Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Wednesday, 30 June 2021

29 JUN 1786 : Sultan Ibrahim Merampas Kembali Selangor Dari Belanda

PERANG BUGIS (SELANGOR) - BELANDA (1784-1786) 


Gambar hiasan dari drama Arka : Raja Haji Fisabilillah menunjukkan Sultan Ibrahim & para ponggawanya sewaktu di Telok Ketapang, Melaka. (Baju besinya tidak tepat).

Perang Selangor-Belanda yang bermula pada tahun 1784 disebabkan oleh kerana terlalu marah kepada Sultan Ibrahim ibni Sultan Salehuddin (Raja Lumu) ibni Daeng Chelak kerana mengepalai angkatan menyerang Belanda di Melaka yang turut dibantu oleh Linggi & Rembau, juga turut disertai oleh Raja Haji Fisabilillah & angkatannya dari Riau. Siri pertempuran ini termasuk dalam siri Perang Bugis - Belanda yang melibatkan Johor Riau & Selangor melawan Belanda (1782-1786). Belanda telah bertindak untuk menyerang Kubu Sultan Ibrahim di Kuala Selangor atau lebih tepatnya terletak di Kota Malewangti (sekarang dipanggil Kota Melawati) selepas seminggu pengunduran Selangor, Linggi, Rembau & Riau dari Melaka di mana Raja Haji Fisabilillah telah syahid di dalam pertempuran tersebut. Sebab lain serangan Belanda dibuat ke atas Selangor adalah untuk menamatkan ancaman ekonomi dan kuasa Selangor yang kian membangun di wilayah Selat Melaka yang sememangnya memberi persaingan kepada Belanda di Melaka.

Tanggal 13 Julai 1784, serangan dari Belanda yang diketuai oleh Laksamana Jacob Peter Van Braam itu bergerak dari Melaka dengan 11 buah kapal perang. Belanda juga mendapat bantuan dari angkatan tentera dari Siak yang diketuai oleh Raja Muhammad Ali yang sememangnya bermusuhan dengan orang-orang Bugis secara tradisi.

Angkatan tentera Belanda membedil Kuala Selangor dengan dahsyat dan memberi tempuran yang sengit kepada tentera-tentera Selangor dari arah Sungai Selangor dan dibalas oleh meriam-meriam askar-askar Sultan Ibrahim di kubu. Angkatan tentera Selangor diketuai oleh panglima perangnya yang bernama Saiyid Jaafar. Perang yang amat hebat antara dua pihak ini berlangsung selama 2 minggu. Angkatan Selangor walaupun masih belum hilang penat & kehilangan banyak senapang, peluru serta senjata bedilan akibat pertempuran di Melaka tetap berjuang berhabis-habisan.

Akhirnya pada 2 Ogos 1784, Belanda berjaya menawan Kuala Selangor dan sekaligus dapat menawan kubu utama orang-orang Selangor iaitu Kota Melawati. Sultan Ibrahim bersama 300 orang tentera dan pengikutnya terpaksa berundur sehingga ke Pahang dan disitu baginda disambut baik oleh Bendahara Abd Majid. Walaupun tewas dan terpaksa berundur, Sultan Ibrahim masih mempunyai cita-cita untuk kembali merampas semula Selangor.

Setelah Belanda berjaya menawan Kota Melawati, mereka menghancurkan kubu di situ dan membina kubu yang baru yang menampakkan ciri-ciri kubu Belanda. Kubu yang baru itu diberi nama Fort Altingsburg (sempena nama Gabenor-Jeneral Belanda) dan Fort Utrecht (sempena nama kapal perang Belanda). 
Selain itu Belanda telah melantik Raja Muhammad Ali Siak sebagai 'sultan' Selangor yang baru. Tak lama kemudian Raja Muhammad Ali telah pulang ke Siak dan tempatnya diambil oleh anak saudaranya yang bernama Saiyid Ali yang mengiktiraf dirinya sendiri sebagai 'sultan'.

