Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Monday 7 February 2022

Zaman Kegemilangan Andalusia

#PNS Arkib : 10 Disember 2021

Kenali 4 Cendekiawan Islam Dari Zaman Kegemilangan Andalusia

Era Kegemilangan Islam Tercapai Ketika Zaman Kerajaan Islam Di Andalusia

SEMPENA ketibaan Maal Hijrah 1443H, kami ceritakan antara ilmuwan Islam yang pemikiran mereka masih diguna pakai sehingga ke zaman sekarang.

Semasa zaman kegemilangan Kerajaan Islam di Andalusia, ramai cendekiawan yang lahir di dalam pelbagai bidang termasuk sains, matematik, kesusasteraan, geografi, sejarah, falsafah, perubatan dan banyak lagi.

Kerana galakan yang diberikan oleh pemerintah ketika itu maka lahirlah anak-­anak tempatan dari bumi Sepanyol yang mahir di dalam pelbagai bidang yang meninggalkan kesan dalam perkembangan pelbagai cabang ilmu.

Ada banyak nama cendekiawan Islam yang tercatat dalam sejarah. Antaranya ialah empat tokoh ini.

1. Abu Bakr Muhammad – Ibnu Thufail

Dilahirkan di Asya, Granada, Ibnu Thufail menguasai kepakaran di dalam bidang falsafah, perubatan, politik dan penulis novel yang hebat.

Kalau berbicara tentang ahli falsafah terhebat dunia, selalu yang disebut hanya tokoh Yunani seperti Plato dan Aristotles. Pengajian psikologi di universiti kebanyakannya mengambil pemikiran dua tokoh Yunani itu. Jarang yang membincangkan tentang kehebatan ahli falsafah Islam seperti Ibnu Thufail.

Zaman kegemilangan kerajaan Islam sebenarnya telah banyak melahirkan ahli falsafah ternama tapi dipandang remeh dalam sejarah pemikiran manusia.

Dalam banyak perkara, Ibnu Thufail lebih dikenali sebagai ahli politik yang handal dan pernah berkhidmat sebagai gabenor di Sabtah dan Tonjah, Maghribi.

Beliau juga pernah menjadi doktor peribadi kepada Abu Yakub Yusuf, pemerintah di zaman Dinasti al­Muwahidin. Selain kehebatannya di dalam bidang perubatan dan kepetahannya berpolitik, beliau juga seorang penulis yang pintar. Banyak menggunakan falsafah di dalam tulisannya.

Di dalam novel terkenalnya Hayy ibn Yaqzan, gaya bahasanya cukup indah membuai jiwa yang membacanya. Menyelitkan falsafah yang mendalam dan tinggi pengertiannya selain bijak menggunakan imaginasi yang indah untuk menyampaikan mesej.

Ibn Tufayl's Hayy Ibn Yaqzan : A Philosophical Tale

Hingga ke hari ini karyanya masih terus dibaca dan telah diterjemahkan di dalam banyak bahasa dunia untuk tatapan umum. Walaupun novelnya sudah berusia lebih 900 tahun namun ia tetap menghiburkan dan masih terus dicari untuk mendalami falsafahnya.

2. Abu Abadallah Muhammad Al-Idrisi (1099-1166)

Seorang ahli geografi yang terkenal kurun ke­ 12 hingga ke hari ini. Hasil kajiannya menjadi asas kepada penemuan baru.

Menariknya tentang Al­-Idrisi, kegigihannya menghasilkan buku nuzhah al Musytaq fi Istiraq al Afaq (kenikmatan pada keinginan untuk menjelajah iklim) atau di dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai Roger’s Book.

Ia merupakan sebuah ensiklopedia geografi yang mengandungi maklumat lengkap tentang peta dunia dan segala maklumat tentang negara di seluruh dunia.

Betapa bijaknya Al­-Idrisi ketika itu, tanpa satelit dan bantuan komputer, beliau mampu mencipta glob perak seberat 400 paun untuk Raja Roger 11, Sicily.

Glob Perak Al-Idrisi

Di dalam glob itu lengkap dengan negara­-negara di dunia, laluan perdagangan, teluk, lautan, tasik, sungai, bandar-­bandar besar, bukit, lembah, hutan, gunung­ ganang dan juga pembahagian dunia kepada tujuh iklim. Setiap jarak dan ketinggian sesuatu tempat dapat diukur oleh Al-­Idrisi dengan tepat.

