Panji Perang Musuh Bisik
Dato Wan Muhammad Ali : Laksamana Perang Tak Di Dendang
Pada 24 Mac 1838, Tunku Muhammad Saad pula melancarkan penentangan terhadap pentadbiran Siam di Kedah. Tunku Muhammad Saad telah dibantu Tunku Muhammad Taib dan Tunku Muhammad Akib dari Setul, Syed Hussein dan Wan Muhammad Arsyad dari Kayang, Tunku Abdullah, Tunku Sulaiman, Syeikh Abdul Samad Falembani, Tok Mo Ris dari Kubur Panjang, Pendang, Dato Syahbandar Wan Daud dari Pulai, Baling dan Dato Madi dari Bandar Baru Kedah begitu juga Panglima Bukit Gantang (Perak) menghantar 100 orang pahlawan dan 5 buah perahu.
Dari kejauhan datanglah oleh Dato Wan Muhammad Ali atau dikenali sebagai Wan Mali dari Langkawi. Beliau merupakan anak kepada Dato Pekermajaya yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Mahsuri. Nama Wan Mali muncul sejak tahun 1825 di mana beliau merupakan utusan Sultan Ahmad Tajuddin ke Tavoy bersama-sama Che Lanang malah dikatakan pernah sampai ke Changgung (Yangoon) bagi memohon bantuan dari Burma untuk melawan Siam.
Dato Wan Muhammad Ali adalah seorang pelayar yang hebat dan pelaut yang mahir. Malah beliau sangat handal di dalam membaca pergerakan angin ketika berada di laut. Beliau juga sangat mahir dengan keadaan muka bumi Langkawi yang menyebabkan askar Siam terpaksa berhempas pulas mengepung Langkawi selama 6 bulan. Pengepungan di laut juga di buat agar berita Langkawi sudah di bakar tidak sampai kepada orang Melayu di tanah besar.
Dato Wan Muhammad Ali turut terlibat di dalam misi Tunku Kudin pada tahun 1831 tetapi beliau tidak begitu menonjol kerana angkatan laut Kedah di bawah kuasa bapanya. Kekalahan pasukan Kedah pada tahun 1832 tidak melemahkan semangat para pahlawan Kedah untuk terus berjuang. Sultan telah mengutus surat ke seluruh negeri Melayu memohon bantuan tentera dan di sambut hampir ke semua negeri Melayu termasuklah Acheh, Palembang, Sulu dan Brunei. Semuanya membawa semangat jihad fisabillilah!. Pada tahun 1837 Dato Wan Muhammad Ali diberikan kepercayaan untuk memimpin angkatan laut Kedah selepas kemangkatan ayahnya.
Osborn (pada ketika itu menjadi leftenan Kapal Hyacinth) melaporkan bahawa sebuah armada yang mengandungi 40 buah perahu bersama 2000 orang pejuang ini belayar di bawah panji Sultan Kedah dan di pimpin oleh Tunku Mohamad Saad. Pasukan ini telah dilengkapkan dengan senjata api dan berkumpul di pesisir pantai Batu Putih tidak jauh dari Acheh. Pasukan Dato Wan Muhammad Ali yang diapit oleh Dato Kabu Yahya (sayap kanan) dan Dato Lanang Pati (sayap kiri) datang dari Langkawi dan bergabung dengan pasukan Tunku Muhammad Taib seramai 800 orang berjaya menghalau tentera Siam yang berkubu di Sungai Merbok. Bersamanya di bawa panji perang Langkawi yang tertera kalimah doa dan ayat Quran. Di bibir mereka tidak putus menyebut La Ilaha illalah secara berjemaah. Pasukan ini kemudiannya mara sehingga Tunjang (Jitra) dari arah laut.
Melihatkan kejayaan ini, Gabenor Pulau Pinang yang baru iaitu S.G Bonham telah menghantar kapal Hai Seng, Hyacinth, Emerald dan Pearl bagi menghalang bantuan dari Langkawi serta tentera Kedah dari Langkawi yang ingin mendarat di Sungai Pochan namun usaha itu tidak berhasil apabila pasukan Kedah berjaya merampas semula Kota Kuala Kedah dari tangan Siam. Seramai 300 orang tentera Siam ditawan dan semua mereka ditikam dengan keris hingga mati atas arahan Tunku Muhammad Taib. Mayat mereka kemudiannya dibiarkan bergelimpangan sepanjang laluan ke Kota Kuala Kedah. Pasukan ini pula seterusnya berjaya mengalahkan angkatan tentera Siam di Alur Ganu. Seterusnya pada 3 Ogos 1838 para pejuang Kedah telah melakukan perjuangan dengan lebih agresif. Pasukan ini bergabung dengan pasukan dari Langkawi dipimpin oleh Dato Wan Muhammad Ali dan telah berjaya menawan semula Perlis, Satun dan Trang.
Pada 16 Mac 1839 sudah kelihatan bendera Siam melambai-lambai di Sungai Jerlun. Pasukan Dato Wan Muhammad Ali telah pun ditewaskan di Perlis setelah kehabisan peluru dan serbuk. Seramai 15,000 tentera Siam berkubu di Alor Ganu dan 10,000 dari tentera ini dilengkapi dengan Senapang Tower Flintlock yang dibeli dari Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI).
Tentera Siam seramai 4000 orang ini kemudiannya menyerang tentera Kedah yang berkubu di Kota Kuala Kedah dengan membedil kubu tersebut dan dibalas pula oleh meriam 18 pound milik tentera Kedah. Tunku Abdullah, Syed Hussein dan 3000 pahlawan Kedah tidak mampu bertahan lalu mengundurkan diri ke Perlis. Sementara itu Kapal Hyacinth pula mengepung kuala sungai supaya dapat menangkap tentera Kedah yang lari melalui sungai.
Dato Wan Muhammad Ali dan pasukannya pula meninggalkan Trang dan menuju ke Langkawi namun dikejar pula oleh Kapal Hyacinth yang mendapat arahan untuk naik ke Setul. Pasukan Dato Wan Muhammad Ali terus dikejar sehingga Kampung Ulu Melaka dan akhirnya menyerahkan diri kepada Kapten Warren dan semua perahu dan meriam milik pasukan Langkawi dimusnahkan. Walaupun begitu Dato Wan Muhammad Ali dan beberapa pengikutnya kemudiannya melarikan diri ke Sumatera bersama 2 buah perahu dan meriam 9 pound.
Tamatlah kisah Dato Wan Muhammad Ali, Laksamana Perang Musuh Bisik. Wira yang jarang di dendang namun terkenal dalam kisah masyarakat Langkawi. Jasanya tak terbalas namun mati tidak berkubur. Semoga Allah merahmati beliau selama-lamanya. Gugurlah bunga bangsa walaupun jasadnya tiada tapi nama tetap harum abadi.
Bissiril al fatihah!
Dipetik dan diubah suai dari buku saya Gajah Putih Di Bumi Geroda: Perang Melayu Siam 1767-1842.
MHR
#Kedah1821 #RimauTerkam #PerangKedahSiam #PerangMusuhBisik #HaulMusuhBisik
*Panji ini kini tersimpan di Muzium Negeri Kedah
Pautan artikel lain yang berkaitan :-
No comments:
Post a Comment