Rakyat-rakyat Selangor tak iktiraf beliau sebagai raja mereka kerana atas jati diri yang kuat sebagai orang Bugis dan penerimaan daulat Sultan Ibrahim sebagai wangsa Bugis sebagai waris yang sah. Belanda cuba memujuk sekalian rakyat Selangor untuk menerima raja dari Siak itu namun gagal sekaligus menunjukkan penolakan unsur kepimpinan yang non-Bugis dan menunjukkan sikap anti-Belanda.

Sementara itu di Pahang, Sultan Ibrahim telah mengatur strategi selama setahun untuk kembali merampas Kota Malawati dari tangan Belanda. Bendahara Abd Majid telah menyediakan dan memberi sumbangan kelengkapan untuk berperang. Maka pada tahun 1785, Sultan Ibrahim bersama orang-orang Pahang seramai 2000 orang bertolak dari Pahang menuju ke Bukit Malawati untuk membuat serangan. Di tengah perjalanan, Sultan Ibrahim telah singgah di Permatang dan berjumpa dengan Punggawa Permatang dan panglima-panglima Bugisnya untuk mendapatkan bantuan supaya tentera-tenteranya lebih kukuh untuk melawan Belanda.

Pada 27 Jun 1785, serangan telah dilancarkan di Bukit Malawati pada waktu malam dengan secara mengejut. Sultan Ibrahim yang sememangnya dikenali sebagai seorang yang agresif bersesuaian dengan jati diri anak Bugis telah melawan habis-habisan pada malam itu. Keris, lembing, tombak serta pemuras dan istinggar digunakan sebaik mungkin untuk menewaskan orang-orang Belanda. Serangan kilat ini berlaku secara pantas dan mengakibatkan kejatuhan moral tentera Belanda hingga akhirnya tentera-tentera Belanda telah banyak mati maka segera berundur dan melarikan diri dengan menaiki kapal pulang ke Melaka. Sultan Ibrahim kembali bertakhta setelah setahun meninggalkan Selangor. Kejadian ini berlaku dalam masa beberapa jam sahaja. Setelah kembali berkuasa, Sultan Ibrahim mengarahkan untuk memperkukuhkan lagi pertahanan Kota Melawati sambil mengerahkan tentera-tentera untuk berjaga di kawasan mengadap laut. Orang-orang Bugis dari Linggi, Rembau, Langat, Klang dan lain-lain telah diarahkan untuk memperkuatkan pertahanan.

Laksamana Jacob Peter Van Braam tidak menyangka kejadian ini dan susulan dari itu, sekali lagi Laksamana Jacob Peter Van Braam pergi ke Kuala Selangor dengan angkatan yang lebih besar iaitu sebanyak 17 buah kapal perang. Sebagai langkah berjaga-jaga kali ini tiada serangan dibuat hanya pengepungan dilakukan. Pengepungan di sekeliling Sungai Selangor ini dilancarkan pada Julai 1785. Maka beras dan lain-lain barang keperluan di Selangor telah naik harga dek kerana pengepungan tersebut. Ini telah mendatangkan kesusahan kepada rakyat-rakyat Selangor.

Setelah selama setahun Kuala Selangor dikepung maka pada 29 Jun 1786, Sultan Ibrahim dengan Belanda telah berdamai apabila beberapa faktor diambil kira dengan menandatangani sebuah perjanjian.

Antara syarat-syarat perjanjian ialah :-

  1. Selangor akan jual hasil timah kepada Belanda.
  2. Sultan Ibrahim mengakui kuasa Belanda di Selat Melaka.
  3. Belanda iktiraf Sultan Ibrahim sebagai Raja Pemerintah Selangor.

