zaman Kerajaan Uthmaniyyah dahulu.

Dikala ini ketika dunia sedang berselerak dan berhadapan dengan konflik yang sememangnya menekan umat dan Dunia Islam, umat dan Dunia Islam sewajarnya bersatu padu dan berkerjasama demi membangunkan ummah dan Dunia Islam. Jadikan Islam sebagai asas perpaduan dan tonggak negara, bukannya menjadi pengkhianat kepada umat dan Dunia Islam dengan berkerjasama dengan musuh Islam terutamanya regim Israel.

Jadilah umat yang diredhai dan diberkati Allah SWT, bukannya menjadi kutukan setiap makhluk yang ada di langit dan bumi.

Semoga kita semua dirahmati dan diredhai oleh Allah SWT.

Islam Memimpin Perpaduan.

YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.

ADUN Batu Buruk.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3246014162120740&id=526079594114224

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...