Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Sunday 22 May 2022

Peristiwa Raya dan Puasa Awal

KUALA DALAM KENANGAN (SIRI 9) – RAYA AWAL 1982 & PUASA AWAL 1983

Pada 1982, aku baru berada di Darjah 1 di Sekolah Rendah Clifford. Aku tidak mengingati banyak perkara mengenai puasa dan Hari Raya di usia itu. Aku sendiri tidak ingat sama ada aku sudah mula berpuasa. Namun pada tahun itu, berlaku satu peristiwa penting dalam sejarah Hari Raya apabila negeri Perak menyambut raya sehari lebih awal berbanding negeri lain iaitu pada tanggal 22 Julai 1982.

Banyak tulisan yang aku jumpa meletakkan tahun 1983 sebagai berlakunya peristiwa tersebut. Namun ia sebenarnya berlaku pada 1982. Ada juga yang menulis Johor juga beraya awal pada tahun 1982 bersama-sama Perak. Namun Johor tidak terlibat dalam raya awal 1982 dan hanya terlibat dalam puasa awal bersama-sama Perak pada 1983. 

Kedua-dua akhbar Utusan dan Berita meletakkan kekecohan raya awal di Perak sebagai tajuk utama muka hadapan pada tanggal 23 Julai 1982.  Laporan Utusan ditulis sendiri oleh Hashim P. Mamat, anak Kuala Kangsar yang banyak menulis berita-berita mengenai Kuala Kangsar di Utusan pada era 1980-an. Ia juga menyertakan satu gambar sisipan yang penting iaitu imej penduduk Hutan Melintang (mukim Bagan Datok) keluar meninggalkan masjid selepas sembahyang raya pagi itu (ada lagi ke masjid klasik ni?). 

Apa yang berlaku sebenarnya mempunyai susur galur yang panjang. Dalam buku bekas Ketua Hakim Negara, Tun Suffian Hashim (1976), beliau menyatakan bahawa selepas zaman perang, raja-raja mengetahui tentang kesulitan berhari raya pada hari yang berbeza antara negeri-negeri Tanah Melayu. Majlis Raja-Raja kemudiannya bersetuju membenarkan Yang di-Pertuan Agong menentukan perkara itu bagi pihak raja-raja. Namun perlembagaan membenarkan sultan-sultan memutuskan sendiri sama ada hendak atau enggan menyerahkan perkara-perkara itu ditentukan YDPA. Ini sejajar dengan hak hal ehwal agama Islam yang dimiliki sepenuhnya oleh sultan-sultan. 

Pada hari melihat anak bulan, pegawai-pegawai agama tidak melihat anak bulan Syawal dari Tanjung Kepah, Lumut pada 21 Julai. Tapi sebilangan penduduk kawasan itu mendakwa mereka melihat anak bulan yang samar-samar. Perkara tersebut dimaklumkan kepada Jabatan Agama Negeri Perak yang segera memaklumkannya kepada Sultan Idris. Baginda kemudiannya mendapatkan pandangan dari alim ulama negeri yang mengadapnya selepas itu. 

Titah kemudiannya dikeluarkan agar semua Pegawai Daerah, Penghulu dan Ketua Kampung memberitahu orang ramai bahawa Hari Raya akan jatuh pada Khamis, 22 Julai. Perisytiharan tersebut dibuat pada pukul 11 malam iaitu kira-kira 30 minit selepas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengumumkan ke seluruh negara bahawa anak bulan Syawal tidak kelihatan dan Hari Raya akan disambut pada Jumaat. 

Di Kuala Kangsar, siren (yang merupakan keunikan penting sewaktu masuk waktu berbuka puasa di bandar ini) dibunyikan dari Ibu Pejabat Polis Daerah untuk memaklumkan perkhabaran itu. Masjid Ubudiah menerusi bilalnya, Encik Abdullah Ali menyebarkan pengumuman sebanyak dua kali. Masjid dan surau-surau lain juga melakukan perkara yang sama menerusi pembesar suara dan beduk. Tidak ketinggalan ialah Jabatan Penerangan, Tentera dan balai Bomba yang membunyikan semboyan masing-masing. Kereta-kereta polis juga memasuki kampung untuk memaklumkan khabar itu. Kegemparan dan kekecohan dirasakan di mana-mana. Pejabat Berita Harian di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dihujani panggilan telefon dari penduduk Perak untuk megesahkan khabar. 

