Sayu pagi ini terbaca berita kematian seorang remaja lelaki 16 tahun yang terbunuh oleh kakak kandung sendiri yang berusia 18 tahun.
Punca kejadian hanyalah kerana berebut tempat duduk di dalam kereta dan sesampai di rumah, kakaknya membaling pisau ke arah adik dan menyebabkan kematian si adik.
Sebagai ibu-bapa kena tahu tegur setiap anak. Bukan dibiarkan anak yang kuat menganjing, mengecam hingga anak-anak saling membenci tanpa mereka sedari.
Pernah tengok situasi lebih parah darini yang si Abang memang betul-betul nak bunuh adik sendiri. Adik-adik mengumpat kakak mereka sendiri hingga tumbuh kebencian yang dalam. Sedangkan masa mereka kecil siapa yang tolong jagakan adik-adik?
Sedangkan ibu-bapa boleh banteras dari awal. Boleh bersikap adil dari awal, boleh tegur dari awal.
Sewaktu api kemarahan memuncak, sepatutnya seorang ibu meredakan tanpa memenangkan salah seorang. Ibu yang benar takkan menyemarakkan lagi api dendam dalam diri anak-anak.
Sama sama kita ambil pengajaran dan iktibar dari kisah yang berlaku ni.
Ujian buat mereka adalah ujian buat kita juga.
Saya menonton rakaman perkongsian ibu kes kakak tikam adik. Sedih sungguh bila di bahagian ibu menceritakan reaksi si kakak selepas menikam adiknya.
Dia panik, “Ya Allah, abang! Apa kakak dah buat? Maafkan kakak. Ibu maafkan kakak. Jangan benci kakak. Kakak tak sengaja ni. Ya Allah, apa kakak dah buat? Ibu, nanti kakak masuk neraka sorang-sorang ke? Kita tak sama-sama dekat syurga ke? Kakak tak sengaja”.
Jawab si ibu, “Kakak. Kakak tak sengaja benda ni sangat cepat!”.
Sedih sangat. Dalam sekelip mata, mereka bergaduh. Sekelip mata itu juga, berubah segalanya. Mungkin tidak sampai seminit, dia tidak fikir panjang. Seminit yang mengubah seluruh kehidupan dirinya dan keluarganya.
Berulang kali si ibu sebut, dia rasa anaknya tidak sengaja. Dia ceritakan bahawa hubungan mereka adik-beradik rapat. Dia katakan bahawa memang anaknya tidak sengaja dan kebetulan pisau ada di situ. “Kalau mungkin dia capai buku, mungkin dia ketuk dengan buku. Kalau dengan remote, mungkin terbaling remote”.
Saya menonton penjelasan si ibu dan saya tidak merasakan ada tuduhan tidak baik pada anaknya atau membezakan antara keduanya. Kalau ada yang mengadili bahawa tragedi baru terjadi dan bagaimana boleh terus ditemubual oleh wartawan selepas tragedi?
Pada saya apa yang dikongsikannya itu adalah penceritaan kejadian dan bagaimana kedua-dua adik beradiknya ini sebenarnya akrab dan bahawa anaknya tidak sengaja dan sangat menyesali perbuatannya.
Masa inilah si ibu, boleh memberi penjelasan membela kepada umum bahawa bukan niat anaknya dan tidak sengaja. Pada saya, cerita ibu ini meminta kita jangan menghukum anaknya. Anaknya menyesal dan dia merasakan dirinya itu layak ke neraka dan bukan lagi patut bersama keluarganya. Dia tahu dia salah, bukan sahaja berhadapan dengan hukuman dunia dan salah juga disisi agama.
Kalau kita harap melihat si ibu menangis, tersedu-sedan dalam video 999 itu, rakaman itu adalah suntingan. Saya sentiasa diberi peluang untuk memberi pandangan dalam rancangan 999 sejak tahun 2018 sehingga kini.
Setiap kali rakaman, misalnya penjelasan saya 10-20 minit tetapi yang disunting dan disiarkan biasanya 3-5 minit. Itu memang biasa kerana ingin memenuhi ‘airtime’ dan memuatkan semua isu-isu dalam satu episod.
Jadi untuk tempoh si ibu ditemubual dan untuk merangkumi semua kisah dan untuk kita melihat simpati si ibu, pastinya tidak cukup untuk kita mengadili.
Saya rasakan tiasa apa yang salah tentang rakaman video temubual. Saya sendiri tahu perasaan sesalan si kakak melalui video itu, saya tahu bahawa si kakak pelajar yang cemerlang, saya tahu si kakak rapat dengan adiknya, saya tahu si kakak tak sengaja.
Betul-betul tidak boleh bayang perasaan mereka sekeluarga, ibu, bapa, kakak dan adik-beradik yang lain. Ditambah pula reaksi kawasan setempat dan reaksi di media sosial. Dugaan amat berat.
Kalau kita mengalami trauma kecil, misalnya berlaku kemalangan kepada kita. Berhari-hari tidak boleh lupa. Mungkin pernah diragut atau rumah dimasuki perompak, semua ini sangat memberi kesan kepada kita. Jantung jadi laju, rasa takut dan trauma. Ini baru trauma kecil.
Trauma yang seperti keluarga ini. Bayangkan kesannya kepada mereka. Pagi tadi baru anak-anak bersekolah, tiba-tiba kematian seorang anak dan tiba-tiba yang seorang ditahan reman polis.
Siapalah yang cukup kuat untuk menerima kenyataan yang sekelip mata? Yang cukup kuat untuk membuat keputusan untuk semua perkara dalam masa sehari?
Tempoh hari ada laporan berita. “Kakak direman enam hari, tiada ahli keluarga hadir di mahkamah”. Tajuk pun. Mengundang.
Cuba faham seketika, kakak dihadapkan bagi mendapatkan perintah reman dalam masa 24 jam dari masa dia ditahan. Kejadian pada 19/10/2022, mangsa meninggal dunia pada 2.30 petang. Perintah tahanan reman dibuat pada pagi 20/10/2022.
Dalam masa 24 jam, banyak yang keluarga perlu fikirkan. Urusan jenazah dan urusan ‘perjalanan terakhir’ arwah. Cuba untuk berdepan dengan rasa pilu dan hiba kehilangan dan memikirkan tentang nasib anak yang berhadapan dengan hukuman.
Tidak hadir ke mahkamah untuk mendengar perintah reman, bukanlah bermakna keluarga tidak berada di samping anaknya tetapi menguruskan perjalanan terakhir anak yang seorang lagi dan si kakak masih kekal ada dan akan menghadiri banyak tarikh-tarikh lain untuk tuduhan yang dia hadapi.
Kita tidak tahu, selain apa yang kita baca dan apa yang kita tonton, entah apa lagi usaha keluarga ini untuk si kakak. Sama ada melantik peguam, melawat si kakak dan berurusan sana dan sini dan pada masa yang sama, cuba menerima hakikat kehilangan.
Sukar dan tidak sama. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Semoga keluarga ini terus kuat.
Oleh Nor Zabetha
----------------------------------------------------------
No comments:
Post a Comment