Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Thursday, 29 October 2020

Jangan Hina Nabi Kami !

Jangan Hina Nabi Kami!

Jumaat, 16 Oktober 2020, Samuel Paty, seorang guru subjek sejarah sebuah sekolah di pinggir kota Paris, Perancis telah dibunuh dengan kepalanya dipenggal. Pembunuhnya adalah seorang pemuda Islam yang berasal dari keturunan muslim Chechnya. Pembunuhan tersebut telah mengejutkan seluruh warga Perancis.

Beliau melakukan perbuatan itu sebagai respon balas terhadap gurunya yang menghina Nabi Muhammad SAW dengan menayangkan beberapa lukisan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW kepada pelajar-pelajarnya di dalam bilik darjah untuk berbincang di atas dasar hak kebebasan bersuara. 

Kejadian ini menggemparkan dunia dan mendapat reaksi dari pelbagai pihak namun ramai yang mengutuk tindakan tersebut. Namun beberapa hari lalu, dua wanita Muslim ditarik tudungnya, dihamburkan kata-kata rasis dan ditikam bertubi-tubi berdekatan Menara Eiffle oleh dua wanita Perancis. Insiden tersebut menghangatkan lagi ketegangan agama dan perkauman di Perancis.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron mempertahankan tindakan guru tersebut dan memberi anugerah khas Légion d’honneur dalam satu majlis yang diadakan pada 21 Oktober 2020 yang lalu di Universiti Sorbonne dan menganggapnya sebagai ‘hero’ kerana mempertahankan dasar kebebasan. 

Emmanuel Macron dalam ucapannya menggangap kematian mangsa adalah akibat sikap kebodohan, penipuan, kekeliruan dan kebencian malah beliau juga berjanji untuk memerangi golongan radikal Islam habis-habisan.

Presiden Chechnya, Ramzan Kadyrov dalam satu kenyataan, mengecam pembunuhan tersebut dan dalam masa yang sama memberi amaran jangan sekali-kali membuat provokasi terhadap umat Islam. Beliau mengkritik masyarakat Perancis dengan mengambarkan apa yang berlaku terhadap umat Islam di sana sebagai satu manifestasi terhadap provokasi melampau ke atas Islam.

Syeikh Al-Azhar, Syeikh Prof Dr Ahmad Muhammad al-Tayyeb pula menyifatkan kebebasan untuk menghina ugama lain itu sebenarnya satu ‘keganasan’. Beliau juga menyatakan bahawa tindakan menghina agama juga sebagai “intellectual double standard“ dan “jemputan terbuka“ kepada kebencian dan tindakan - tindakan lain.

Persoalannya di sini, mengapa pembunuhan itu berlaku? Adalah sangat malang apabila Presiden Perancis bertindak mempertahankan tindakan guru tersebut dan mengangkatnya sebagai hero kerana mempertahankan prinsip kebebasan. 

Tidak dinafikan pembunuhan tersebut begitu tragis, bahkan kejadian bunuh seperti itu bukan satu perkara pelik yang berlaku di serata dunia termasuk di kota Paris sendiri. Akan tetapi meletakkan kesalahan ke atas ‘Islam Radikal’ tanpa mencari punca pembunuhan tersebut adalah satu kesilapan. 

Sikap Barat yang prejudis terhadap Islam antara salah satu punca kejadian-kejadian seperti ini berlaku. Malah propaganda buruk dan kebencian oleh media barat terhadap Islam memburukkan lagi keadaan dan prejudis yang timbul ketika ini.

Kebebasan bukan bererti memberikan kebebasan atau ruang untuk sewenang-wenangnya menghina dan mengeji ugama lain namun kebebasan atau “Free Speech“ yang dipraktikkan oleh barat ketika ini langsung tidak memperdulikan nilai kemanusian, agama mahupun tatasusila kehidupan.

Dalam erti kata lain, barat mempergunakan “kebebasan“ mengikut kehendak mahupun kemahuan mereka terutamanya apabila membabitkan kepentingan mereka ataupun memberikan kelebihan kepada mereka.

Jika sekiranya kebebasan yang diagung-agungkan oleh Barat itu tiada batas dan sempadan, mengapa menghina orang Yahudi dianggap sebagai satu jenayah di Eropah sehingga boleh dihukum dengan begitu berat sekali ?

Anti Semitic“ law atau undang-undang anti yahudi dikuatkasakan boleh dikatakan hampir kesemua negara-negara besar Eropah. Undang-undang ini  bertujuan untuk melindungi orang-orang Yahudi dari provokasi, penghinaan, kecaman atau apa-apa tindakan yang boleh menjejaskan orang Yahudi.

