Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Sunday, 18 December 2022

12 DISEMBER 1948 PERISTIWA PEMBANTAIAN DI BATANG KALI SELANGOR


PEMBANTAIAN BATANG KALI 1948

Pembantaian Batang Kali merupakan pembantaian yang dilakukan oleh tentera British terhadap penduduk Cina di Batang Kali atas tuduhan telah terlibat membantu kegiatan pengganas komunis. Ini kerana mengikut risikan British, orang-orang Cina terutamanya yang berada di kawasan luar bandar secara aktif telah membantu kegiatan subversive puak-puak komunis. Mereka bukan sahaja membantu dari tenaga bahkan ada dalam kalangan mereka membantu dalam bentuk bekalan makanan dan ubat-ubatan. Jadi pada pandangan British pada waktu itu, untuk menghapuskan komunis, merreka perlu menghapuskannya dari akarnya dan akarnya itu pula ialah orang Cina.

Oleh itu, pada 12 Disember 1948, Plantun ke-7, G Company ke dua dari Pengawal Scotland yang diketuai oleh Sarjan Charles Dougles telah bertindak mengepung sebuah kebun getah di Sungai Rimoh Batang Kali, Selangor. Tentera British ini hanyalah seramai 16 orang yang diangkut menggunakan trak. Walaupun jumlahnya jauh lebih kecil daripada penduduk setempat namun senjata yang mereka gunakan tidak mampu dilawan oleh senjata penduduk yang tradisional. Jadi pada mereka, melawan British pada waktu itu hanyalah seperti menempah maut.

Apabila tiba di kawasan Sungai Rimoh itu, tentera British telah bertindak mengumpulkan penduduk kampung dan melakukan soal siasat. Lelaki dan perempuan serta anak-anak telah diasingkan. Mereka yang disyaki terlibat memberi bantuan makanan mahupun ubatan kepada Komunis telah ditembak di situ juga. Pada tarikh 12 Disember itu, seramai 24 orang telah dibantai oleh British. Salah seorang mangsa tersebut telah selamat kerana disangka telah mati. Mangsa yang terselamat tersebut bernama Chong Hong berusia sekitar 20 tahun. Semasa ditemu ramah oleh BBC pada tahun 2004, Chong Hong telah berkata “Aku tak ingat apa yang terjadi. Aku pengsan tetapi roh-roh mendorongku. Mereka (tentara) menembak kami”.

Tham Yong iaitu tunang kepada Chong Hong bersama dengan wanita lainnya telah dibawa British keluar dari kampung tersebut dengan menaiki trak. Semasa dalam perjalanan itu, Tham Yong sempat bertanya kepada salah seorang tentera British tersebut mengenai nasib para lelaki di kampungnya itu. Kata tentera British tersebut - mereka terpaksa membunuh para lelaki tersebut. Selepas 2 hari, Tham Yong mengatakan bahawa beliau telah pulang semula ke kampung itu dan dia melihat mayat lelaki-lelaki yang dibunuh tersebut. Ada kepala yang putus, ada yang badannya hancur dan tidak kurang juga ada yang ditembak di kemaluan. 

Pada 13 Disember 1948 iaitu sehari selepas pembantaian, berita mengenai pembantaian tersebut telah disiarkan dalam akhbar The Straits Times yang menyatakan  bahawa Pengawal dan polis Scotland hari ini telah menembak mati 25 daripada 26 orang penjahat yang membantu komunis dalam satu operasi yang diberi nama sebagai “wide-Scale” utara Selangor. Menurut British lagi, operasi ini merupakan kejayaan besar yang berjaya dicapai oleh British sejak darurat diisytiharkan. 

Pada saya walaupun dalam keadaan darurat dan keselamatan negara begitu dititik beratkan namun seharusnya British menjalankan satu siasatan yang lebih terperinci sebelum mengambil langkah drastik dengan membantai mereka. Walaupun kita kena akui bahawa ramai orang Cina yang membantu komunis semasa darurat namun kebanyakan dalam kalangan sebenarnya tleah dipaksa bahkan ramai sahaja dalam kalangan orang Cina pada waktu itu yang begitu anti dengan komunis. Tambahan pula, dengan melakukan pembunuhan rambang itu, British mungkin sahaja tersilap memilih mangsa dan membunuh orang yang tidak bersalah. Jadi adalah lebih wajar jika British menangkap mereka, menyoal siasat dan kemudiannya menghukum dengan peruntukan lunas undang-undang.

Selepas peristiwa pembantaian ini dilakukan, waris-waris mangsa telah membawakan kes ini ke hadapan namun tiada yang sanggup “menerima” kes tersebut. PDRM sendiri telah menutup kes ini pada tahun 1997 selepas dikatakan tidak mempunyai bukti yang cukup. Mangsa terakhir iaitu Chong Hong pula telah meninggal dunia pada tahun 2010 semasa berumur 78 tahun.

