Pada hari ini dalam tahun 1963, Persidangan Lembaga Mata Wang telah diadakan di Kuala Lumpur. Persidangan tersebut telah dihadiri oleh wakil-wakil dari Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei. Menteri Besar Brunei, Dato’ Setia Marsal bin Maun telah mewakili kerajaannya. Dato’ Jamil Rais, Setiausaha Perbendaharaan memberitahu di antara perkara-perkara yang dibincangkan dalam persidangan itu ialah :
- Mengkaji tugas-tugas Bank Negara dalam usaha mengambil-alih sepenuhnya urusan pengeluaran Mata Wang Malaysia.
- Membincangkan juga kedudukan negara Brunei dalam Lembaga Mata Wang, kerana Brunei tidak termasuk dalam kerajaan Malaysia.
Menurut Dato’ Jamil lagi, bentuk rupa mata wang Malaysia diubahsuai selaras dengan perkembangan ekonomi di masa itu. Bank Negara Malaysia telah ditubuhkan pada 20 Januari 1959, di bawah Ordinan Bank Negara Malaysia 1958. Ia adalah milik kerajaan sepenuhnya. Matlamat utama Bank ini selaku Bank Pusat Negara adalah untuk memupuk kestabilan kewangan dan perkembangan satu struktur kewangan yang baik untuk mempengaruhi kedudukan kredit bagi faedah negara. Antara tugas penting yang dilaksanakan oleh Bank ini ialah :
- Mengeluar wang dan menyimpan cadangan untuk memelihara nilai wang ini;
- Menjadi wakil dan penasihat kewangan kepada kerajaan;
- Menjadi banker kepada bank-bank perdagangan
- Menyelia perjalanan urusan sistem bank ke seluruh negara.
Sesungguhnya dengan persidangan Lembaga Mata Wang pada hari ini dalam tahun 1963, telah memberi keyakinan terhadap perkembangan ekonomi yang lebih baik dan rangka kewangan yang teguh bagi seluruh Malaysia.
Pautan artikel lain yang berkaitan :-
No comments:
Post a Comment