Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Sunday, 27 July 2025

KELUANG MAN

Archive : 06th June 2025


Some of the initial visual concepts I crafted for Keluang Man movie back in 2016.  The movie is now showing in cinemas nationwide. #KeluangMan


-----------------------------------------------------------

ULASAN POSITIF TENTANG FILEM INI


*KELUANG MAN 2025* : bukan untuk tontonan penggemar karya biasa-biasa

MAJOR SPOILERS ALERT

Kali terakhir saya review movie adalah 6 tahun lalu, iaitu The Joker 2019. Saya jarang menulis berkaitan karya filem, kecuali yang saya dapati ada nilai seni dan wajar diberi perhatian. 

Keluang Man 2025, membawa pendekatan yang  berbeza daripada adaptasi animasi asal. Tidak hanya sekadar sebuah filem adiwira, ia adalah sebuah naskah psikologi yang menyelami isu kesihatan mental, identiti, dan moraliti. 

Filem ini memaparkan kisah Borhan, seorang tentera upahan yang kemudiannya menjadi pesakit mental dan mengambil identiti sebagai Keluang Man dalam usahanya melindungi masyarakat. Namun, perjuangannya tidak semudah yang disangka kerana ia digerakkan oleh trauma, paranoia, dan memori yang telah  "distorted". 

Dari awal, penonton diperlihatkan gangguan persepsi Borhan. Beliau percaya bahawa semua orang di sekelilingnya membawa senjata, dan dunia ini adalah tempat yang tidak selamat. Pandangan ini berpunca daripada sejarah kecederaan "traumatic brain injury" (TBI) yang dialaminya, satu faktor yang secara saintifik meningkatkan risiko psikotik, gangguan halusinasi, dan delusi. Dalam beberapa babak, Borhan juga mengalami imbasan semula trauma menyerupai simptom PTSD, terutamanya ketika berada dalam situasi tertekan atau ketika berhadapan dengan elemen masa silamnya.

Satu aspek penting yang menjadi konflik dalaman Borhan ialah keyakinannya bahawa abang angkatnya, Shamsir, telah menembak Ayah Mad. Namun, kebenaran yang terbongkar kemudian mendapati bahawa Borhan sendiri sebenarnya memulakan pergelutan tersebut, dan fikirannya telah menapis hakikat itu bagi melindungi dirinya daripada rasa bersalah (survivor guilt) . Ini memberi gambaran jelas tentang bagaimana trauma dan gangguan mental boleh memutarbelitkan memori dan persepsi seseorang terhadap hakikat kebenaran.

Isu identiti dan pencarian makna hidup turut menjadi tema utama. Borhan dan Shamsir adalah anak yatim yang membesar tanpa keluarga kandung, masing-masing cuba mencari hala tuju dalam hidup. Ayah Mad menjadi figura bapa yang mengisi kekosongan itu dan mengasuh perasaan dan prinsip hidup mereka. Namun apabila Ayah Mad sendiri mula menyimpang dari landasan moral, konflik dalaman Borhan menjadi semakin mendalam. Krisis eksistensial tercetus apabila satu-satunya figura yang menjadi rujukan moral mula dipertikai.

Filem ini turut menampilkan peranan Dr. Malini, pakar psikiatri Borhan yang memberikan dimensi rasional dan empati terhadap isu kesihatan mental. Ungkapan beliau: “Kalau tak hadap, macam mana nak betulkan?”,
menjadi frasa penting dalam filem ini, yang menekankan kepentingan berdepan dengan realiti dan trauma demi proses penyembuhan.

Watak Inspektor Sahab pula membawa perspektif luar yang lebih matang. Beliau melihat Borhan bukan sebagai penjenayah, tetapi sebagai refleksi kepada dirinya sendiri.. seorang yang juga pernah cuba memperbaiki keadaan namun terjerumus ke arah kehancuran. Usahanya menghentikan Borhan adalah langkah pencegahan, bukan hukuman, supaya tragedi tidak berulang.

Antara tema lain yang ditonjolkan ialah konflik antara kesetiaan membuta tuli dan suara nurani, serta bagaimana kesedaran diri boleh membawa kepada kebaikan atau kemusnahan, bergantung pada nilai paling asas individu tersebut. Filem ini juga menonjolkan stigma terhadap kesihatan mental, di mana kenyataan saksi yang terlibat dengan institusi mental sering kali dianggap tidak boleh dipercayai, dan pesakit yang tidak mempunyai waris mudah dijadikan kambing hitam oleh pihak yang berkepentingan.

Filem ini juga memberi perhatian kepada peranan barisan hadapan kesihatan mental, termasuk MA dan SN psikiatri yang seringkali menjadi tulang belakang rawatan harian. Mereka ditampilkan bukan hanya sebagai pelengkap, tetapi sebagai penjaga hak asasi dalam sistem yang kadangkala terlalu prejudis dan biased.

Melalui interaksi kecil seperti menyuap ubat, menenangkan pesakit yang cemas, mendengar dengan sabar;  filem ini mengiktiraf nilai dan kesungguhan profesion yang sering kali dipinggirkan dalam naratif arus perdana.

Dari segi sinematografi, filem ini berjaya mencerminkan ketidakstabilan psikologi watak utama melalui permainan cahaya, sudut kamera, dan suntingan audio yang mencipta suasana tegang serta tidak stabil.. selari dengan keadaan mental Borhan.

Kesimpulan:
Keluang Man (2025) adalah sebuah filem yang berani dan berbeza dalam landskap sinema Malaysia. Ia bukan sekadar mengangkat watak adiwira, tetapi juga membuka ruang kepada perbincangan tentang isu yang sering disisihkan, iaitu kesihatan mental, identiti yatim piatu, dan realiti sosial yang menekan golongan terpinggir.