Namun apabila terdapat provokasi atau penghinaan membabitkan orang Islam, “its a free speech“ atau kebebasan bersuara. Itukah keadilan versi barat atau kebebasan bersuara yang sangat diagungkan oleh mereka? Seperti yang dikatakan tadi, kebebasan bersuara sebenarnya hanya untuk kepentingan mereka.

Islamofobia ialah perasaan takut dan benci terhadap Islam sehingga melahirkan permusuhan terhadap orang Islam yang berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar berdasarkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. 

Islamofobia kini sudah menjadi ideologi sehingga menyebabkan penyisihan berlaku terhadap Islam dan penganutnya sehingga kepada tahap mendiskriminasikan individu, masyarakat, pertubuhan, parti politik dan negara yang menjadikan Islam sebagai agenda mahupun tonggaknya.

Ia adalah satu fenomena yang lahir dari persepsi yang dimainkan oleh media massa barat yang memberikan gambaran yang tidak adil terhadap Islam bahkan sampai tahap menanamkan kefahaman bahawa Islam mempunyai nilai yang tidak sama dengan budaya lain khususnya Barat. 

Ia bertambah buruk apabila sikap ini disokong oleh ahli-ahli politik barat samada kiri atau kanan, tokoh-tokoh ugama, akademik mahupun artis-artis. Akibat daripada sokongan dan propaganda, Islamofobia sudah seperti menjadi tradisi betapa prejudisnya masyarakat barat terhadap Islam.

Dunia Islam masih lagi tidak dapat melupakan kenyataan Pope Benedict ke 12 yang melabelkan Nabi Muhammad SAW sebagai pengganas kerana menyebarkan ugama Islam dengan pedang. 

Begitu juga karikatur-karikatur dari artis-artis Barat yang menghina Nabi Muhammad SAW dan ajaran Islam sebagaimana karikatur keluaran majalah Charlie Hebdo yang menjadi topik utama sehingga terjadi pembunuhan baru - baru ini.

Akhirnya fenomena ini terbentuk sehingga menjadi satu ketetapan di Barat untuk menolak Islam dari semua aspek agar ianya tidak berakar umbi kerana jumlah umat Islam yang semakin bertambah di Eropah dan Amerika Utara saban tahun.

Umat Islam bukan sahaja memuliakan Nabi Muhammad SAW bahkan semua anbiya mesti dimuliakan termasuk Nabi Musa AS dan Nabi Isa AS yang dimuliakan oleh Yahudi dan Nasara. Ia adalah satu akidah yang mesti disemat kerana mereka adalah manusia mulia yang dipilih oleh Allah SWT untuk memandu manusia kepada jalan-Nya yang betul.

Islam mendidik umatnya supaya menghormati dan memuliakan para nabi dan rasul, begitu juga para alim ulama, pejuang mahupun pendakwah yang menginfakan diri dan kehidupan mereka kepada Islam. Namun dalam masa yang sama, Islam juga mengajar umatnya untuk menghormati agama, bangsa, kaum dan kebudayaan yang lain.

Untuk meletakkan semua kejahatan dan kesalahan terhadap Islam dan umatnya adalah satu kesalahan mahupun perbuatan yang amat dangkal dan tidak langsung memaparkan sikap manusia yang bertamadun. Seharusnya di era ini, umat manusia semakin bijak dan bertamadun serta tidak lagi mengamalkan diskriminasi atau provokasi terhadap mana - mana agama, bangsa dan kaum.

Persoalan saya, jika berlaku kejadian sama seperti mana yang berlaku di Perancis baru-baru ini tetapi membabitkan orang Yahudi, apakah pemimpin barat berani mengatakan ianya adalah kebebasan bersuara dan pelakunya adalah "hero" ?

Pengamatan saya, ianya amat mustahil untuk berlaku dan segala jenis tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap pelakunya. 

Selagimana umat Islam tidak bangkit mempertahankan Islam dan umatnya, selagi itulah Islamofobia akan terus berlaku dan umat Islam akan terus ditindas, dizalimi, diperlakukan sewenang-wenangnya dan berterusan dilanda provokasi mahupun kontroversi.

Kekuatan Islam dan umatnya berada ditahap yang paling lemah saat ini. Kesatuan dan kesepaduan umat Islam perlu diperkukuhkan dan diperkuatkan supaya Islam mampu bangkit dan menyinar kembali sebagai satu umat mahupun kuasa yang disegani dan dihormati dekad ini.

Islam Memimpin Perpaduan.

YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.

ADUN Batu Buruk.

Facebook, YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

https://www.facebook.com/526079594114224/posts/3371030422952446/?d=n

Harakahdaily,

https://harakahdaily.net/index.php/2020/10/24/jangan-hina-nabi-kami/

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...