Al­-Idrisi amat gemar mengembara dan dari pengalaman itulah dia mencipta petanya. Sama seperti Marco Polo, Al­-Idrisi juga mencatatkan setiap yang dilihatnya sewaktu mengembara untuk tatapan generasi sekarang. Malah, Al-­Idrisi jauh lebih ke depan kerana mencatatkan setiap tumbuhan yang ditemui serta kegunaannya di dalam perubatan dan dikaitkan dengan penyelidikan sains.

Kecerdikan Al-­Idrisi memang tidak ada tandingannya apabila beliau boleh menerangkan tentang budaya, perihal masyarakat, kerajaan dan cuaca-­cuaca setiap negara yang terdapat pada petanya.

Selama beberapa abad, peta hasil rekaannya digunakan secara meluas oleh orang Eropah dan seluruh dunia. Dengan peta yang sama atau peta Al-­Idrisi, Christopher Columbus dan Vasco Da Gama mengelilingi dunia melalui jalan laut.

Tidak kurang juga yang menggunakan peta Al-­Idrisi untuk jalan yang tidak baik. Misalnya, Barbary Corsaira yang juga dikenali sebagai Ottoman Corsairs atau Babary Pirates, yang terkenal sebagai lanun Muslim, lanun terkenal di sekitar kurun ke 11 hingga ke 19 menggunakan laluan peta Al­-Idrisi untuk misinya.

Sehingga hari ini peta Al-­Idrisi masih lagi digunakan di seluruh dunia.

3. Abu Bakr Muhammad Ibn Yahya al-Saigh – Ibnu Bajjah (1082-1138)

Ibnu Bajjah seorang yang hafiz al­-Quran dan merupakan doktor perubatan yang hebat pernah dilahirkan oleh kerajaan Islam Andalusia. Kepakarannya di dalam sains, matematik, astronomi, falsafah, sastera, ahli bahasa dan pemuzik.

Walaupun kehebatannya terserlah di dalam bidang perubatan, namun beliau juga seorang yang pintar berpolitik. Pernah dilantik menjadi menteri semasa Abu Bakr Ibrahim berkuasa di Saragossa. Selain itu beliau juga ahli muzik dan pemain gambus yang handal.

Masyarakat Barat mengenalinya dengan nama Avermpace. Kebijaksanaannya melampau zaman dan boleh menguasai pelbagai bidang ilmu dari sains hingga ke sastera.

Ibnu Bajjah meletakkan ilmu di tempat paling atas mengatasi segala-­galanya. Menerusi ilmu dan akal manusia boleh mengenali segala kewujudan benda mahupun Tuhan.

Kerana pemikirannya yang berbeza dengan masyarakat Granada ketika itu telah menyebabkan dia ditangkap dan dituduh murtad lantaran menyebarkan bidaah.

Memang jelas pemikirannya melampaui jangkauan zaman ketika itu. Misalnya beliau menggunakan ungkapan manusia sebagai makhluk sosial sebelum para sarjana Barat menggunakannya.

Kejadian itu menjadi titik tolak Ibnu Bajjah berpindah ke Fez di Morocco. Di sana beliau mendapat pengiktirafan dan disanjung tinggi masyarakat hingga dilantik menjadi menteri.

Sanjungan yang diterima telah menimbulkan perasaan iri hati dari banyak pihak. Sudah suratan hidupnya, beliau meninggal dunia akibat diracun oleh seorang doktor bernama Abu al­ Ala Ibnu Zuhri pada bulan Ramadhan 533 hijrah atau 1123 Masihi.

Walaupun sudah lama meninggal, sumbangannya masih lagi dikenang dan karyanya telah diterjemahkan ke dalam banyak bahasa. Antara karyanya yang paling hebat ialah Risalah al­ Wida yang menceritakan tentang ketuhanan, kewujudan manusia, alam dan bidang perubatan.

Kemudian di dalam risalah Tadbir al-Mutawahhid, adalah pandangan beliau tentang bidang politik dan falsafah. Beliau lebih menekankan kehidupan individu dalam masyarakat yang dikenali sebagai Mutawahhid. Karyanya itu telah diterjemahkan di dalam bahasa Sepanyol.

Selain itu, kitab yang paling terkenal, an ­Nafs (Jiwa) pula menerangkan persoalan berkaitan dengan jiwa yang banyak dipengaruhi oleh falsafah Aristotle, Galenos, Al­ Farabi dan Ar­ Razi.