Dan pada keesokannya, sambutan Hari Raya di hampir seluruh tempat di Perak adalah muram dan sepi. Ada yang meneruskan puasa kerana tidak mengetahui perintah tersebut. Ada yang menerima berita selepas pukul 12 malam dan awal pagi dan dengan itu tidak mempunyai masa untuk membuat persiapan juadah. Ada juga yang berhati-hati untuk meraikan raya untuk tidak menyinggung perasaan mereka yang masih berpuasa. Turut melucukan, ada yang tidak dapat membuat keputusan kerana rumahnya terletak betul-betul di garis sempadan Perak dan Pulau Pinang.

Suasana di masjid Hutan Melintang contohnya tidak meriah kerana ramai tidak datang ke masjid dan meneruskan puasa. Sembahyang sunat tidak diadakan di Sitiawan dan mereka yang datang ke masjid terkejut kerana tidak ada umat Islam yang datang. Mereka terpaksa bersembahyang di Masjid Lumut. Suasana yang sama juga kelihatan di beberapa daerah lain. Beratus pegawai kerajaan datang ke pejabat tetapi mendapati pejabat terkunci. 

Bagaimana pun, seramai 1,000 orang bersembahyang di Masjid Negeri Perak di Ipoh. Kehadiran mereka adalah secara beransur-ansur setelah menerima perkhabaran pada sebelah pagi. Sultan Idris sendiri menunaikan sembahyang di Masjid Ubudiah bersama kerabat, kepimpinan negeri serta 600 orang jemaah lain. 

Utusan turut melaporkan di beberapa tempat di negeri lain, raya awal turut berlangsung. Di Kampung Terentang, Jasin, 100 orang menunaikan sembahyang raya di masjid pada hari Khamis. Di Besut pula, 40 orang telah mengadakan sembahyang di masjid Kampung Tok Dor. Tidak dijelaskan bagaimana perkara ini boleh berlaku. 

Bertolak dari kontroversi tersebut, Sultan Idris kemudiannya membuat satu kertas kerja dan dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 13-14 Oktober 1982. Kertas yang sama juga telah diedarkan pada Jawatankuasa Fatwa yang bermesyuarat 10 hari sebelum itu. Kerana tidak ada sebarang pindaan atau teguran dari kedua-dua pihak, maka Almarhum beranggapan yang kertas kerja itu menerima persetujuan. 

Dan Sultan Idris kemudiannya sekali lagi mengambil keputusan berasingan dengan mengisytiharkan hari pertama puasa di Perak bagi tahun 1983 jatuh pada 12 Jun dan bukannya 13 Jun seperti negeri-negeri lain. Kali ini, Johor yang ketika itu di bawah pemerintahan Almarhum Sultan Iskandar juga mengambil ketetapan yang sama iaitu berpuasa sehari lebih awal berdasarkan kiraan falak. Ia menyebabkan tercetusnya perang mulut yang lebih tegang antara kedua-dua Sultan dan juga pihak birokrat agama persekutuan. Kedua-dua negeri bagaimana pun merayakan hari raya puasa 1983 serentak bersama negeri-negeri lain. 

Al-Fatihah untuk Almarhum Sultan Idris dan juga Almarhum Sultan Iskandar

Kredit dan Adaptasi Daripada: Utusan Malaysia & Berita Harian sekitar Julai 1982 dan Jun 1983

--------------------------------------------------------

SIRI LEPAS
Sumber :-


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

Kisah Perak Sambut Aidilfitri Awal Sehari Pada Tahun 1983



Peristiwa Pada 01 Mei 2022

https://normanhafizi.blogspot.com/2022/05/peristiwa-pada-01-mei-2022.html

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...