Verdict : 9.5/10

Sebuah adaptasi yang matang dan mendalam. Keluang Man (2025) membuktikan bahawa krisis kesihatan psikologi boleh menjadi cermin kepada kegagalan sistem keadilan sosial masyarakat secara umum, dan keberanian sebenar ialah bila kita berdepan dengan kebenaran secara tulus dan jujur.. meskipun hakikatnya menyakitkan.

https://www.facebook.com/share/p/1ByRukz1Zd/

---------------------------------------------------------------

Arkib : 15 Jun 2025

"Dialah satria..."

Bila tekan je butang beli tiket, automatik lagu Keluang Man loop dalam kepala.

Masa masuk panggung, ramai yang bawa anak-anak kecil. Tapi saya yakin mereka semuanya lebih kurang sebaya saya je. Panggungnya kecil saja. Masih ada kerusi kosong 4 baris di hadapan. Saya rasa saya antara penonton yang paling kuat gelak dalam panggung tu.

Sejujurnya saya rasakan yang Keluang Man bukan sekadar cuba menghidupkan nostalgia 90-an. Tapi dia datang dengan misi yang lebih besar—adiwira yang tersakiti dan mengangkat suara yang jarang didengari.

Dan yang paling kena, filem ni ditayangkan dalam Bulan Kesihatan Mental Lelaki. Kebetulan? Tak. Sebab inilah masanya kita perlu tonton kisah wira yang orang label "gila", tapi realitinya... dia cuma manusia biasa yang sedang bertahan.

Apa yang menarik? Selain awal pembukaannya yang ada klip-klip kartun Keluang Man yang buat kita penonton auto KLMJ, gambaran suasana bandar Tumpoi tahun 2025 yang indah dalam limpahan cahaya neon dengan vibe neo-noir. Gerak silat dan seni bela diri yang padu berselang seli dengan lawak sengal tapi tak kosong. Dialognya bersahaja. Saya kira, kenalah dengan situasinya. Ada yang mencuit memori sampai terbahak-bahak ketawa sebab banyak nostalgia. Saya dapati memang banyak tribute buat peminat, tapi ia tidak sombong pada penonton baru untuk menyerap dunia baru Keluang Man yang lebih matang.

Filem Keluang Man ini adalah filem pertama kepada dunia sinematik Keluang Man yang bakal menampilkan lima lagi filem. Barisan pelakon yang membintanginya pun bukan calang-calang pelakon. Pemilihan Nas-T sebagai teraju utama juga saya rasakan berjaya menyampaikan roh Borhan walaupun ada peminat kata tak cukup ketinggian. Anwaar Beg Moghal dan Shweta Sekhon yang membawakan watak Inspektor Sahab dan Doktor Malini pun sangat berkesan—antara watak-watak yang buat saya kagum juga dalam filem ni. Ada satu babak aksi yang memang berimpak tinggi juga (saya taknak spoil, korang kena tengok sendiri). Bila tengok filem ni, saya terfikir juga, tak banyak filem-filem tempatan kita yang mengangkat watak-watak berbangsa Sikh sebelum ni (kebiasaannya watak berbangsa Cina dan India) dan saya kira ia sesuatu yang 'refreshing' (dan watak-watak ini memang ada dalam siri animasi asal Keluang Man).

Mungkin hanya saya, tapi saya nampak beberapa babak yang disuntikkan inspirasi kisah Hang Tuah dan Hang Jebat. Menarik juga.

Banyak saya baca komen-komen yang tak puas hati dengan filem ni. Katanya tak capai ekspektasi mereka. Saya pun taknak tulis panjang-panjang sebab ulasan yang panjang berjela dan teknikal ada banyak dalam medsos oleh mereka yang lebih arif dan pakar. Mungkin babak-babak 'product placement' yang berulang dan agak 'hard sell' tu boleh dikurangkan. 

Saya masuk ke panggung sebagai seorang peminat yang pernah membesar dengan menonton siri kartun Keluang Man. Saya masuk dengan tidak meletakkan benchmark yang tinggi sebab saya tahu siri animasinya bagaimana. Tujuan saya menonton selain menyokong filem tempatan, saya nak hiburkan diri dengan menonton sesuatu yang mengimbau memori. Jadi, tidak adalah saya harapkan ianya setaraf filem Hollywood atau Deadpool atau Batman (walaupun ramai yang cuba kaitkannya). Tapi apa yang saya dapat, satu filem walaupun tidak sempurna, tapi ia satu filem yang berani mencuba—dengan jujur. Dan itu membuatkan saya puas.

P.s: Kalau korang belum tonton, pergilah sementara ia masih ditayangkan di panggung. Sokonglah filem tempatan kita, lebih-lebih lagi jika kita nak tengok ia melanjutkan kesinambungannya dalam dunia sinematik yang seterusnya.

#KeluangMan

https://www.facebook.com/share/16mFRP2rzn/

---------------------------------------------------------------

Arkib : 12 Jun 2025

Nampaknya slow2 artis2 bdk2 milennial buat comeback ya, aritu ade konsert KRU, Avril Lavigne x Simple Plan pun dah buat lagu baru.. upcoming ade konsert In-Team pulak..Now ade movie yg paling ditunggu-tunggu..Keluang Man!

