"Orang Islam Menyambut Tahun Baharu Cina"
1. Sesetengah ulama membenarkan orang Islam menyambut Tahun Baharu Cina kerana ia adalah perayaan kebudayaan dan bukan agama Buddha. Maka semakin ramai orang Muslim mengucapkan Gong Xi Fa Cai, memakai baju merah dan memberi limau mandarin. Berbeza dengan zaman dahulu orang Islam agak skeptikal dengan Tahun Baharu Cina.
2. Saya ada seorang kawan yang berkahwin dengan seorang gadis Cina dari sebuah wilayah Xi'an di Tanah Besar China. Di wilayah ini terdapat 50 ribu orang masyarakat Cina beragama Islam. Malahan kedatangan Islam di situ lebih awal daripada Tanah Melayu.
3. Kawan saya bercerita semasa cuti Tahun Baru Cina, dia dan isteri balik kampung ke Tanah Besar Cina. Di kawasan masyarakat Cina Muslim tiada langsung sambutan Tahun Baru Cina. Masyarakat Cina Muslim di situ tidak menyambut perayaan ini walaupun mereka berketurunan Cina. Tiada limau Mandarin, letupan mercun papan atau warna merah menghiasi wilayah itu.
4. Masyarakat Cina Muslim di situ menganggap perayaan Tahun Baru Cina adalah khusus untuk mereka yang beragama Buddha sahaja. Sesuatu yang amat ganjil jika orang Cina Muslim menyambut Tahun Baru China. Masyarakat Muslim Cina di situ hanya menyambut perayaan agama Islam sahaja.
5. Selain itu, terdapat kepercayaan dalam perayaan Tahun Baharu Cina yang perlu diperhatikan kerana ia dikaitkan dengan kemakmuran dan tuah. Selain itu, banyak juga pantang larang yang perlu dipatuhi supaya tuah dan rezeki itu tidak lari menghilang. Semua kepercayaan ini tidak selari dengan syariah.
6. Pemberian buah limau mandarin adalah simbolik kepada pemberian tuah. Warna limau keemasan juga bermaksud seperti memberi jongkong emas kepada orang lain. Tema warna merah dipercayai membawa tuah malah kediaman juga dihiasi dengan warna merah untuk menarik tuah.
7. Pakaian berwarna hitam dan putih tidak boleh dipakai kerana ia adalah pakaian berkabung. Sebab itu jarang kelihatan orang memakai baju terutama warna hitam semasa sambutan Tahun Baharu Cina sebab ia melanggar pantang larang.
8. Yee Sang hidangan sinonim Tahun Baru Cina. Semakin tinggi Yee Sang diangkat ketika digaul maka lebih banyak kemakmuran yang dinikmati sepanjang tahun. Menu ini juga simbol penyatuan, kemakmuran dan lambang kemurahan rezeki yang diperoleh sepanjang tahun tersebut.
9. Apabila datang Tahun Baharu Cina pasti kedengaran bunyi kuat mercun papan dibakar di sana-sini. Mercun papan itu dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya Tahun Baharu Cina dan bagi menghalau hantu puaka dan nasib malang.
10. Demikian di antara kepercayaan dalam Tahun Baharu Cina yang mungkin orang Islam jarang mengetahuinya. Walaupun Tahun Baharu Cina bukan perayaan agama namun perayaan ini dipenuhi dengan kepercayaan yang tidak betul dan khurafat menurut perspektif Islam.
11. Jika kita meraikan Tahun Baharu Cina ini maka seolah-olah kita mengiktiraf kepercayaan ini walaupun kita tidak mempercayainya. Apatah kita pula siap berpakaian baju merah, menggaul Yee Sang dan memberi limau mandarin. Amat malang lagi jika ada orang Islam mempercayai kepercayaan itu.
12. Mungkin kita terlupa bahawa orang Melayu semasa dahulu juga mempunyai banyak perayaan atau upacara bersifat budaya seperti pesta memuja pantai, temasya mandi safar, memuja semangat padi, memuja kubur, memuja jin, main teri dan sebagainya.
13. Kini perayaan atau upacara ini sudah tidak diamalkan kerana ia mengandungi kepercayaan khurafat dan bertentangan dengan agama Islam. Ini adalah tindakan yang tepat memelihara akidah orang Islam daripada tergelincir daripada landasan yang sebenar.
14. Dengan itu, saya mempunyai pandangan berbeza tentang sambutan Tahun Baharu Cina. Pada hemat saya, perayaan itu adalah untuk kaum Cina bukan Islam dan itu adalah hak mereka. Namun tidak perlu bagi orang Islam untuk turut sama meraikannya. Maaf, izinkan saya berbeza dalam hal ini.
Dr. Abdél Rahmanov
12 Februari 2021
No comments:
Post a Comment