Gambar : Prof. HAMKA & Prof. Zulkifli Muhammad
PROF. ZULKIFLI MUHAMMAD :
GERAKAN PARANG PANJANG DAN KEKEJAMAN KOMUNIS
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Negeri Perak, negeri kelahiran saya, melahirkan ramai Ulama pejuang kemerdekaan. Antaranya yang masyhur ialah Dr. Burhanuddin al-Helmy, Ustaz Abu Bakar al- Baqir dan Prof. Zulkifli Muhammad.
Prof. Zulkifli Muhammad, ulama kelahiran Kota Lama Kiri tahun 1927 dan berkelulusan dari Universiti Al-Azhar bukanlah tokoh yang calang-calang. Beliau dikenali sebagai seorang ulama yang pintar, berkaliber dan progresif. Rupanya tampan, akhlaknya baik dan senyumannya menarik hati.
Namun beliau terkenal sebagai seorang yang sangat tegas dan bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan agama, bangsa dan tanah airnya. Pada tahun 1960 ketika beliau menjadi Ahli Parlimen, beliau merupakan tokoh yang sangat lantang menempelak kekejaman Israel di Parlimen Persekutuan Tanah Melayu.
Ketika negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, beliau menjawat jawatan Timbalan Yang Dipertua PAS yang mana Yang Dipertua PAS pada ketika itu ialah Dr. Burhanuddin al-Helmy.
Tanpa menafikan jasa-jasa bapa Kemerdekaan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman, pada pendapat peribadi saya, gandingan kedua-dua tokoh ulama ini (Dr. Burhanuddin al-Helmy dan Prof. Zulkifli) paling unggul untuk menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri selepas kemerdekaan.
Di kampung beliau, semasa usia mudanya, Prof. Zulkifli Muhammad pernah menyertai Gerakan Parang Panjang Melayu. Gerakan ini dipimpin oleh beberapa orang yang digelar sebagai Syeikh Parang Panjang (saya percaya mereka adalah golongan ulama berdasarkan gelaran syeikh yang diberikan).
Gerakan Parang Panjang yang diketuai oleh Syeikh-Syeikh Parang Panjang ditubuhkan apabila orang-orang Melayu di sekitar Perak Tengah dan Kuala Kangsar tidak tahan lagi dengan kekejaman yang dilakukan oleh pengganas Komunis.
Sebagai contoh, beratus-ratus orang termasuklah kanak-kanak penduduk Kg. Bekor, Kuala Kangsar telah dibunuh secara kejam oleh pengganas Komunis. Maka setelah tertubuhnya Gerakan Parang Panjang itu, ramai pengganas Komunis berjaya dibunuh dan orang-orang kampung berasa sangat terbela.
Sepanjang penyertaannya dalam Gerakan Parang Panjang, Prof. Zulkifli Muhammad pernah dilantik menjadi Badal (Pengganti) Syeikh Parang Panjang yang mana beliau turut mengajarkan Ilmu Persilatan dan Ilmu Tempur kepada anggota Gerakan Parang Panjang ini.
Saya masih lagi meneruskan kajian tentang sejarah gerakan ulama Tanah Melayu melawan pengganas Komunis. Mohon doakan agar berhasil.
Sempena Hari Kemerdekaan ini, jasa-jasa mereka sangat wajar kita ingati. Semoga kisah-kisah seumpama ini tercatat dalam buku teks suatu hari nanti.
Sumber : Mokhtar Petah
Hasanuddin Yusof ; Maktab Penyelidikan Tamadun Islam Nusantara.
No comments:
Post a Comment