Ya pada aku ok je movie ni..Mmg byk homage kpd pop culture 90an - awal 2000. Dgr lagu jiwang masa movie baru start tu pun aku dah gelak dah sbb dia unpredictable 😂 Aku tak kecewa tgk movie ni, tapi aku kecewa sbb aku tgk masa ade audience tak ramai (tgk hari Rabu).Dia kalau ade ramai2 geng2 milennial gila2 tgk ni mst riuh panggung 😂

Ya aku agak setuju vibe movie Keluang Man lbh krg mcm Deadpool. Watak berlainan tapi vibe sama. Pada aku ok je kebanyakan jokes dorang landed. Aku ni select tau nak gelak..Rasanya 2x jgk aku ckp "bodoh laa!" kat kwn aku , mksdnya mmg klakar la, haha!

Tak sangka Zhafvlog ade cameo dlm ni (aku tak sempat baca posts sini sblm tgk wyg). Tak expect jgk tetibe joke Maria Mariana tu 🤣

Special effects mmg power! Scene2 letupan tu sume 👍 cuma CGI kucing tu jela, tp takpela aku maafkan. Bab2 fight scene aku rs Malaysia ni mmg dah lulus dah, pasni bole try lg genre lain ek. Tak sabar nak tgk sekuel Keluang Man 🥰

Aku rasa ok la ni sbg introduction movie. Cuma third act agak rs draggy tp takpe aku maafkan jgk. Yg pnting aku byk terhibur.

Aku bg 8.5/10. FYI ada mid-credit ya

https://www.facebook.com/share/p/1638zHx4aU/

---------------------------------------------------------------

Pendapat Tidak Popular (Unpopular Opinion) - Keluang Man Is Ohsem!

Pendapat abam, orang yang tegar kritik filem Keluang Man ni terdiri daripada mereka yang tak tonton pun filem tersebut. Biasalah orang kita. Bila orang komen, dia pun nak komen juga.

Filem ni kreatif. Adakala vibes seperti humor-humor dari filem Kung Fu Hustle — tetapi dengan identiti tersendiri.

Bila dah tonton barulah dapat tahu, ia tidak sepenuhnya bersandarkan kepada 'nostalgia' sahaja (what's wrong with a bit of nostalgia anyway?), sebaliknya ada juga terselit jalan cerita tentang persahabatan, dan pengkhianatan. Jalan ceritanya juga tidak menyalin-tampal dari siri animasi, tetapi diubah sedikit supaya ada kesegaran.

Abam suka dengan watak Dr. Malini lakonan Shweta Sekhon (Sweta Sekhon pun abam suka juga. Eheh). Harapannya jika ada sekuel bagi filem ini, biarlah watak Dr. Malini (dan pelakon asalnya) dikekalkan. Sejuk mata mandang gitu.

Ok moving on - tidak lupa juga watak utama iaitu Nas-T sebagai Borhan / Keluang Man. Pada abam Nas-T berjaya mencorak watak Keluang Man dengan gaya dan stail sendiri sambil mengekalkan apa yang disukai oleh kanak-kanak tahun 80-90an tentang dirinya - orang separa gila yang 'kickass'.

Inspektor Sahab turut memain peranan dalam menggambarkan bentuk 'hubungan' antara seorang anggota polis dan vigilante. Seronok mendengar dialog antara Keluang Man dan Inspektor Sahab, terutama bila mereka berbual dalam bahasa Hindi (minor spoiler bagi yang belum menonton).

Kalau nak diceritakan lagi, akan jadi terlalu panjang pula rasanya, kerana elemen-elemen yang kreatif memang banyak.

Cuma cukuplah sekadar abam katakan, barisan pelakon, pengarah, penerbit, dan lain-lain berkaitan filem ini mungkin merasa puas kerana meskipun CGI tidak setara mana, bahkan CGI kucing 'Bebe' juga kelihatan terlampau kartun (barangkali 'intended' begitu?), Keluang Man berjaya menunjukkan bahawa orang kita juga punyai minda ala 'Stephen Chow'.

Hanya menunggu sokongan dan kepercayaan dari kita saja untuk turun menonton di panggung. Jelasnya, ini memang bukan cerita tentang Batman, kerana ini cerita lain.

Semoga ada sekuelnya bersama Tiong Man pula!

Keluang Man kini menemui penonton di platform Astro First menerusi saluran 480 dan On Demand serta Sooka.

#OMGHSharing #OMGHReview #KeluangMan #AbamKacak #GengWayang

https://www.facebook.com/share/p/19bWmnV56Y/

---------------------------------------------------------------

ULASAN NEGATIF TENTANG FILEM INI

KELUANG MAN : MINECRAFT MOVIE UNTUK GEN MILENNIAL

Lepas dah lama tak buat ni, akhirnya aku dapat juga tulis panjang-paniang pasal satu media tulis ulasan panjang tentang sebuah filem. Rasa macam surreal pulak haha. Apa-apa pun, filem ni… aku pun tak tahu nak mula dari mana. 

Pros dia? Sikit je. 

Pertama sekali, pemilihan pelakon dalam projek ni. Nas-T berjaya bawakan watak Borhan dengan baik. Aku tak rasa cringe pun tengok dia (kecuali masa dia mula try hard masukkan pop culture reference). Rosyam Nor pun masih mantap dalam lakonan dia. Aku rasa dia dengan Remy Ishak je yang yang betul-betul buat kerja diorang. Lain entahlah.

Kedua, babak aksi. Meskipun ada nampak kekok sikit, tapi boleh tahan juga. Walaupun ada satu babak yang trigger PTSD aku pasal filem Mat Kilau, tapi tak kacau sangat. Dari segi jalan cerita pula, adalah part yang menarik… kalau skrip dia disiapkan dengan lebih teliti.

Masuk bab kecacatan, fuh, banyak.

