Gambar : Tarikh Lahir P. Ramlee 22 Mac
MENGENANG TARIKH KELAHIRAN P.RAMLEE.
Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh atau P.Ramlee, dilahirkan di Pulau Pinang pada 22 Mac 1929, P Ramlee mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Melayu Kampung Jawa dan Sekolah Francis Light, kemudian melanjutkan pelajaran ke Penang Free School dan pernah belajar di Japanese Navy Academy ketika zaman Jepun.
Pada 1947, P Ramlee menang tempat pertama pertandingan lagu dianjurkan Radio Pulau Pinang dan tujuh tahun selepas menceburi dunia lakonan di Singapura, dia bergelar pengarah melalui filem Penarek Becha.
Seorang seniman agung seperti P.Ramlee yang hidup dalam dua zaman sebelum dan selepas merdeka sentiasa memikirkan apakah yang dapat disumbangkan olehnya kepada masyarakat yang hidup di zamannya. Adakah masyarakat pada ketika itu memahami dan merasai apa yang cuba disampaikan oleh P.Ramlee dalam karya-karyanya atau mengambilnya sebagai satu bahan hiburan sahaja.
Zaman di mana keadaan sosial dan budayanya masih pada tahap peralihan, seniman seperti P.Ramlee sewajarnya mendapat tempat di hati masyarakat pada ketika itu. Sedikit sebanyak P.Ramlee mampu menyelami lubuk rasa masyarakat dengan dengan suara dan persembahan lakonannya. Dalam masa yang sama P.Ramlee berjaya membina pertumbuhan kepada lapangan seni pada ketika itu.
Hari ini masyarakat khususnya bangsa Melayu menganggap P.Ramlee sebagai peneroka dalam bidang seni untuk beberapa dekad. Kebesaran P.Ramlee adalah kerana dedikasinya dan ilmu seninya yang jujur walaupun beliau tiada kelulusan dalam bidang seni secara formal apa lagi akademi. Tetapi jenama P.Ramlee itu sudah cukup besar untuk menutup segala kekurangan yang ada pada dirinya.
Dalam keadaan masyarakat seperti yang ada di Malaysia dan Singapura di mana golongan kapitalis melakukan pemerasan dan P.Ramlee adalah salah satu yang menjadi mangsa sistem kejam ini. Bakat dan hasil ciptaannya telah diperdagangkan oleh golongan ini yang hanya tahu mengaut keuntungan. Tidak dinafikan sehingga sekarang masih ramai individu yang membina keuntungan atas jenama P.Ramlee tanpa meneroka siapa sebenarnya P.Ramlee. P.Ramlee itu perlu diperhalusi terlebih dahulu pemikirannya bukan sekadar bercerita dan bernostalgia serta mengaku itu dan ini tentang P.Ramlee.
Titipan doa dan Al - Fatihah buat Allahyarham Tan Sri P.Ramlee
#Sinema #Finas #RepairGambarLama #BernamaTV
No comments:
Post a Comment