Sultan Ibrahim menandatangani perjanjian ini atas persetujuan bersama pembesar semua memandangkan ia bukan perjanjian berat sebelah, kerana Belanda juga tidak mahu perang ini berlanjutan kerana telah menghabiskan banyak belanja. Setelah ditandatangani perjanjian ini, termeterai zaman aman antara Selangor dan Belanda. Sultan Ibrahim kekal sebagai pemerintah Selangor yang paling disegani berkat keberanian dan ketangkasannya yang memerintah selama 40 tahun (1782-1826). Beliau amat disayangi oleh sekalian warga Selangor.

https://www.facebook.com/wijaogiselangor/photos/a.382549815445759/403652080002199/?type=3

Hari ini dalam sejarah 27 Jun 1785. (Sultan Ibrahim Merampas kembali Selangor dari Belanda).

DYMM Sultan Selangor, Sultan Ibrahim Shah ibni Almarhum Sultan Salehuddin Shah, berjaya merampas Selangor daripada Belanda.

Selangor mulai dikuasai oleh Belanda pada Ogos 1784 akibat berpunca dari kekalahan Sultan Selangor yang ketika itu kekurangan bala tentera untuk mempertahankan daerah berkenaaan kerana kebanyakan tentera telah disalurkan untuk membantu Raja Haji dalam peperangan mengusir penceroboh Belanda dari Empayar Johor - Riau.

Sultan Ibrahim tidak mudah berputus asa untuk menawan kembali Selangor dari Belanda semula. Dengan bantuan Bendahara Abdul Majid dari Pahang, baginda telah menyusun strategi untuk melancarkan serangan untuk menawan kembali Selangor dari angkatan tentera Belanda.

Akhirnya baginda berjaya dalam usaha berkenaan dan telah berjaya merampas kembali Selangor dengan menewaskan Belanda dan mengusir angkatan tenteranya keluar dari Selangor. Dengan kejayaan ini ,maka berakhirlah pengaruh Belanda di Selangor dan Sultan Ibrahim berkuasa semula di Selangor.

Sumber : Arkib Negara Malaysia.

Oleh : Abd Halim Sejarawan.

Ikuti / Suka The Sejarah untuk pembelajaran sejarah dalam negara mahupun diluar negara di platform Facebook anda di mana-mana sahaja anda berada.

https://www.facebook.com/groups/168096826919034/permalink/1326644317730940/

27 Jun 1785 – Pada tahun 1785, Sultan Selangor, Sultan Ibrahim telah berjaya merampas semula negeri Selangor dari Belanda. Kejayaan baginda ini dicapai dengan mendapat bantuan bala tentera Bendahara Abdul Majid dari Pahang dan Raja Haji yang berkuasa di Empayar Johor Riau iaitu bapa saudara kepada Sultan Ibrahim.

Selangor mula dikuasai oleh Belanda pada bulan Ogos 1784. Kekalahan Sultan Selangor berpunca dari kekurangan bala tentera kerana tentera baginda telah ditugaskan membantu Raja Haji dalam peperangan mengusir penceroboh-penceroboh Belanda dari Empayar Johor – Riau. Pencerobohan Belanda di Empayar Johor – Riau telah melanggar perjanjian persahabatan di antara Raja Haji dengan pihak Belanda. Sebagai membalas tindakan Belanda, Raja Haji telah membatalkan perjanjian tersebut dan membantu Sultan Selangor memerangi penempatan-penempatan Belanda di Melaka.

Dalam peperangan ini Belanda mengalami banyak kekalahan dan terpaksa menghadapi kesulitan mendapatkan bekalan makanan. Walaubagaimanapun peperangan ini terpaksa dihentikan kerana kematian Raja Haji dan beberapa orang pahlawan Bugis yang lain pada 18 Jun 1784.

Sungguhpun demikian Sultan Ibrahim tidak berputus asa untuk mendapatkan semula Selangor dari tangan Belanda. Dengan bantuan Bendahara Pahang baginda telah menyusun semula segala bala tentera untuk menentang Belanda. Sultan Ibrahim dan Bendahara Abdul Majid akhirnya berjaya mengalahkan dan mengusir Belanda dari Selangor. Dengan kejayaan ini maka tamatlah pengaruh Belanda di Selangor dan Sultan Ibrahim berkuasa semula.

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...