Aku tahu nak mula dari mana. Mungkin boleh mula dari repetitive pop culture reference tu dulu. Ya, aku faham, Keluang Man ni lama dahnya, fans dia pun mungkin dah sakit belajang dah. Mujurlah aku tahu reference dalam filem ni, sempat membesar dengan benda-benda tu macam Roda Impian KRU, dan Amy Mastura. Ada part aku tergelak sebab tak jangka joke tu, tapi kebanyakannya rasa macam "checklist" pop culture semata, sekadar nak dapat forced laughter dari penonton. Sampai ada tone whiplash – contoh macam babak Tragedi Oktober. Aku faham niat dia, tapi rasa macam tak kena langsung dengan konteks. Dan sebelum ada yang cakap "Hollywood pun buat!" atau "GOTG pun sama!" – ya, Hollywood pun kena kritik jugak, dan James Gunn at least tahu nak gabung semua tu dalam naratif dengan cara yang organik, bukan macam sekadar nak pandering semata.

Lepas tu, skrip suka ulang dialog. Antaranya, "Mereka tak gila, mereka sakit." dan "Ini bukan Batman, ni cerita lain." Yang pertama tu diulang banyak kali sampai hilang impak dia bila sampai filem punya climax. filem. Yang kedua tu, aku tahu diorang mungkin nak acknowledge status Keluang Man sebagai “Batman but melei”, tapi here's the thing – kebanyakan cerita perlu diinspirasi dari sesuatu. Cara kita olah semula itulah yang menjadikannya unik. Tapi bila ayat tu diulang, nampak sangat macam Astro Shaw dan pengarah sendiri pun insecure dengan IP ni. Ironik kan?

Last sekali, skrip tu sendiri. Aku faham Borhan tu memang ‘tak stabil’, tapi perlu ke tunjuk benda tu vanyak kali? Seperti point sebelum ni, aspek “gila” tu rasa terlalu dipaksa dan tak semula jadi, sampai nampak skrip dia nampak lewah, penulisan lemah lak tu. Hasilnya, benda yang sepatutnya ditunjukkan – macam hubungan Borhan dan Shamsir dengan lebih terperinci – jadi sangat shallow. Elemen “real or not real" patut dihuraikan lagi. Pendek kata, perlu perap lagi skrip ni haha.

Akhir kata, banyak lagi aku nak bebel pasal filem ni, macam durasi dua jam yang tak perlu, gaya rambut pelik warden hospital mental, spam Roda Impian yang buat aku naik angin, si oyen dan macam-macam lagi. Tapi cukup lah setakat ni.

Boleh ke aku boleh rekomen ni? WELLLLLLLLL 

Oh, blatant Wonda Coffee tu cringe juga.

Rating: 4/10 (skala 10) ⭐️⭐️⭐️⭐️

2.5/5 (skala 5) ⭐️⭐️

https://www.facebook.com/share/p/16hvf2dt7G/

-------------------------------------------------------------

Review Keluang Man (yang ada banyak frasa 'at this point')

______

At this point, ia telah ditayangkan beberapa minggu dan kutipannya kita maklum dalam 2 juta.

At this point, review aku sama ada baik atau buruk takkan memberi apa-apa impak kepada filem ini.

***

Ada beza orang yang tau makan kuaci dengan orang yang taktau. Orang yang tau makan kuaci akan menimati kuaci lebih drp orang yang tak reti makan kuaci.

Sama dengan filem.

Filem KM bermula dengan baik sekali. Komedinya mantap. Aku tak berhenti tersengih dan ada kalanya ketawa. Ia agak unpredictable sehinggakan aku yang rasa nak ke tandas terpaksa tahan menantikan moment yang sesuai. At this point, aku telah bagi 10/10.

And then, (tak ingat minit keberapa) KM serang markas Mata Panda. Habis scene Roda Impian, polis pun datang. Orang jahat berkumpul. At this point, aku tau scene akan draggy sebab diorang nak layan action. Masa ni lah aku ke tandas.

Balik dari tandas, scene action belum habis. Begitulah lamanya director nak layan action. Action yang level biasa, yang kita boleh tengok dalam banyak filem lain.

Scene² 'biasa' berlanjutan. Semua benda yang cliche yang boleh dilihat dalam filem lain berterusan. Komedi berkurangan, keseriusan bertambah. Momentum komedi filem ini dah hilang. Audience (aku la tu) mulai rasa bosan. Komedi selitan (yang dah tak banyak) tak lagi selucu seperti awal tadi. At this point, star mula menurun...-9...-8...

Keseriusan ini adalah satu 'try hard' untuk buatkan penonton rasa sedih, hiba dsbg which sebenarnya ia masih boleh dicapai dengan komedi. Malang sekali director memilih jalan 'biasa' untuk melahirkan perasaan² ini. Ia tak works untuk aku.

Ke'biasa'an yang berlaku ini mencapai tahap aku keluar panggung sekejap, pergi beli hot dog. Masuk balik, sambung tengok dan masih tak rasa rugi tertinggal scene-scene biasa ini.

Towards the end star telah menurun ...-6...-5. Tapi kemudian, ada hope yang dicipta dihujung cerita. Maka star naik sikit +0.5.

Overall, aku berikan Keluang Man 5.5/10

Pujian: Semua part teknikal filem, cinematography, lighting, CGI, props, wardrobe, sound etc semuanya level acceptable to great.

Kejian: None.