Beliau mati tanpa dapat melihat keadilan berjaya ditegakkan untuk mangsa. Bahkan Kerajaan Konservatif di London telah menghentikan siasatan kes ini sejak tahun 1970-an lagi

Pada 1 November 1949 pula, Attorney General Malaya telah mengarahkan siasatan rasmi dijalankan dan keputusan hampa telah diperolehi di mana siasatan ini hanyalah untuk membenarkan tindakan British pada waktu tersebut. Ini kerana AG berpuas hati bahawa 24 orang suspek tersebut mungkin akan melarikan diri daripada askar British jika tembakan tidak dilepaskan. Tetapi menurut mangsa yang hidup, mereka semuanya dalam keadaan menyerah diri dan mereka telah ditembak dari arah belakang. Jadi ini bermakna, mangsa tersebut sebenarnya tidak bersedia langsung untuk melarikan diri daripada askar British. Hasil siasatan ini pula tidak pernah dibentangkan kepada pengetahuan umum. 

Pada 1 Februari 1970, akhbar  The People telah bertindak membongkar dan mengutuk pembunuhan kejam yang dilakukan oleh tentera British tersebut. 

Kenyataan bersumpah yang dikemukan oleh Tentera British yang terlibat dalam peristiwa pembantaian tersebut telah menunjukkan beberapa perkara seperti yang berikut :-
  1. Tentera British yang terlibat telah mendapat arahan untuk memusnahkan kampung tersebut. Ini bermakna, semuanya telah dirancang dengan baik oleh pihak atasan.
  2. Tentera-tentera British yang terlibat sebenarnya telah diberi peluang untuk tidak terlibat dalam operasi ini, Ini bermakna mereka yang membantai 24 orang tersebut sebenarnya datang secara sukarela. 
  3. Mangsa-mangsa telah ditembak tanpa mencuba untuk melarikan diri bahkan mereka sebenarnya sudah bersedia untuk ditangkap.
  4. Terdapat konspirasi dalam kalangan pegawai dan tentera British yang terlibat untuk menipu soal siasat yang dijalankan pada tahun 1949.
Setiausaha Pertahanan yang bernama Dennis Healy mengarahkan Frank William agar memimpin pasukan Polis Penyiasat Scotland untuk menubuhkan sebuah pasukan tugas khas untuk menyiasat perkara ini. Hasil daripada siasatan yang dijalankan ini, terdapat bukti kukuh yang menunjukkan bahawa kejadian pembantaian di Batang Kali pada Disember 1948 memang sebenarnya telah berlaku.

British terus diberikan tekanan apabila pada 9 September 1992, BBC telah mengeluarkan satu dokumentari mengenai pembunuhan beramai-ramai di Batang Kali dengan bertajuk “In Cold Blood”. Dokumentari ini telah disiarkan di United Kingdom dan mendedahkan beberapa bukti baru mengenai peristiwa pembantaian ini. Lebih menarik apabila dokumentari ini  turut memuatkan laporan daripada saksi kejadian dan mangsa-mangsa yang terselamat. Ini termasuklah pengakuan yang direkodkan daripada bekas Pengawal Scotland.

 Selain itu juga, dokumentari ini juga turut menemuramah bersama Pegawai Polis Penyiasat Scotland yang telah menyiasat kes ini pada 1970. Dokumentari ini secara tidak langsung telah menjelaskan penipuan dan pembohongan yang telah dilakukan oleh British bagi menutup kes ini. Walaupun dokumentari tersebut telah menjadi tular di negara asal pembantai tersebut namun langsung tiada pegawai British yang terlibat ditahan. Ini bermakna British secara tidak langsung telah bersetuju dengan pembantaian yang dilakukan oleh tenteranya itu. 

Pada 25 Mac 2008, para waris mangsa pembantaian tersebut serta beberapa NGO telah menubuhkan satu jawatankuasa yang dikenali sebagai ‘Action Committe Condemning the Batang Kali Massacre’ dan telah menyerahkan satu petisyen kepada British High Commission. Petisyen tersebut menuntut supaya British memohon maaf secara rasmi dan terbuka terhadap pembantaian tersebut. Selain itu mereka juga menuntut supaya British membayar sebanyak £30 juta sebagai pampasan kepada waris 24 orang  mangsa pembantaian dan £50 juta  untuk pembangunan pendidikan dan kebudayaan Komuniti Ulu Yam. Namun British tetap dengan pendirian mereka bahawa mereka tidak bersalah dalam pembantaian tersebut.

#sericendekiawan


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

06 SEPTEMBER 1949 TAWARAN PENYERAHAN DIRI BERAMAI-RAMAI KEPADA MRLA



02 DISEMBER 1989 RUNDINGAN DAMAI HAADYAI


No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...