Pada hari ini dalam tahun 1983, sepucuk meriam besi berusia hampir seratus tahun telah diserahkan kepada Jabatan Muzium Negara secara rasminya oleh Malaysia Mining Corporation Berhad (MMC) bertempat di kawasan berhampiran pintu masuk menghala ke jalan raya baharu Muzium Negara, Kuala Lumpur.
Penyerahan meriam tersebut telah dilakukan oleh Pengarah Eksekutif Malaysia Mining Corporation Berhad (MMC), Encik Mohd. Desa Pachi kepada Ketua Pengarah Muzium Negara, Datuk Shahrum Yub. Meriam besi berukuran 76 sentimeter itu telah dijumpai pada tahun 1970, di Sungai Selangor kira-kira 72 kilometer dari Kuala Selangor berhampiran Pekan Rasa oleh pekerja-pekerja lombong Syarikat Southern Kinta Consolidated Ltd. Meriam itu kemudiannya dibawa ke pejabat Berjuntai Tin Mine dan diletakkan di hadapan Bangunan Pejabat Lombong itu sebelum diserahkan oleh pihak MMC kepada Muzium Negara.
Meriam tersebut dipercayai telah digunakan ketika pemerintahan Sultan Abdul Samad (1859-1898), di mana baginda memerintahkan anaknya Raja Musa, mengawal Daerah Lembah Sungai Selangor yang mempunyai banyak kawasan lombong bijih timah. Kemungkinan besar meriam itu juga digunakan untuk mempertahankan serangan musuh dari mencerobohi kawasan lombong bijih timah ataupun digunakan dalam kapal ketika mengangkat bijih timah ke Kuala Selangor.
Dengan penyerahan meriam besi kepada pihak muzium, diharap generasi hari ini akan dapat bersama-sama menyaksikan keunikan bahan tersebut di samping dapat menimbulkan rasa kesedaran mengenai kepentingan bahan-bahan sejarah tanah air dipelihara dan dihargai bersama.
Pautan artikel lain yang berkaitan :-
No comments:
Post a Comment