*Ini adalah review jujur yang tak dimulai dengan perkataan "Sejujurnya.." tetapi diakhiri dengan footnote *Ini adalah review jujur yang tak dimulai dengan perkataan "Sejujurnya.." tetapi diakhiri dengan footnote *Ini adalah review jujur yang tak dimulai dengan perkataan "Sejujurnya.." tetapi diakhiri dengan footnote  (sambung sampai abang jamil mampus)

https://www.facebook.com/share/p/15atufYWip/

-------------------------------------------------------------


Kenapa saya belum tonton Keluang Man?

Saya baca, kutipan tayangan filem ni baru RM 3.7 juta. Saya tak tahu kenapa orang lain tak pergi tonton, tapi saya tahu kenapa saya tak pergi tonton lagi.

Saya membesar dengan siri Keluang Man (KM), dan pernah mengikuti komiknya, namun begitu, saya rasa macam tidak ada desakan nak pergi tonton filemnya.

Bukan kerana promosinya tak menarik, tapi lebih kepada situasi tak mendorong. Macam mana eh, nak terangkan. Mungkin kena beri bayangan dan bentuk situasi.

Keluarga saya ada 4 orang; saya, isteri, dan 2 orang anak. Daripada 4 orang ini, hanya saya sahaja berminat nak tonton KM. Isteri dan anak-anak saya tak berminat.

Kenapa?

Anak-anak saya tak kenal Keluang Man.  Langsung tak kenal. Bukan salah mereka. Keluang Man kurang muncul dalam mana-mana media popular masa kini.

Kalau nak kata mereka tak minat superhero, mereka kenal Batman, Superman,malah Ultraman pun mereka masih kenal. Itu semua superhero dari zaman bila lagi.

Mereka kenal sebab superhero tu semua tu masih di TV, ada mainannya, ada barang dagangan (merchandise). Paling tidak masih diperkatakan di mulut generasi mereka.

Anak saya jarang tonton Ejen Ali dan Boboiboy tapi mereka masih kenal karektor itu semua. Sebab kawan-kawan mereka kenal dan bercerita.

KM? Saya rasa, budak-budak berumur sahajalah yang betul-betul kenal, bercerita dan teruja nak tonton. Namun, tak semuanya akhirnya pergi pun.  

Sebagai seorang berkeluarga, kalau keluarga saya tak berminat nak tonton, takkanlah saya nak paksa mereka tonton, kan? Tentunya mereka akan tak syok.

Takkan pula di hujung minggu, saya pergi tonton wayang secara solo, tinggal isteri dan anak-anak di rumah. Mestilah saya kena bawa keluarga saya buat aktiviti bersama.

Selain itu, saya rasa macam ulasan filem KM ni tak banyak lalu di media sosial saya. Jadi tak terbit sangat rasa FOMO (bimbang kalau terlepas) tu. 

Akhirnya keterujaan saya nak tonton tu, semakin malap, dan akhirnya terpadam kerana terperangkap dalam situasi yang tidak mendorong.

Ini berbeza dengan konsert GenKRU. Sebelum konsert GenKRU, KRU dan buat kemunculan semula dengan lagu-lagu baru, klip video bernostalgia.

Lagu baru mereka dimainkan di radio, di media sosial siang dan malam. Lagu-lagu lama pun dimainkan semula. KRU "hidup" kembali di mata peminatnya.

Jadi, bila KRU umum konsert GenKRU, peminat teruja, sehingga sanggup bayar tiket mahal, dan berusaha juga pergi tonton sendiri (tak bawa anak-anak).

Di media sosial pula, hari-hari lalu lalang gambar kawan-kawan sebaya saya tunjuk mereka pergi konsert GenKRU. Siap berpakaian gaya tahun 2000an.

Apapun, saya tak pergi GenKRU sebab saya memang tak berapa minat pergi konsert. Kalau saya jenis suka konsert, semestinya saya akan pergi.

Berbalik kepada isu asal, bab menonton wayang dan ulas filem, saya memang minat, tapi KM saya masih belum pergi tonton. Seruan tak sampai kot.

Mungkin, kalau, andai (sekadar berhipotesis) KM disiarkan semula TV, atau dibikinkan siri animasi baru atau siri TV dahulu, mungkin sambutan filem akan berbeza.

Moga-moga pulangan dari jualan barang dagangan KM dan sambutan kepada projek-projek susulan lebih positif dan dapat  menampung semula kos filem ini.

Kamarul Ariffin Nor Sadan 

Tiram Man (duduk Ulu Tiram)

https://www.facebook.com/share/p/19KNfDGG8t/

--------------------------------------------


Antara pendapat terbaik daripada penonton filem ini di sini : 

Kluang Man ni best apa.Aku masuk hall dengan expectation biasa-biasa je, tapi keluar rasa berbaloi harga tiket. Vibe dia memang ala-ala Deadpool , ada lawak slapstik

banyak reference dan tribute kat filem-filem dan pop culture Malaysia. Dari Maria Mariana, Kak Limah, sampai ke Usop Sontorian pun ada cameo. Ni memang buat penonton lama rasa connected. Respect la team produksi sanggup selit benda-benda ni.

Fight scene? Not bad weh. Koreografi dia kemas, ada flow, tak nampak sangat kaku. Boleh lagi polish la, tapi dah cukup buat penonton engaged. Cuma bab CGI tu ok la, ada part nampak ketara sangat 'over', especially bila scene terbang/letupan. Harap next installment nanti dorang boleh improve lagi bab tu supaya nampak lebih seamless.

Dr. Malini tu memang steal the show. Cantik gila weh.Kluang Man ni  ada potential untuk jadi franchise yang lagi besar kalau polish bab teknikal. Memang worth pergi tengok kat wayang, support filem tempatan yang berani bawa genre ni


Keluang Man antara naskhah tempatan yang paling dinanti-nantikan ramai tahun ini.

