Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Friday 11 November 2022

09 NOVEMBER 1965 SEJARAH PENUBUHAN YAYASAN SABAH

 

SEJARAH PENUBUHAN YAYASAN SABAH
__

Pada tahun 1966, Menteri Persekutuan bagi Hal Ehwal Sabah dan Pertahanan Awam, Tun Datu Haji Mustapha bin Datu Harun melancarkan penubuhan Yayasan Sabah. Idea penubuhan Yayasan Sabah ini telah dicadangkan oleh Tun Datu Haji Mustapha dalam ucapan di Mesapol pada 9 November 1965.

Yayasan Sabah ditubuhkan sebagai sebuah badan yang tidak mempunyai tujuan politik atau mencari keuntungan bagi menggalak dan mengadakan kemudahan-kemudahan pelajaran untuk belia Sabah serta mendorong semangat cintakan negara Malaysia di kalangan rakyat Sabah. Penubuhan Yayasan Sabah terletak di bawah Enakmen No. 8 tahun 1966 dengan kelulusan oleh Dewan Undangan Negeri Sabah.

Pada 4 Mei 1966, Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Pengiran Haji Ahmad Raffae bin Pangiran Othman telah menandatangani Enakmen tersebut sebagai pengesahan rasmi. Tun Datu Haji Mustapha sebagai pengasas dan penggerak utama Yayasan ini telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Amanah oleh Yang Di Pertua Negeri Sabah pada 8 Ogos 1966, manakala Datuk Syed Kechik Syed Mohamed pula dilantik sebagai Pengarah Yayasan yang pertama.

Objektif penubuhan Yayasan Sabah adalah untuk menyediakan peluang dan kemudahan pendidikan untuk rakyat Malaysia di Sabah; mewujudkan peluang untuk pengagihan kekayaan ekonomi yang lebih saksama di kalangan rakyat Negeri Sabah; dan menyediakan bantuan kepada institusi kebajikan dan mangsa-mangsa bencana alam.

Setelah sekian lamanya, Kumpulan Yayasan Sabah telah mempelbagaikan aktivitinya demi memenuhi keperluan masa kini disamping memelihara dengan baik hutan di bawah jagaannya. Daripada penglibatan awal dalam aktiviti pembalakan kemudian ke pemprosesan hiliran kayu, Kumpulan Yayasan Sabah menceburi perladangan agro, hospitaliti dan pelancongan, perkapalan dan pembangunan hartanah pada 70 an dan 80an. Dalam sedekad yang lalu, Kumpulan Yayasan Sabah meneroka bidang bioteknologi dan hortikultur selain perikanan dan industri makanan.

Sejak penubuhannya pada hari ini dalam tahun 1966, Yayasan Sabah telah memainkan peranan cemerlang dan berkesan dalam memacu pembangunan sosial dan ekonomi di Sabah.


------------------------------------------------------------


MENARA TUN MUSTAPHA

Tahukah anda, Menara Tun Mustapha merupakan ibu pejabat Kumpulan Yayasan Sabah?

Bangunan 30 tingkat ini berstruktur poligon 72 penjuru dengan dinding yang diperbuat daripada 2.160 panel kaca reflektif khas dan boleh menahan kelajuan angin sehingga 272 kilometer sejam.

Bangunan pencakar langit yang dilihat seakan-akan roket yang sedia untuk dilancarkan ini terletak berhadapan Teluk Likas.

Bangunan ini dinamakan Menara Tun Mustapha pada 31 Julai 2001 bersempena dengan Ulang Tahun ke-35 penubuhan Yayasan Sabah, sebagai pengiktirafan atas sumbangan Tun Datu Mustapha Datu Harun, Yang di-Pertua Negeri Sabah Pertama

Pautan artikel lain yang berkaitan :-

05 NOVEMBER 1884 SYARIKAT BORNEO UTARA BRITISH MELUASKAN PENGARUH DI SABAH


No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...