Arkib : 04 April 2021
Semasa saya muda, mungkin antara 34-35 tahun, saya bersembang dengan seorang ulama di London.
Saya bertanya kepadanya, “Sejauh mana Allah menentukan kehidupan kita manusia?”
Saya bertanya soalan itu kerana ramai dari umat Islam selalu mengatakan, “Saya susah kerana kehendak Allah. Dah di takdirkan.”
Ulama itu memberi jawapan yang amat menarik dan ianya melonjak pemikiran saya dan mengubah cara saya menjalankan kehidupan saya.
Secara ringkas ini jawapannya.
"Bagi manusia meletakkan semua arus-jalan hidupnya sepenuhnya ke atas hadrat Allah Taala semata-mata adalah tidak tepat.
Allah memberikan Adam dan Hawa minda yang boleh di pengaruhi nafsu. Maka, dek kerana nafsu, Nabi Adam dan Hawa di keluarkan dari Syurga dan turunkan ke bumi.
Nabi Muhammad SAW terpaksa berperang melawan musuh. Kalau Allah hendakkan senang, tidak perlu berperang. Kun Fayakoon, Nabi Muhammad menang terus tanpa peperangan.
Nabi Muhammad SAW dihantarkan makhluk untuk dinaiki baginda naik ke langit. Kalau Allah Taala hendakkan Rasullullah naik terus, Kun Fayakoon, tidak payah ada kenderaan makhluk di sediakan.
Bermakna, Allah tidak akan Kun Fayakoon-kan semua perkara, menakdirkan segala aspek kehidupan manusia.
Allah memberi kita akal minda, hawa nafsu dan konsep perhitungan dosa dan pahala dan juga reward & punishment.
Elemen-elemen ini “bergerak” bagaikan suatu mekanisme atau suatu sistem check and balance untuk manusia menjalani hidup mereka.
Adalah terlalu mudah dan juga tidak adil jika kita melepaskan tangan meletakkan segala sebab-musabab kenapa kita susah, kenapa kita gagal ataupun senang dan berjaya semata-mata ke atas takdir Allah. “Dah takdir, nak buat macam mana?”
Ya, sesungguhnya Allah boleh intervene mengubah hidup kita tetapi doa yang di pohon akan hanya di makbulkan jika ada usaha (walaupun begitu saya percaya kalau Allah hendak bagi, akan dimakbulkan doa juga, dan juga tanpa doa, tanpa perlu usaha tetapi itu bonuslah).
Namun, manusia tidak juga boleh mengaut 100% kredit mahupun menyalahkan diri dengan 100% ke atas malapetaka yang berlaku. “Aku kaya sebab aku memang pandai” atau “Aku putus asa kerana semuanya kesalahan aku dan kerana aku”.
Sungguhpun kita berusaha, kita kaya kerana Allah tidak tutup pintu rezeki kita. Allah membenarkan kita kaya.
Ulama itu juga berpendapat bahawa Allah tidak menghad kehidupan manusia melalui usaha tetapi dari tahap IQ manusia itu sendiri. Ada yang di lahirkan cerdik dan ada yang di lahirkan kurang cerdik, ada yang berbakat dan ada yang tidak berbakat. Itu adalah imbangan qada dan qadar. Ada ulama itu jelaskan konsep qada dan qadar tetapi kerana agak kompleks, dia hanya terangkan secara mudah begitu.
Dari perbualan dengan ulama ini, saya mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak pekerjaan saya enam bulan lebih awal (dari jawatan Managing Director, CIMB Hongkong), dengan pakej gaji danelaun kediaman yang boleh di katakan lumayan untuk melanjutkan pelajaran saya ke tingkat Masters.
Saya mencabar diri saya... saya beranikan diri.... saya challange diri saya untuk memasuki universiti Ivy League kerana saya fikirkan ijazah tersebut akan membantu saya dalam kerjaya saya - saya juga, terus-terang, segan dengan kawan-kawan saya yang baru saya kenal di Hong Kong, hampir semua berijazahkan universiti-universiti gagah lagi ternama.
Bukan mudah kerana pada masa yang sama sebelum saya bertolak, kerana krisis kewangan Asia, matawang Ringgit jatuh dengan teruk, berbanding dengan Dolar Amerika. Saya hampir membatalkan rancangan saya walaupun permohonan saya untuk tahun akademik 1998-99 berjaya, alhamdulillah.
Tetapi saya kumpul segala wang simpanan yang ada dan tekad meneruskan pengajian Masters saya kerana saya teringat kepada perbualan saya dengan ulama tersebut.
(Hujung-hujung tahun akademik terpaksa juga kerja di perpustakaan universiti angkat buku sebab pulushhh dah kurang. Hahhaha).
https://www.facebook.com/1053139405/posts/10221578901915892/
No comments:
Post a Comment