#Hibglam #keluangman 

ARTIKEL PENUH : https://hibglam.com.my/2025/06/07/mencelarukan-akan-ada-sambungan-keluang-man/

Sumber https://www.facebook.com/share/p/1Hfg18rHT4/

-----------------------------------------------------------------------

PUNCA UTAMA KENAPA BERLAKUNYA FILEM-FILEM TEMPATAN TAHUN 2025 TIDAK MENDAPAT KUTIPAN BOX OFFICE

𝗣𝗘𝗥𝗦𝗔𝗜𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗬𝗔𝗡𝗚 𝗧𝗜𝗗𝗔𝗞 𝗦𝗜𝗛𝗔𝗧.. 𝟮 𝗯𝘂𝗹𝗮𝗻 𝗱𝗶𝗹𝗮𝗺𝗯𝗮𝗸𝗸𝗮𝗻 𝗳𝗶𝗹𝗲𝗺𝟮 𝘁𝗲𝗺𝗽𝗮𝘁𝗮𝗻 𝘀𝗲𝗸𝗮𝗹𝗶𝗴𝘂𝘀 𝗸𝗲𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗿𝗮𝗸𝘆𝗮𝘁.. 𝗠𝗮𝘂 𝗫 𝗵𝗮𝗻𝗰𝘂𝗿 𝗶𝗻𝗱𝘂𝘀𝘁𝗿𝗶 𝗳𝗶𝗹𝗲𝗺 𝗠𝗮𝗹𝗮𝘆𝘀𝗶𝗮..

Sumber : https://www.facebook.com/share/p/19KNfDGG8t

-----------------------------------------------------------------

Arkib : 17 JUN 2025

KUTIPAN FILEM KELUANG MAN MENYEDIHKAN? 

Sedih bila dapat tahu Kutipan Filem Keluang Man !

Keluang Man adalah sebuah kartun yang sangat popular era 90an dan menjadi nostalgia kepada mereka yang sudah berumur 30 tahun keatas.

Tapi apa silapnya, Filem Keluang Man ini hanya mampu mengutip RM2.5 Juta sahaja setakat 20 hari ditayangkan.

Adakah mungkin kerana awal awal ada seorang influencer yang memberi rating 3/10 membuatkan ramai hilang mood untuk tengok Keluang Man di panggung dan lebih memilih Ejen Ali 2.

Min harap moga Astro Shaw tidak serik untuk menerbitkan filem Keluang Man 2 yang dijangka lebih "Best" dengan kehadiran Tiong Man dan Tok Bomoh Kelate.

Keluang Man masih lagi berada di panggung wayang, pakat support boh

https://www.facebook.com/share/p/19VpTPb6fH/

FILEM KELUANG MAN HANYA BERJAYA KUTIP RM2.4 JUTA DALAM 18 HARI DI PAWAGAM??? 

Senarai filem-filem tahun 2025 dengan jumlah kutipan terkini pada 17 Jun 2025 yang lalu

-----------------------------------------------------------


Arkib : 18 Jun 2025
  1. Dah 20 hari tayangan, namun baru mencapai RM2.3 juta kutipan. Padahal kos saja dah RM13 juta. 
  2. Bandingkan dengan filem Ejen Ali 2. Kutipan dah lebih RM55 juta. Menjadi kutipan filem tempatan dan antarabangsa tertinggi dalam negara.
  3. Soalnya kenapa? Bukankah ramai peminat Keluang Man? Boleh dilihat banyak post tentang Keluang Man di media sosial. Tapi kenapa rendah kutipannya?
  4. Kerana kisah Keluang Man adalah kisah hero kepada golongan yang lahir pada tahun 80an dan 90an. Golongan orang tua, dah jadi mak dan bapak budak dah pun. Generasi baru tak kenal Keluang Man ni.
  5. Sebab tu bukan main meriah ramai bercakap di media sosial tentang Keluang Man, sebab hero ini wujud pada zaman mereka. Pemain media sosial kan ramai kaum mak-mak dan ayah-ayah. 
  6. Netizen yang bercakap tentang Keluang Man ni, tak ramai pun pergi tengok kerana pelbagai alasan. Antaranya sibuk, kewangan menipis, masa lapang tak ada. Mereka hanya buat modal borak di media sosial je pun. 
  7. Berbeza dengan Ejen Ali. Peminatnya adalah anak-anak zaman ini. Yang usia 2 tahun hingga 15 tahun minat Ejen Ali. Ini hero zaman mereka.
  8. Bila anak minat, anak-anak akan ajak mak ayah pergi tonton kat panggung. Padahal mak ayah tak minat pun. Kerana anak seorang sahaja minat, mak ayah kena teman. Dah jualan tiket tu triple, padahal sorang je yang minat.
  9. Mak ayah yang tahu anak-anak minat Ejen Ali juga jadikan hal ini sebagai motivasi untuk anak-anak mereka. Contohnya, 'Jika kakak hafal sifir 4, papa dan mama bawa tonton Ejen Ali'. So, dia jadi reward untuk anak-anak dan masa berkualiti untuk keluarga.
  10. Berbeza dengan Keluang Man. Anak-anak tak minat. Tak ada nak ajak mak ayah mereka ke pawagam pun.

Begitulah pada aku. Kredit poster : OMG Hackers?

