Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Friday 9 September 2022

07 SEPTEMBER 1895 TENGKU IBRAHIM DIISYTIHARKAN MENJADI SULTAN JOHOR

 

07 September 1895 – Pada tahun 1895, Tengku Mahkota Johor, Tengku Ibrahim diisytiharkan menjadi Sultan Johor menggantikan almarhum ayahanda baginda diistiadat pemakaman jenazah Sultan Abu Bakar di Istana Besar, Johor Bahru. Sempena perisytiharan ini satu istiadat pertabalan dan memahkotakan baginda sebagai Sultan Yang di-Pertuan Negeri Johor telah diadakan pada 2 November 1895. Ketika itu baginda baru sahaja berusia 22 tahun.

Sebelum ini baginda bergelar Tengku Mahkota Johor iaitu gelaran yang disandang sejak tahun 1891. Sebelum menjadi sultan, baginda pernah memasuki perkhidmatan Pasukan Askar Johor sebaik sahaja tamat persekolahan. Setelah menerima tauliah sebagai Leftenan Muda dalam pasukan tersebut baginda telah berkhidmat sebagai ‘edikong’ kepada ayahanda baginda almarhum Sultan Abu Bakar.

Baginda merupakan seorang raja yang tegas dan mementingkan disiplin. Kakitangan di bawah kerajaan baginda sering diingatkan supaya tidak bertindak sesuka hati malah mereka dikehendaki menjalankan tugas dengan betul dan menepati waktu serta berpakaian lengkap dan kemas. Untuk itu lawatan-lawatan sering dilakukan oleh baginda sendiri bagi melihat keadaan ini.

Di awal pemerintahan baginda ini kebanyakkan negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu telah berada di bawah naungan British atau setidak-tidaknya telah menerima Penasihat Am British namun ketegasan dan kebijaksanaan baginda telah dapat menjamin negeri Johor daripada kawalan pengaruh Inggeris. Baginda bersikap merdeka dan tidak suka dikawal malah jarang mengikut nasihat daripada pejabat Jajahan di London apatah lagi nasihat-nasihat daripada pegawai-pegawai Inggeris di negeri-negeri Selat.

Pada awal tahun 1910 barulah baginda menerima Penasihat Am British atas sebab-sebab tertentu tetapi hanyalah bermakna memasuki lingkungan pentadbiran dan pengawalan Inggeris di peringkat boleh menasihati tetapi tidak dimestikan diikuti. Kehadiran pegawai British hanyalah menunjuk ajar kaedah pentadbiran cara moden sahaja.

Baginda telah melalui zaman pemerintahan yang lama iaitu sepanjang 64 tahun. Baginda sama-sama meniti sejarah kemasukan Inggeris bahana Perang Dunia Pertama dan Kedua, pemerintahan Jepun dan kehadiran semula Inggeris di Tanah Melayu. Malah baginda juga turut sama menandatangani Perjanjian Persekutuan yang membatalkan kewujudan ‘Malayan Union’ di Tanah Melayu.

Baginda seorang raja yang memandang tinggi nilai kemerdekaan negerinya dan mempercayai hubungan baik dengan negara luar terutama kerajaan Inggeris dapat membantu baginda mempertahankan maruah negerinya.

#hariinidalamsejarah #arkibnegara

Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

04 JUN 1895 : MAHARAJA ABU BAKAR

https://normanhafizi.blogspot.com/2021/06/4-jun-1895-maharaja-abu-bakar.html

01 SEPTEMBER 1868 PERJANJIAN PERSEMPADANAN PAHANG-JOHOR

https://normanhafizi.blogspot.com/2022/09/01-september-1868-perjanjian.html

03 SEPTEMBER 1699 BERAKHIRNYA KESULTANAN MELAYU MELAKA DI JOHOR

https://normanhafizi.blogspot.com/2022/09/03-september-1699-berakhirnya.html

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...