Ibn Bajjah's "Ilm-Al-Nafs"

Sebenarnya banyak lagi karya Ibnu Bajjah yang tidak diketahui kerana karyanya banyak dimusnahkan dan yang tinggal hanya sebahagian kecil dokumen yang masih tersimpan di perpustakaan Berlin dan Bodlein.

Walaupun yang tinggal hanya sedikit, namun ia telah memberikan asas yang kukuh pada perkembangan ilmu di dunia Islam dan Barat.

4. Abu Walid Muhammad Ibnu Ahmad – Ibnu Rusyd (1126-1198)

Ibnu Rusyd banyak menghabiskan masanya sebagai hakim dan pernah dilantik menjadi hakim di Sevilla dan Cordova. Beliau meninggalkan bidang kehakiman setelah dilantik menjadi doktor diraja oleh kerajaan Andalusia pada tahun 1182.

Pelantikannya menyebabkan ramai yang iri hati. Ditambah pula dengan caranya berfikir, kebijaksanaannya dan idea­-ideanya yang bernas menjangkau zaman, menyebabkan dia dikatakan sebagai orang Yahudi.

Atas desakan dan tekanan pihak tertentu, beliau telah dilucutkan jawatan dan di buang daerah ke Alaisano.

Banyak karyanya yang telah dimusnahkan kerana ideanya yang tidak boleh diterima oleh ilmuwan ketika itu.

Selepas tamat tempoh buangan, beliau kembali semula ke Cardova. Namun kehadirannya tidak dialu-alukan. Malah, masyarakat menyisihkannya. Pelbagai penghinaan dilemparkan kepadanya. Bagi Al-Rusyd, semua itu tidak pernah menutup pintu hatinya dari terus menghasilkan karya yang bermanfaat kepada manusia hari ini.

Setelah sekian lama, barulah Khalifah Al­-Mansor Al­-Muwahhidi menyedari kesilapannya dan mengembalikan penghormatan dan pengiktirafan kepada Al-­Rusyd. Namun, semuanya sudah terlambat kerana Al-­Rusyd meninggal dunia sebelum sempat menikmati semua itu.

Beliau pergi tanpa meninggalkan sebarang harta kecuali tulisannya. Antaranya Al-Kulliyat Fi L-Tibb, Mabadil Falsafah, Tafsir Urjuza, Taslul, Kasyful Adillah, Tahafatul Falaisafat dan Muwafaqatil hikmah Wal SyariĆ­a. Kebanyakan bukunya menyentuh hal perubatan, falsafah, agama dan tauhid.

Kitab Al-Kulliyyat Fi L-Tibb

Karyanya yang paling agung dan masih digunakan sebagai rujukan utama di universiti Eropah ialah Kulliyah fith ­Thibb (encyclopaedia of Medicine) yang terdiri dari 16 jilid.

Di dalam bidng perubatan, beliau banyak memberi penekanan di dalam hal penjagaan kesihatan, pembedahan dan fungsi organ.

Al-Rusyd adalah orang pertama yang mengeluarkan pendapat bahawa demam campak hanya akan dialami oleh setiap orang sekali sahaja, sehingga hari ini fakta itu terus diguna pakai.

Hospital Les Quinze ­Vingt merupakan hospital pertama yang dibina di Paris oleh Raja Louis IX, meniru bulat-­bulat hospital Sultan Nuruddin di Damsyik. Kaedah perubatan yang digunakan di dalam hospital itu juga datangnya dari idea Ibnu Rusyd.

Doktrin Ibnu Rusyd juga banyak mempengaruhi pemikiran Voltaire Jean Jaques Rousseau dan Maimonides yang mencetuskan era pembaharuan atau revolusi kepada benua Eropah. Sesungguhnya dunia banyak terhutang budi kepada Ibnu Rusyd kerana pemikirannya.

Sumber : mastika.online

#PeristiwaNSejarah

https://www.facebook.com/groups/539960930554145/permalink/585169769366594/ 

Info Tambahan :-

Ini adalah kaca mata pertama dalam sejarah Kota Andalusia hasil dari rekaan Ulama Andalusia iaitu Abbas ibnu Firnas. Yang uniknya di sini ia tersimpan dalam Muzium British dalam Halaman Ilmu Kaca mata di bawah tajuk Khazanah Bumi Andalusia

Wallahu a'lam

Kredit : Che Pai

https://www.facebook.com/groups/539960930554145/permalink/638962170654020/

Pautan artikel lain yang berkaitan di sini :-

Penakluk Andalusia

https://normanhafizi.blogspot.com/2022/02/penakluk-andalusia.html

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...