#MFS 


-------------------------------------------------------------

INI ULASAN FILEM DARIPADA SAYA


Kisah Adiwira Malaysia Daripada Animasi 1990an iaitu Keluang Man 

Kisah adiwira Lelaki Kelawar iaitu Batman menjadi sumber inspirasi terciptanya watak Keluang Man daripada pencipta asal, Allahyarham Kamn Ismail. Kisah yang mendapat inspirasi daripada saduran filem-filem Hollywood telah menjadi layar lakon layar yang tidak menarik untuk dijadikan adiwira tempatan Malaysia kita. Akan tetapi, disebabkan oleh corak filem Malaysia yang mudah mendapat perhatian penonton apabila dicampurkan dengan elemen-elemen komedi, parodi ataupun nostalgia menjadi satu pengalaman menonton yang menarik bersama keluarga.

Keluang Man bukanlah watak yang biasa-biasa. Malahan watak adiwira ini mempunyai peminatnya yang tersendiri apabila terdiri daripada para penonton kanak-kanak ketika era 1990an yang kini telah pun menjangkau jangkaan umur 30 hingga 50 tahun pada tahun 2025. Watak adiwira ini telah mempunyai sokongan peminat daripada Animasi Keluang Man yang ditayangkan di kaca televisyen dulu-dulu di Rancangan Televisyen Malaysia RTM 1. Berbeza dengan watak adiwira Cicakman iaitu garapan daripada Yusry Abdul Halim di KRU Studio adalah sesuatu yang baru buat penonton. Namun begitu, haruslah dipuji bagi watak Cicakman ini kerana ianya mendapat sentuhan daripada lakonan Saiful Apek Senario juga mempunyai sedikit elemen komedi walaupun latar filem ini bercorak aksi komedi adiwira.

Berbalik kepada penerbitan filem Keluang Man, ianya bukanlah tugas yang mudah. Ini adalah kerana Pengarah dan juga penulis skrip penuh filem ini, iaitu Anwari Ashraff telah menyatakan bahawa dia kali pertama menonton Animasi Keluang Man pada umur 14 tahun sekitar 1998. Selain itu, dia telah menyatakan bahawa, penulisan skrip telah pun dibuat ketika berlakunya Zaman Pandemik COVID-19. Karya penulisan skrip ini telah mendapat restu dan juga sokongan daripada Allahyarham Kamn Ismail. Oleh itu, Intellectual Property (IP) Keluang Man ini telah diperolehi oleh Astro Shaw (dulunya dikenali sebagai Syarikat Tayangan Unggul Sdn. Bhd.)

Keunikan penciptaan karektor Keluang Man yang wujud daripada diri Borhan sendiri iaitu seorang pesakit mental adalah sesuatu yang baru dan berbeza sama sekali jika dibandingkan dengan watak cetusan daripada Penerbitan filem-filem Hollywood. Kita sendiri boleh kenal pasti bahawa watak-watak pesakit mental yang diwujudkan dalam filem-filem Hollywood kebanyakannya mempunyai watak sisi jahat dan kejam seorang penjenayah ataupun seorang pembunuh misteri yang sentiasa mencari mangsanya. Sebagai satu watak contoh watak antagonis daripada DC Comics ialah Joker.

Filem Keluang Man ini sedikit sebanyak telah membangkitkan kesedaran kepada para penonton rakyat Malaysia betapa pentingnya untuk menjaga kesihatan mental dan juga fizikal kerana ianya dapat memberikan manfaat kepada negara.

Keluang Man mungkin tidak mempunyai cabaran dalam menjadi teras ataupun teraju kepada filem jenis adiwira, namun cabaran yang harus dihadapi oleh watak Keluang Man ialah bagaimana untuk watak ini agar terus kekal relevan sepanjang masa dan juga sepanjang zaman bagi setiap generasi rakyat Malaysia yang cintakan adiwira tempatan.

Sedikit kegusaran telah timbul baru-baru ini berikutan sambutan yang telah diberikan oleh penonton filem tempatan. Ini adalah kerana saingan kepada filem-filem tempatan yang lain pada waktu masa yang sama pada musim cuti sekolah. Kita telah pun menyaksikan bahawa para penonton lebih memberikan perhatian kepada filem Blood Brothers : Bara Naga daripada menonton filem Gayong yang diinspirasikan daripada kisah hidup Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman. Begitu juga dengan filem Animasi Ejen Ali The Movie 2 : Misi Satria yang menjadi saingan kepada filem Keluang Man ini. Daripada segi luaran, Animasi Ejen Ali lebih mendapat perhatian penonton kanak-kanak berbanding dengan penonton dewasa. Manakala, khalayak penonton dewasa pula lebih berminat untuk mengimbau kenangan dan juga nostalgia sewaktu zaman kanak-kanak dahulu dengan menonton filem Keluang Man.

Akhir sekali, penonton kita sekarang sudah bijak memilih filem untuk ditonton, namun apabila dikaji soal harga tiket dan juga kesesuaian menonton filem bersama keluarga dengan isteri dan anak-anak, mungkin filem yang menjadi pilihan ketua keluarga ialah dengan menonton filem Animasi Ejen Ali The Movie 2. Saya juga berharap agar Astro Cinematic Universe dapat diteruskan untuk projek penghasilan siri filem Keluang Man seterusnya pada masa akan datang. Akan tetapi, sekiranya ianya tidak dapat diteruskan lagi selepas ini akibat tidak mendapat perhatian daripada penonton, maka boleh dinyatakan bahawa filem ini adalah filem adiwira antara yang terbaik dihasilkan oleh penerbit. Namun begitu, sekiranya penerbitan filem ini tidak dapat diteruskan bukan disebabkan tiada sambutan daripada penonton akan tetapi ianya tidak menjadi pilihan penonton pawagam yang lebih memenuhi permintaan daripada anak-anak yang telah pun sedia ada mengikuti perkembangan animasi semasa ketika era zaman kanak-kanak mereka. Wallahualam

