Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Friday, 12 February 2021

Keberkatan ini yang kita hajatkan

Belajar dan mesti sentiasa belajar sehingga ke akhir hayat. Carilah guru mursyid dan berlututlah di hadapannya meskipun sukar. Jauh dekat itu bukan penghalang. Cari jalan, jalan cari alasan. Hari ini, pintu itu sudah semakin tertutup rapat. Usaha selagi sempat.

Bersusah payah dan bermusafir dalam penyerahan diri penuh kepada Allah. Meninggalkan segala hiburan, acara keraian, keluarga dan segala kenduri-kendara. Mengasingkan diri dalam menimba ilmu demi mencari redha Allah.

Sungguh, perjalanan mengenal Allah itu mahal. Mahal lagi apabila dapat sentiasa berbicara dengan Allah dalam rahmatNya. Merasakan kebersamaan dengan Dia pada setiap saat. 

Itulah ketenangan abadi bagi setiap insan. Hanya jiwa yang mengerti akan diam dalam kebahagiaan dalam sukar, dalam ujian. 

Badai ujian datang tanpa henti. Inilah ujian yang wajib ditempuh oleh setiap insan yang beriman. Nikmat mengenal Allah itu tiada bandingan dengan segala isi dunia. 

Inilah adab dan tatacara belajar dengan penuh berakhlak, ketika kita menadah ilmu di hadapn guru. Memuliakannya dan mencintainya, keluarganya dan sesiapa sahaja yang dicintainya.

Berusaha sehabis daya, murid mencari guru kerana murid merasa perlu kepada ilmu dan bimbingan guru kerana ingin Dia. Tidak ada matlamat lain kecuali ingin Dia. Maka tetaplah pada tujuan hingga benar-benar sampai kepada Allah yang Maha Kuasa.

Semakin banyak belajar, semakin merasa tidak tahu. Guru yang hebat sentiasa ada guru mursyidnya yang menasihatinya, menegurnya dan membimbingnya dalam membentuk jiwa dalam ketaatan. 

Kemuncak yang paling tinggi, adalah dirinya sentiasa menerima petunjuk dan bimbingan khusus dari Allah untuknya. Tidak ada pengantara lagi. Maka siapa yang Allah pilih, maka dialah yang paling beruntung.

Inilah ciri-ciri tawaduk seseorang hamba dalam ketaatannya kepada Allah, akhlak sang murid ketika bersimpuh malu di hadapan gurunya yang tercinta yang dimuliakan Allah.

Siapa yang ikhlas dalam berusaha dan tidak pernah putus asa dalam rahmat Allah, sentiasa bersyukur dalam ujian Allah, dialah insan yang mulia akhlaknya di hadapan Allah.

Guruku pernah berpesan,

Sesiapa yang ikhlas dalam perbuatannya dan sentiasa ikhlas berkhidmat untuk umat manusia kerana Allah, maka dia memiliki agama dalam jiwanya, membawa peribadi akhlak Nabi Muhammad s.a.w. dan dia memiliki hati yang paling besar. Mencontohi peribadi dan akhlak Nabi Muhammad s.a.w.

Inilah adab dan akhlak di hadapan guru. Sentiasa merasa rendah hati di hadapan guru, walaupun sudah terbang tinggi jauh demi untuk memenuhi tanggungjawab dan kewajipan. Namun tetap sentiasa ada dalam doa dan dekat di hati.

Kita bukan sesiapa tanpa guru.

Ingat di mana diri berasal, nescaya tidak pernah lupa diri. Ingat bumi yang dipijak. Walau terbang sejauh mana tetap akhirnya suatu hari nanti jasad jatuh tersungkur dan ditanam dalam bumi yang dipijak. Hari kematian itu pasti.

Sedar diri walau setinggi mana Allah meletakkan diri. Tetap merendah hati di hadapan Ilahi. Memuliakan manusia, itulah akhlak tanda kerendahan hati.

Maka beruntung bagi mereka yang diberikan hidayah. Dan merugilah mereka yang lalai dalam leka. Lalai hidup dalam hawa nafsu, diri binasa.

Sesungguhnya ilmu yang diredhai Allah itu mahal. Lebih mahal lagi ilmu yang membawa kita semakin dekat dengan Allah.

Dalam sukar ada kemudahan.

Dalam pengorbanan ada keikhlasan.

Dalam keikhlasan ada keberkatan.

Keberkatan ini yang kita hajatkan. 

Yang membawa kita kepada matlamat utama yakni keredhaanNya dan rahmatNya melalui setiap kurniaanNya. 

Perjalanan menuntut ilmu bagi seorang murid. Inilah kewajipan bagi setiap insan. 

Ketika kita hidup dengan merasakan Allah bersama kita, ketahuilah bahawa tiang utama keTaqwaan tidak lain adalah iman dan ehsan, berserta kejujuran diri kita di hadapan Allah dalam beramal dan keikhlasan hati kita dalam beramal dan berkhidmat kepada sesama manusia. 

Lebih-lebih lagi kepada wali kita, ibu dan ayah, keluarga, guru mulia kita dan umat Rasulullah s.w.t. Tidak ada kemudahan atas setiap kesukaran dan kelelahan itu melainkan semua kekuatan itu datang dari Allah s.w.t.

Beringatlah akan setiap yang dipesan. Kerana akhirnya ilmu itu untuk diamalkan. Bukan untuk dihitung jumlah kitabnya, atau dihafal jumlah skrol ijazahnya. Kerana akhirnya hanya amal dan Taqwa yang akan dibawa di hadapan Allah.

Haseena Syaakira 

Musafir Jalanan

2 Februari 2021

8.44 pagi

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10157729525507761&id=521342760


No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...