[DISCLAIMER]

Saya tak beberapa minat untuk ulas lebih lanjut lagi tentang aspek-aspek kekurangan dalam filem ini (sekiranya ada) kerana rata-rata penonton yang sudah menonton filem ini sudah mahir tentang isu tersebut. Saya menulis di sini sebab tertarik dengan faktor-faktor seperti :-
  1. Ini adalah penerbitan produksi filem yang pertama berkonsep komedi aksi adiwira tempatan daripada Syarikat Astro Shaw Sdn. Bhd.
  2. Filem ini terdiri daripada nama-nama watak seperti Borhan @ Keluang Man, Dr. Malini, dan juga Inspektor Shahab. Filem ini juga terdiri daripada ramai pelakon tambahan dan juga watak-watak cameo sepanjang filem Dari awal sehingga habis. Lebih baik tonton sendiri untuk kenal pasti semua watak-watak cameo tersebut [Spoiler!]
  3. Kisah filem ini mengangkat tema mengenai seorang pesakit mental yang mempunyai niat dan keupayaan yang tinggi untuk mengangkat dirinya sendiri menjadi hero dan juga penyelamat kepada penduduk setempat di situ.
  4. Pada awal babak filem ini, telah ditunjukkan bahawa Borhan telah mengalami sakit mental dengan istilah gila. Namun begitu, ianya diubah menjadi istilah daripada gila kepada sakit oleh Dr. Malini.
  5. Borhan adalah merupakan seorang anak yang telah disisihkan keluarga oleh ibu dan bapanya ketika kanak-kanak. Borhan telah menjadi mangsa pemerdagangan kanak-kanak yang telah dijual bagi mendapatkan organ dalaman.
  6. Borhan telah mengenali watak Shamsir yang telah dianggap sebagai abang kandungnya sendiri ketika berada dalam tahanan penjenayah sejak kanak-kanak.
  7. Selain itu, Borhan telah bertemu dengan Ayah Mad yang telah menjadi penyelamat yang berjaya menyelamatkan kanak-kanak yang telah ditahan dalam satu operasi yang dijalankan.
  8. Ringkas cerita, Ayah Mad telah menerima Borhan dan juga Shamsir sebagai anak angkat. Walaupun mereka berdua telah diambil sebagai anak angkat, namun mereka telah dilatih sebagai pelatih yang mahir dengan menggunakan senjata api dan juga seni beladiri. Mereka berdua telah bersama dengan Ayah Mad selama 25 tahun.
  9. Masalah mula timbul apabila setelah bersama 25 tahun, Ayah Mad telah mula berubah pendirian bagi misi terakhir mereka iaitu Misi "Tiga Jaga Tiga". Ini adalah antara masalah utama yang timbul sehingga mengganggu fikiran Borhan sehingga dia mula mengalami masalah sakit mental yang kritikal. Hmmm...
  10. Melalui bantuan Dr Malini, ingatan Borhan semakin pulih setiap hari apabila dia telah dirawat melalui cara terapi Psikologi. Selain itu, Dr. Malini juga telah membuka jalan hidup yang harus Borhan pilih sama ada berterusan kekal menjadi pesakit mental, ataupun terus menghadap masalah yang telah timbul dengan memilih menjadi watak seorang adiwira Keluang Man. Terbaik!
  11. Secara keseluruhannya, ini adalah kandungan jalan cerita utama daripada Nombor 1 hingga 10. Filem ini secara luarannya banyak menampilkan watak-watak cameo dan juga sampingan sebagai penyeri filem ini.
  12. Selain itu, paparan luaran secara visual banyak dipenuhi dengan nostalgia penyampai Radio Era pada akhir, 1990an hingga awal 2000 daripada DJ Halim Othman, Rancangan Televisyen Roda Impian, filem-filem universe seperti Hantu Kak Limah, filem-filem Datuk Yusuf Haslam dan lain-lain lagi. Paparan visual lain daripada Animasi Keluang Man tetap juga menjadi pilihan utama yang dijelmakan dalam bentuk filem bagi peminat animasi yang telah menonton Animasi Keluang Man dulu-dulu.
  13. Timbul juga sedikit perselisihan bagi golongan penonton yang tak dapat nak hadam dengan semua nostalgia tersebut dengan paparan visual Borhan dalam minda dia sendiri yang sedang alami sakit mental seperti skizophrenic (gangguan suara), bipolar disorder dan lain-lain lagi. Sekiranya anda sebagai penonton dapat fahami keadaan ini, maka anda lebih mudah menikmati tontonan filem ini dari mula sehingga habis. Yeah !
  14. Ada mesej yang telah ditinggalkan oleh Pengarah Filem ini, iaitu Anwari Ashraff kepada para pengkritik filem tempatan yang suka labelkan filem tempatan sebagai filem sampah ! (Spoiler Alert!)
  15. Babak penting yang utama dalam filem ini berada pada akhir filem ini apabila Keluang Man berhadapan dengan Ayah Mad.
  16. Ada banyak juga paparan visual dalam kategori yang epik sebagai filem gambaran visual filem adiwira tempatan buatan Malaysia kita.
Sebagai penutup, sekiranya filem ini mempunyai sekuelnya, saya tetap berminat untuk menonton filem ini bersama keluarga saya. Saya berharap agar filem ini dapat dikembangkan lagi jalan ceritanya sehingga dapat membuat sebuah universe besar dalam koleksi IP di bawah label Astro Shaw Cinematic Universe. Aamiin 🤲 

P/S : Terima kasih sudi baca tulisan saya ini. Saya berikan rating sebanyak 5/5 infinity ♾️✨⭐

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...